Thursday, February 26, 2009

Bakat Lisa dan Farid pikat Astro

MUNGKIN ada yang tertanya-tanya tentang sebab aktor Farid Kamil Zahari, 28, dan aktres Lisa Surihani Mohamed, 23, terpilih sebagai bintang eksklusif Astro Megadrama terbaru selepas dua pelakon Erra Fazira dan Aaron Aziz.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, terdapat beberapa faktor yang membuatkan pihak Astro memilih Lisa dan Farid untuk menyertai keluarga Astro Megadrama.

“Kami mengalu-alukan kedatangan dua pelakon pelapis yang semakin mendapat tempat di hati para pecinta seni menyertai kami.

“Lisa dan Farid dipilih kerana bakat mereka yang begitu menyerlah dan kami percaya sumbangan mereka mampu meninggalkan bekas di hati para penonton melalui lakonan-lakonan mereka yang pelbagai.

“Kami amat teruja apabila dapat bekerjasama dengan dua bakat besar yang mampu mengegarkan industri hiburan ini dan memberi inspirasi kepada generasi-generasi muda yang lain agar dapat mengikut jejak langkah mereka yang berjaya pada usia muda,” jelasnya.

Lisa, penerima Anugerah Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem ke-21 bakal menemui para penonton melalui telefilem Ponti Anak Remaja pada 13 Mac, pukul 10.30 malam dan telefilem Mataku Nampak Hantu pada 4 April, pukul 10.30 malam di Astro Ria.

Lisa Surihani bakal muncul dalam telefilem 'Ponti Anak Remaja' dan 'Mataku Nampak Hantu' di Astro Ria.

Di samping itu, para peminat Lisa juga berpeluang menonton drama lakonannya yang berjudul 3 Janda pada 22 April, pukul 10 malam di Astro Prima.

“Kami di Astro mengiktiraf bakat pelakon-pelakon muda yang berpotensi unyuk pergi jauh seperti Lisa dan ingin terus memberi sokongan kerjayanya.

“Kami percaya platform yang kami sediakan ini mampu menjadi batu loncatan untuk beliau terus berjaya menjadi pelakon yang disegani pada masa depan,” ujar Nizam.

Sementara itu, bagi peminat penerima Anugerah Bakat Seni Muda Filem di Anugerah Seni Negara ke-8, Farid Kamil berpeluang menyaksikan filem-filem lakonannya seperti Evolusi KL Drift, Cinta Kolestrol dan 7 Perhentian pada bulan Mac ini di Astro Kirana.

Beritahu Nizam, pelbagai perancangan sudah diatur untuk pelakon dan pengarah muda ini bagi menyerikan lagi drama-drama Astro Megadrama seperti telefilem yang masih dalam perbincangan seperti Lulu.

“Kehebatan dan kelebihan Farid dalam penulisan skrip, mengarah dan berlakon pada masa yang sama merupakan satu bonus apabila beliau meletakkan kesungguhan dalam setiap bidang yang diceburi.

“Kami yakin Farid akan menggunakan platform yang diberikan sebaik mungkin untuk berjaya dalam kerjayanya di hadapan mahupun di sebalik tabir,” tambah Nizam.

Dalam pada itu, Astro Prima turut memperkenalkan dua buah lagi drama bersiri di bawah payung Astro Megadrama yang akan menemui penonton pada bulan Mac dan April ini.

Farid bakal berlakon di dalam telefilem pertamanya dengan Astro, 'Lulu'.

Untuk bulan Mac, Astro Prima membawakan sebuah drama bersiri yang menyentuh hati lakonan Intan Sarafina, Ezlynn, Zamarul Hisham, Riezman Khuzaimi, Watie Elite, Amyza Aznan, Delimawati, Liza Shadan serta pelakon-pelakon yang sedang meningkat nama seperti Farah Putri, Angah Raja Lawak dan Zarynn Min.

Drama bersiri Suara Hati ini mengisahkan pengorbanan seorang anak yatim, Asmara (Intan Sarafina) yang terpaksa melakukan pengorbanan untuk sahabat baiknya, Sheila (Ezlynn) dan untuk lelaki yang dicintainya, Aman (Zamarul Hisham).

Drama bersiri yang menyentuh hati ini pasti akan membuat para penonton untuk terus berada di depan kaca televisyen pada hari Isnin, pukul 10 malam mulai 16 Mac ini.

Selain itu, sebuah lagi drama bersiri romantik lakonan wajah eksklusif Astro Megadrama, Aaron Aziz dan Rita Rudaini akan menemui penonton pada setiap Khamis, pukul 10 malam mulai 23 April depan.

Drama bersiri sebanyak 40 episod ini mengisahkan percintaan tiga segi antara Syamir, Ammar dan Kamilia serta pengorbanan yang terpaksa dilakukan bagi memenangi hati si wanita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: