Friday, February 27, 2009

Gambar mesra dua pelakon utama Spa Q, Zaefrul Nadzarine dan Azizah Mahzan


BELUM pun reda isu berkemban, datin skirt pendek dalam Spa Q selain hal peribadi Norish Karman, timbul pula kontroversi 'gambar panas' dua pelakon siri telenovela popular di TV3 itu.

Gambar mesra dua pelakon utama Spa Q, Zaefrul Nadzarine dan Azizah Mahzan berlokasikan di Langkawi bagaikan pasangan kekasih berbulan madu tersebar meluas di Internet kebelakangan ini.

Meskipun gambar itu tidak sehangat gambar adegan seks aktor Hong Kong, Edison Chen bersama pasangannya, Cecilia Cheung dan Bobo Chan, yang tersebar luas di seluruh dunia, namun ia tetap mengundang persepsi negatif peminat tempatan memandangkan Zaefrul mempunyai isteri dan tiga anak.

Cubit paha kiri, yang kanan terasa juga, begitulah dirasai Zaiton Mohd Jiwa jika timbul sebarang isu atau kontroversi membabitkan pelakon Spa Q. Selaku Pengarah Urusan Global Station Sdn Bhd yang menerbitkan Spa Q, Zaiton mesra dipangil 'Kak Eton' sukar menidakkan Spa Q musim kedua (Spa Q 2) lebih getir berbanding Spa Q 1, apatah lagi dihangatkan pelbagai isu dan kontroversi pelakon.

Bagaimanapun sebagai produser, Zaiton mengakui tidak mencampuri urusan peribadi setiap pelakonnya, malah menganggap kalangan mereka itu begitu profesional apabila berada di lokasi.

"Saya cuma tahu mengenai isu gambar panas Zaefrul dan Azizah melalui akhbar saja. Saya tiada masa mengadap lama depan Internet, biarpun anak saya pernah memberitahu pernah ternampak gambar kedua-dua pelakon itu melalui 'face book.' Cuma apa yang boleh saya kata, sama ada Azizah atau Zaefrul, mereka profesional kerana dapat memisahkan hal peribadi ketika di lokasi," katanya.

Mengikut latar gambar itu di Langkawi, Zaiton menjelaskan untuk musim kedua Spa Q, lokasinya banyak dibuat di Langkawi. Malang pula ketika unit produksi itu berkampung di sana sepanjang penggambaran, beliau tidak dapat berkunjung ke sana kerana keadaan ayahnya yang uzur.

Sekalipun Spa Q 1 dan Spa Q 2 begitu istimewa buat Global Station, hinggakan diberi 'lampu hijau' oleh TV3 lebih 100 episod, tetapi Zaiton membayangkan Spa Q 2 adalah titik noktah buat Spa Q.

Melalui ruangan Interaksi di Harian Metro, Rabu lalu, Zaefrul memberi komen tidak mahu membintangi Spa Q musim ketiga kerana tidak mahu dia dan Azizah menjadi bahan kontroversi lagi.

Menurut Zaiton, keputusan yang diambil bukan kerana tawar hati atau meluat dengan pelbagai isu dan kontroversi pelakonnya tetapi memikirkan cabaran menerbitkan drama berepisod lebih kompleks.



"Saya mendapat reaksi positif daripada karyawan filem, rakan bisnes serta penonton terhadap Spa Q 1 dan Spa Q 2. Rata-rata seronok dengan drama itu, malah belum pun musim kedua habis, ada yang sarankan saya untuk terbitkan Spa Q musim ketiga dengan membawa masuk lebih ramai pelakon hebat.

"Bukan saya tidak minat, malah bohong jika saya tidak berbangga dengan Spa Q, cuma dalam keadaan sekarang, saya menilai menerbitkan drama atau telemovie cerita baru lebih mudah. Berbanding cerita berepisod, setiap watak mempunyai kekuatan sudah tentu tidak boleh dimatikan begitu saja," katanya.

Jika musim pertama lalu, Spa-Q diarahkan Zulkiflee R Shad sebanyak 60 episod, untuk musim kedua pula diarahkan tiga pengarah iaitu Feroz Khan, Hanafiah Sharif dan Redza Fahmu Suib. Musim kedua kali ini menampilkan kelainan dari segi jalan penceritaan dan konflik yang unik.

Istimewanya Spa Q 2 yang mula disiarkan sejak 15 Disember lalu lebih meriah dengan penampilan ramai pelakon hebat seperti Zizie Ezette, Jasmin Hamid, Farahdhiya, Fouziah Gous, Zaris Nellydya, Sharifah Sofea, Nisha Dirr, Fazren Rafi, Ifa Raziah, Liza Abdullah, Kanchana Devi, Faizal Yusuf, Ritz dan Fizo Omar. Drama disiarkan empat kali seminggu kini ditonton lebih 2 juga orang.

"Apa juga pandangan negatif terhadap Spa Q, bagi saya siri telenovela itu sarat dengan mesej terutama buat kalangan wanita berkerjaya untuk mengharungi pahit getir hidup di era milineum," kata Zaiton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: