Friday, February 27, 2009

Menangis kerana Julia


MEMBINTANGI dunia lakonan lebih 10 tahun lalu dengan mengorak langkah sebagai pelakon teater. Namun, di layar perak mahupun skrin drama, kemampuan peragawati terkenal dan pelakon berbakat, Elaine Daly, 32, tidak begitu menyerlah.

Kebanyakan drama yang dibintanginya lebih mengeksploitasi kecantikan luaran yang dimiliki Elaine daripada menggali kehebatan lakonan dimiliki wanita ini.

Bagaimanapun, kemunculan Miss Malaysia World 1999 dan Miss Malaysia Universe 2003 menerusi telefilem Ku Mohon yang disiarkan Mac nanti, bagaikan memberi amaran kepada penonton, sekali gus melonjakkan karier lakonannya di puncak gemilang.

Membawakan watak saudara baru bernama Julia Khadijah yang diabaikan suami, karakter ini pastinya mengundang air mata penonton.

Apatah lagi, melihat kecekalan Julia mengharungi hidup dengan berserah segalanya kepada Yang Maha Esa.

"Ini pertama kali saya bawakan wanita Islam sejati. Sebelum ini, pernah juga bawa watak gadis Melayu tapi Islam hanya pada nama.

"Memang sungguh mencabar kerana saya tidak pernah melakonkan watak seperti itu sebelum ini. Kebanyakan peranan yang saya mainkan adalah karakter biasa dan strereotype misalnya menjadi peragawati dan wartawan.

"Harus saya akui, Julia adalah watak paling mencabar yang pernah dilakonkan setakat ini. Selain itu, banyak perkara baru yang saya pelajari dalam Ku Mohon.

"Belum pernah sekalipun sepanjang berlakon, saya memakai baju kurung. Tidak cukup dengan itu, saya juga perlu bertudung dan memakai telekung yang mana semua ini adalah pertama kali untuk saya.

"Ada satu babak ketika sedang bersolat, saya jadi canggung kerana tidak tahu macam mana hendak pakai telekung dan Abby Abadi banyak memberi tunjuk ajar. Bagi seorang bukan Islam, memang sukar untuk menghayati watak ini," katanya.



Menjiwai watak Julia, bermakna Elaine harus menjadi orang yang berbeza daripada dirinya yang sebenar. Perubahan yang dilakukan bukan saja dari segi penampilan tetapi mainan emosi dalaman.

"Saya kena belajar ungkapkan kata-kata syukur seperti Alhamdulillah, menyebut dua kalimah syahadah, memasuki masjid untuk menunaikan solat dan mengambil wuduk. Apabila melakukannya, saya dapat rasakan satu perasaan yang aneh," katanya.

Watak Julia, menurut Elaine adalah seorang mualaf yang memeluk agama Islam atas kerelaan serta keikhlasannya sendiri.

Pertemuan dengan Azhar memudahkan lagi hasrat Julia untuk memeluk Islam. Bagaimanapun, masalah timbul apabila perkahwinan mereka tidak dikurniakan zuriat.

Azhar mulanya tidak begitu memikirkan hal berkenaan dan sanggup bersabar dengan keadaan itu demi kasih dan cintanya terhadap Julia. Namun akhirnya berubah hati apabila mendapat tekanan daripada ibu bapanya yang mahukan cucu.

"Dia mula bermain kayu tiga dan mengabaikan Julia. Sikap Julia yang suka menegur mentuanya kerana mereka tidak bersembahyang atau erti kata lain tidak menjalankan kewajipan sebagai Muslim juga membuatkan dia dibenci ibu bapa Azhar.

"Sedangkan, teguran itu ikhlas kerana dia pelik kenapa orang Islam sendiri tidak menjalankan kewajipan mereka. Sebagai saudara baru yang terpaksa berhadapan dengan keadaan itu, tentunya Julia berasa tertekan.

"Namun, Julia percaya kewujudan Yang Maha Esa dan Dialah tempat Julia mengadu. Indahnya mengenai drama ini, ia membuatkan kita percaya pada kewujudan Tuhan.

"Justeru, banyak babak menangis yang perlu saya jayakan. Hari ini masuk hari ketujuh menjalani penggambaran dan setiap hari pasti ada babak menangis. Ia satu tugas berat bagi saya kerana secara peribadi, saya seorang yang ceria dan susah mengeluarkan air mata.

"Bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada pengarah Fairuz Loy kerana dia banyak memberi tunjuk ajar," katanya.

Elaine menambah, menariknya telefilem ini walaupun Julia memeluk Islam tetapi hubungannya dengan ibu bapa serta keluarga tetap akrab seperti dulu. Bahkan, mereka juga menghormati keputusan Julia.

Tidak seperti kebanyakan drama yang memaparkan saudara baru disisihkan keluarga, Ku Mohon melihat dari sudut perspektif yang lebih positif.

"Saya berpendapat, unsur keluarga penyayang dan saling menghormati perlu diterapkan dalam drama untuk mendidik penonton dan masyarakat," katanya.

Ditanya, apakah dia meminta pandangan keluarga terlebih dulu sebelum membintangi drama ini, Elaine berkata, dia tidak perlu berbuat demikian kerana ibu bapanya menghormati tugasnya sebagai pelakon.

"Sewaktu membaca naskhah ini, saya cukup tertarik dan tidak mengambil masa lama untuk memberi kata putus. Sekian lama disogok watak strereotype, saya muak dan sudah tiba masanya perlu mencabar diri.

"Ibu bapa saya bersifat terbuka dan percaya keputusan yang saya ambil adalah yang terbaik untuk karier seni saya meskipun tanpa meminta pandangan mereka.

"Harapan saya agar drama ini dapat mengubah persepsi orang ramai yang mungkin memandang rendah bakat saya," katanya.

Mempraktikkan ajaran Islam tatkala di lokasi penggambaran, sedikit sebanyak membuka mata Elaine mengenai agama suci ini yang dituduh sebagai pengganas oleh pembunuh paling kejam Isreal dan sekutunya, Amerika Syarikat.

Malah, Elaine tidak mengharap juga tidak menolak sekiranya suatu hari terbuka untuk memeluk Islam.

"Saya tidak pernah memandang rendah pada mana-mana agama kerana saya percaya setiap agama menyuruh penganutnya melakukan kebaikan sementara kejahatan itu datangnya daripada diri sendiri.

"Saya tahu bila berlakon drama ini, orang mesti ingat saya mahu peluk Islam. Beginilah, saya tidak mahu menyentuh soal agama biar masa saja menentukan," katanya.

Menyentuh projek terbaru bakal dijayakan, Elaine yang dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan Andy daripada kumpulan Estranged, mengakui ada beberapa tawaran sedang menanti.

Namun, lebih selesa menerimanya sebaik selesai penggambaran yang sedang dijalani. Jika tiada halangan, berkemungkinan wanita jelita ini akan kembali membintangi musim baru Front Page.

Seiring kematangan, Elaine juga mahu lebih selektif dalam memilih watak kerana yakin dengan kebolehannya mempelbagaikan watak.



>Profil

NAMA: Elaine Daly

PANGGILAN: Elaine

TARIKH LAHIR: 17 Januari 1977

UMUR: 32 tahun

BINTANG: Capricorn

ANTARA DRAMA: Getting Together, Private Eye, Buddies Kopitiam, Menyamar Sutradara, Chicks, Each Other, Astana Idaman, Front Page, Kerana Karina, Menyamar, Bila Cinta Berbicara dan Ku Mohon

ANTARA FILEM: Di Ambang Syurga, X-Wave, Los dan Faun, The Red Kebaya serta Cuci

PROGRAM: Money Tree, Awas (TV3), Technokids (RTM 2) dan The Breakfast Show

ANTARA TEATER: Tea dan Odd Couple

IKLAN KOMERSIAL: Nescafe, Ambi Pure, Sampoerna dan Johnson & Johnson

DUTA: Jurucakap ZA Cosmetics 1998.

PENDIDIKAN: Ijazah Undang-Undang dari External University of London

pada 2000, seterusnya memiliki Sijil Amalan Guaman dari Universiti

Malaya, Kuala Lumpur pada 2001

PENCAPAIAN: Miss Malaysia World 1999, Miss Malaysia Universe 2003 dan mewakili Malaysia ke Miss Universe di Panama

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: