Friday, February 27, 2009

Juanna gadis cekal


MASIH terlalu awal untuk Sari Yanti Mohamad Nazari, 25, menceritakan kehidupan berumah tangga yang baru dilalui bersama suami, Mohd Eddy Casmady Che Hussein kerana usia perkahwinan mereka baru sebulan lebih.

"Buat masa ini segalanya macam biasa saja. Selain menjalankan tanggungawab sebagai isteri, tiada apa yang berubah. Saya masih berlakon dan baru selesai menjalani penggambaran telefilem Bukan Mainan untuk RTM (Radio Televisyen Malaysia) lakonan bersama Fizz Fairuz.

"Kini saya sibuk di lokasi drama Dan Bunga-bunga Berguguran terbitan DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka). Drama ini unik dan menarik daripada yang lain kerana dialog disampaikan dalam bentuk pantun.

"Memang susah kerana saya terpaksa menghafal beratus-ratus pantun. Kalau dalam drama biasa, kita berdialog menggunakan percakapan harian, jika terlupa masih boleh ditokok tambah ayat sendiri. Tetapi untuk drama ini, saya tidak boleh lupa walau sebaris ayat.

"Saya dapat bayangkan betapa sukarnya penulis skrip drama ini hendak membuat beribu pantun kerana drama ini turut dijayakan pelakon lain seperti Nisha Dirr dan Cico. Apapun, drama ini sangat menarik.

"Penggambaran dibuat di Melaka dan ia mengisahkan mengenai Sultan Mahmud. Saya pegang watak sebagai Puteri Kesuma Dewi. Bagaimanapun, drama itu tidak ditayangkan di televisyen kerana ia untuk simpanan DBP," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sari muncul dalam drama 26 episod Juanna yang mula disiarkan 11 November lalu di RTM1, Setiap Selasa, Rabu dan Khamis, jam 10 malam. Drama itu terbitan Gama Taktik Sdn Bhd.

Menerusi drama itu, Sari pegang watak gadis yatim piatu yang malang. Dia berdepan konflik sebagai anak yang dahagakan kasih sayang keluarga. Berlakon sama, Marissa Yasmin, Zulkifly Azari, Ashraf Muslim, Julia Ziegler, Kamaliah Mat Dom, Kismah Johar dan Dian P Ramlee.

Kisah Juanna bermula apabila Juanna (Sari Yanti) yang baru keluar dari pusat pemulihan akhlak untuk pesalah juvana perempuan pulang ke rumah keluarganya dengan azam baru.

Namun kehadirannya kurang disenangi ibu tirinya, Hanis dan Hazril, suami baru ibu tirinya yang lebih muda daripadanya. Mereka menganggap kehadiran Juanna mengganggu kehidupan mereka yang baru berumah tangga.



Hanis kemudian meletakkan syarat anak tirinya itu boleh tinggal di rumah itu tetapi perlu mencari wang nafkah hidup sendiri. Sementara itu, dalam diam, Hazril menjalin semula hubungan cinta dengan kekasih lamanya, seorang model dikenali Nasha tanpa pengetahuan Hanis.

Juanna pula bertemu semula dengan Pak Wan bekas pemandu arwah bapanya yang diberhentikan tanpa sebab oleh Hazril.

Pak Wan yang sememangnya menganggap Juanna bagai anak kandung menawarkan Juanna bekerja di pusat cucian kereta miliknya. Di situ, dia berkawan baik dengan pekerja Pak Wan iaitu Helmi dan Suresh.

Pada masa sama, Juanna cuba berbaik semula dengan teman baiknya Fifi. Di luar pengetahuannya, Fifi menjalinkan hubungan cinta dengan bekas teman lelaki Juanna dikenali Johan. Juanna cuba meyakinkan Fifi bahawa Johan bukan lelaki baik. Sebaliknya Juanna ditempelak Fifi menyebabkan Juanna kecewa.

Apatah lagi Johan adalah punca dirinya dihantar ke pusat pemulihan akhlak sedangkan ketika itu, Juanna hanya bertindak mahu mempertahankan dirinya daripada menjadi mangsa cabul Johan.

Johan yang mengetahui usaha Juanna mahu memisahkannya dengan Fifi naik angin. Dia mula mengancam Juanna namun Juanna berasa selamat dengan adanya Helmi. Apatah lagi mereka sering menjadi bahan usik Suresh yang mengatakan mereka bercinta dalam diam.

Juanna cuba mempertahankan haknya apabila Hazril menghalaunya keluar dari rumah. Alasannya, Juanna masuk campur dalam urusannya. Atas nasihat Pak Wan, Juanna membuang jauh perasaan malunya untuk menemui Iskandar, rakan baik bapanya yang kini membeli syarikat bapanya sebelum jatuh ke tangan Hanis yang tidak bertanggungjawab.

Sedang Hazril begitu bersungguh-sunguh mahu mendapatkan wang daripada Hanis untuk membelikan kereta mewah seperti diingini kekasihnya, Nasha, Hanis pula yang sibuk mahu menandingi kehebatan Datin Anom yang dianggap pencabarnya. Dia tidak sedar perubahan Hazril, apatah lagi suaminya itu bijak menyembunyikan rahsia.

Pelbagai kejadian berlaku yang akhirnya menyedarkan Hanis mengenai kecurangan suaminya itu. Juanna pula mula menimbang untuk melanjutkan pengajian atas bantuan Iskandar. Hatinya berbelah bahagi mahu meninggalkan orang tersayang termasuk Helmi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: