Wednesday, February 25, 2009

Geng: Pengembaraan Bermula bakal kutip RM4 juta selepas dua minggu

JIKA bercakap tentang filem ‘Geng: Pengembaraan Bermula’, mungkin ramai yang kurang jelas tetapi sebaliknya berlaku apabila menyebut filem ‘Upin & Ipin’.

Ini kerana watak Upin dan Ipin merupakan kekuatan filem ini sekaligus menarik minat penonton untuk menyerbu pawagam di seluruh Malaysia.

Menurut pengarahnya, Mohd. Nizam Abd. Razak, 26, sebanyak 56 pawagam tempatan menayangkan filem mengenai pengembaraan sekumpulan rakan-rakan yang berjaya menyelesaikan masalah yang membelenggu Kampung Durian Runtuh.

Penduduk yang mempercayai kewujudan raksasa yang sering mengganas di kampung mereka pada waktu malam. Namun begitu, tidak ada sesiapa yang berani merungkai apa yang sebenarnya yang menghantui mereka selama ini.

Sehinggalah Badrol, Lim dan rakan baru mereka telah berjumpa dengan Oopet, satu makhluk yang comel yang jinak dan membawa mereka mengembara ke dalam dunia fantasi yang penuh warna warni.

Filem Geng: Pengembaraan Bermula telah berjaya mengutip RM3.7 juta selepas 11 hari ditayangkan di pawagam tempatan.

Kata Nizam, selepas 11 hari ditayangkan, filem yang mempertaruhkan watak Upin dan Ipin, Badrol, Lim, Rajoo, Ros dan Oopet ini telah berjaya mengutip sebanyak RM3.7 juta.

“Sehingga hari Ahad lalu, filem ini telah mendapat RM3.7 juta. Saya belum tahu tentang kutipan sehingga hari ini. Saya sasarkan untuk mendapat kira-kira RM4 juta pada Rabu ini (hari ini).

“Tetapi, kami mahukan filem ini lebih mendapat pulangan yang lebih tinggi dari itu iaitu RM10 juta. Kalau tak dapat RM10 juta pun, dapat RM8 juta pun sudah boleh pulang modal.

“Setakat ini, saya diberitahu filem ini masih berada di posisi nombor satu di dalam carta 10 filem teratas GSC sekaligus berjaya mengatasi filem luar negara yang sedang ditayangkan sekarang,” beritahu Nizam ketika dihubungi.

Antara filem tersebut adalah Punisher: War Zone, Kung Fu Chefs, The Curious Case of Benjamin, Valkyrie dan Ong Bak 2.

Tambah Nizam, jika mengikut syarat wajib tayang iaitu selama dua minggu, filem ini akan menamatkan tayangannya sehingga hari ini namun memandangkan filem ini menunjukkan kutipan yang memberangsangkan, tidak hairan jika tayangannya akan disambung seminggu lagi.

“Saya mendapat tahu sambutan filem ini amat menggalakkan di Johor, Melaka dan Kuala Lumpur terutama pawagam di pusat membeli belah Mid Valley, One Utama, Alamanda, Tebrau.

Watak Upin & Ipin berjaya menarik minat ramai penonton untuk menyerbu pawagam berhampiran.

“Cuma pawagam di Sabah dan Sarawak yang kurang mendapat sambutan. Mungkin disebabkan promosi yang kurang di sana.

“Sehingga kini, saya belum tahu lagi sama ada filem ini akan disambung tayangannya atau tidak.

“Jika ia akan disambung, mungkin kami akan kurangkan tayangan di Sabah dan Sarawak dengan membawanya ke kawasan Lembah Kelang,” tambah Nizam mengenai filem terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. ini.

Masuk pawagam Indonesia 16 September ini

Jika filem yang menggunakan bajet sebanyak RM4 juta ini sudah menempa kejayaan di sini, tidak mustahil jika ia akan berjaya juga di Indonesia.

Menurut Nizam, selepas siri Upin & Ipin telah menembusi pasaran Indonesia, filem Geng: Pengembaraan Bermula yang turut menampilkan watak Upin & Ipin ini akan memasuki pawagam di negara tersebut mulai 16 September depan.

“Sebelum ini, stesen televisyen di Indonesia telah membeli dan menyiarkan sebanyak sembilan episod Upin & Ipin.

“Pada 16 September nanti, kita akan tayangkan filem ini di 50 pawagam di sana.

“Kita juga berharap supaya filem ini dapat ditayangkan juga di Singapura dan Brunei,” bual Nizam yang memberitahu filem tersebut belum dirancang untuk dibuat sekuel.

Namun, jelasnya, mereka mungkin akan menerbitkan filem Upin & Ipin The Movie memandangkan watak ini yang lebih meletup dan popular di kalangan khalayak.

“Kita perhatikan, ramai yang menonton filem Geng: Pengembaraan Bermula di pawagam datang semata-mata untuk menonton watak Upin & Ipin namun watak mereka bukanlah watak utama di dalam filem tersebut.

“Jadi, kita akan melihat ‘story line’ dan mereka semula skrip untuk filem Upin & Ipin The Movie. Setakat ini, kami masih berbincang tentang projek terbaru itu. Insya-Allah, jika jadi filem tersebut akan muncul pada tahun hadapan,” ujarnya.

Les' Copaque terdiri dari 100 peratus karyawan tempatan di mana seramai 40 orang tenaga kerja yang digunakan untuk merealisasikan filem Geng: Pengembaraan Bermula.

Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada graduan jurusan Animasi dan Multimedia dari institut pengajian tinggi awam dan swasta seperti Universiti Multimedia (MMU), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Semua bermula dari tiga graduan Universiti Multimedia Malaysia, Mohd. Nizam Abd Razak, Muhammad Usamah Zaid dan Mohd Safwan Abd Karim.

Pada mulanya, mereka kurang pengalaman untuk membuat sebuah filem sendiri dan mengambil masa setahun untuk membuat penyelidikan termasuklah membuat praproduksi dan juga menyelidiki teknologi yang diperlukan untuk produksi.

Hasilnya ialah sebuah 'sneak peek' filem Geng dan ditunjuk kepada penonton untuk mendapat maklum balas. Filem pendek ini berjaya memenangi tiga anugerah dalam Anugerah Filem Pendek 2006 termasuk Filem Pendek Terbaik.

Nizam yang merupakan graduan dari MMU dalam jurusan Filem dan Animasi berpendapat, dengan kejayaan filem animasi 3D ini, ia seolah-olah membuka satu platform kepada anak muda yang ingin berkecimpung dalam bidang ini bersesuaian dengan kehendak pasaran sekarang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: