Thursday, February 26, 2009

Diana Danielle,Aliff Satar dan Suki sudah sedia sertai PLKN




KUALA LUMPUR – Tiga artis remaja yang sebelum ini pernah membuat rayuan untuk menangguhkan penyertaan mereka dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini memberi jaminan mereka akan mengikuti program tersebut apabila dipanggil.

Malah, ketiga-tiga artis berkenaan, Diana Danielle, 18, Aliff Satar, 19 dan Suki, 20, menyatakan kesediaan untuk mengikuti program itu pada Mac ini dengan menangguhkan semua aktiviti seni masing-masing.

Menurut ibu Diana, Norsiah Ramli, anaknya sudah cukup bersedia untuk menjalani program tersebut yang dijadualkan bermula Mac ini dengan memastikan semua kerja seninya hanya bermula pada Julai ini.

“Bagaimanapun, buat masa ini kami belum menerima sebarang surat pengesahan daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Diana Danielle sebelum ini tersenarai sebagai peserta PLKN dalam Kumpulan Satu Siri 6/2009 yang perlu mendaftar pada 27 Disember 2008 tetapi dia memohon penangguhan atas alasan masih terikat dengan kontrak seni.

Turut berbuat demikian ialah Aliff dan Suki sehingga menimbulkan polemik bahawa JLKN mengamalkan pilih kasih dengan memberi kelonggaran kepada pihak tertentu walaupun telah diarahkan menyertai PLKN.

Menurut Norsiah, sebenarnya Diana memang ingin menyertai sesi pertama PLKN dulu tetapi disebabkan dua kontrak lakonan pada bulan Disember hingga Februari 2009, dia terpaksa menangguhkan penyertaan dalam PLKN.

Juara program realiti One In A Million (OIAM), Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee pula memberitahu, dia juga sudah bersedia untuk menyertai PLKN kali ini.

“Sejak bulan Januari lagi saya sudah beritahu bahawa saya bersedia menolak semua aktiviti seni. Cuma sekarang saya belum menerima sebarang surat untuk mengikuti PLKN,” kata Suki yang sepatutnya menyertai sesi berkenaan pada tahun 2006.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: