Friday, February 27, 2009

Dengarnya...: Dina malas fikir soal diet



DINA kini semakin murah rezeki dalam bidang lakonan.

ALHAMDULILLAH Cik Normah gembira apabila kawan artis yang lain gembira. Berita yang Cik Normah nak kongsi ini mengenai naib juara Malaysian Idol musim pertama, Dina. Badan pun makin comel dan montok. Tak apa Dina, janji rezeki murah, itu pun sudah memadai.

Cik Normah dengar memang rezeki Dina memang mencurah-curah kebelakangan ini. Sekurang-kurangnya orang di luar sana sudah mula nampak bakat Dina. Selepas menggantikan pelakon di dalam teater muzikal Impak Maksima tahun lalu terus Dina kini boleh tersenyum apabila mula mendapat tawaran berlakon lagi di bawah arahan Ahmad Idham.

Dramanya Rempit VS Impak Maksima sedang disiarkan di TV3 sekarang ini. Penggambaran filem sulungnya, Jangan Pandang Belakang Congkak pun sudah selesai dan hanya menuntut waktu tayangan saja.


Cik Normah dapat tahu lagi, Dina menyanyikan lagu tema untuk sebuah filem terbitan Red Communications. Lagu itu khabarnya macam rentak lagu Mercy dendangan penyanyi antarabangsa, Duffy. Bukan Dafi penyanyi kat Malaysia tu ye! Tapi Cik Normah memang antara penggemar Duffy.

Okey, lupakan mengenai Duffy sebab topik perbualan Cik Normah tujukan kepada Dina. Sehingga sekarang ini, Cik Normah dengar memang masih ada pandangan prejudis mengenai saiz badannya. Malah ada yang menghantar e-mel kepada Dina memberi contoh jika Aizat boleh menguruskan badan, kenapa tidak Dina. Menurut kawan Cik Normah yang menemu bual baru-baru ini, Dina sudah malas nak memikirkan soal diet.

Beritahu kawan Cik Normah lagi, bukan Dina tak mahu kurus, memang dia teringin nak berbadan kurus cuma kadang-kadang jadi bingung sama ada nak diet atau tidak. Tak kisah Dina, kurus atau ‘comel’ bukan boleh menjamin pun nasib diri kerana ia berbalik kepada rezeki.

Menurut rakan Cik Normah lagi, Dina cakap apabila dia menyeksa dirinya daripada tidak makan bermaksud dia sendiri tidak menghormati dirinya.

Cik Normah faham perasaan Dina tapi jangan sampai melunturkan semangat ye adik. Biarpun Cik Normah dikurniakan tubuh montok dan mungil, Cik Normah tak langsung bermegah kerana semua ini hanya pinjaman. Tapi biasalah, orang sekeliling saja yang selalu dengki dengan diri ini. Cik Normah hanya biarkan orang mengata kerana tak kuasa nak ambil kisah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: