Friday, February 27, 2009

Najua Nasir P.Ramlee perlu 'bermajrul' dalam muzikal 'Ibu Zain'

KEDUA-DUANYA tidak pernah mengimpikan watak yang besar mahupun beraksi di pentas teater bersama pelakon-pelakon hebat tanahair seperti Datuk Rahim Razali dan Datuk Jalaluddin Hassan di dalam Muzikal Ibu Zain.

Namun, sudah namanya rezeki dan tuah pelakon yang tidak asing di dalam dunia teater, Najua Nasir P. Ramlee dan Jeffri Haron apabila dapat berlakon dalam muzikal itu walaupun sebagai pengganti.

Bagi Jeffri mahupun Najua, mereka pada mulanya tidak mengetahui akan membawakan watak Datuk Onn Jaafar dan Cikgu Munah namun semuanya secara kebetulan apabila bakat mereka dihidu oleh pengarahnya, Rosminah Tahir.

Muzikal Ibu Zain semasa pertama kali di Istana Budaya dahulu menggunakan khidmat Zaefrul Nordin (Datuk Onn) manakala Tania (Cikgu Munah).

Disebabkan Zaefrul dan Tania tidak dapat memberikan komitmen untuk teater ini lalu menarik diri, maka sebab itu dua watak itu digantikan dengan Najua dan Jeffri.

Jeffri tercabar namun teruja

“Saya orang baru dan tidak dikenali tetapi diberikan watak yang besar. Memang saya akui ia agak mencabar dan dalam masa yang sama menguji kemampuan saya.

“Kebetulan pula, saya akan berlakon dengan orang ternama seperti Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan, Liza Othman yang saya kagumi dan memang nak berlakon dengan mereka ini.

“Apabila saya terlibat satu pentas dengan mereka di dalam Muzikal Ibu Zain, memang ia merupakan peluang keemasan bagi saya. Tak pernah pun saya terfikir dapat berlakon dengan mereka,” luah Jeffri, 31, yang kali terakhir berlakon teater adalah Lantai T. Pinkie pada tahun 2006.

Bercerita tentang bagaimana dia terpilih untuk melakonkan watak Datuk Onn Jaafar:

“Saya bekerja di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Kebetulan, pengarahnya adalah Kak Rosminah Tahir, Dekan Fakulti Teater di ASWARA.

“Jadi, saya selalu mengikuti teater di ASWARA dan pernah berlakon di dalam teater Lantai T. Pinkie arahan Kak Ros termasuk pementasan di Perak.

“Dia tak menawarkan apa-apa watak terlebih dahulu sebaliknya hanya meminta saya menghadiri suatu ujibakat.

“Saya tidak tahu tentang wataknya dan apabila diberi skrip dia berkata ‘Awak kena bawa watak Datuk Onn’. Selepas itu, memang saya sangat terkejut dan terperanjat sehingga tak terkata.

“Sebelum itu, saya hanya bertanya kepada pengurus pentas dan apabila saya berjumpa dengan Kak Ros, terus dia kata kenapa saya tak cuba dulu.

“Dia kata ‘Saya tengok dulu dan selepas melepasi tahap itu, barulah ok’. Kali pertama diujibakat, Kak Ros kata ‘Ok, boleh proceed.’”, kata Pengarah Bahagian Peperiksaan dan Pengijazahan ASWARA ini.

Apabila bercakap tentang perwatakan, Jeffri sendiri agak gusar sekiranya dia gagal menghayati watak Datuk Onn itu.

Bagaimanapun, Jeffri berkata dia akan cuba mencari banyak sumber rujukan agar dapat membawakan watak tersebut dengan baik.

Namun begitu, Jeffri mengalami sedikit kesukaran bilamana tidak banyak bahan simpanan mengenai pengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) itu.

“Saya sendiri sedang membuat kajian untuk membawakan watak Datuk Onn seperti banyak membaca bibliografinya dan melihat cara pembawakan Zaefrul dalam pementasan teater Ibu Zain yang pertama dahulu.

“Saya juga melihat cara Zaefrul membawakan watak Datuk Onn di dalam filem 1957: Hati Malaya. Selain itu, saya membuat kajian di Arkib Negara Malaysia.

“Saya bukan nak jadi seperti Datuk Onn tetapi disebabkan beliau merupakan nama besar dan mempunyai identiti sendiri, sekurang-kurangnya saya akan cuba membawa identiti beliau.

“Misalnya, beliau merupakan orang Johor, jadi saya akan membawakan dialek dari segi penyampaian dan pergerakannya. Kiranya sekarang ini saya dalam proses pembelajaran,” ujar pemuda berdarah kacukan Melayu-Cina ini.

Tambahnya, selain daripada rujukan, Jeffri juga mendapatkan tunjuk ajar daripada Rosminah selama mereka berlatih kira-kira dua minggu ini.

“Pengarah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dari segi apa yang perlu ditambah dan dikurangkan.

“Selain itu, saya diajar untuk melontarkan suara dalam nada yang lembut dan perlahan tetapi tegas. Saya rasa latihan ini perlu mengambil jangkamasa yang agak lama juga.

“Disebabkan persembahan muzikal ini pun dah nak dekat, jadi saya akan cuba sesuaikan diri dengan watak serta pelakon lain dengansecepat mungkin dan pertingkatkan cara penyampaian saya,” bual anak jati Johor ini yang akan terlibat di dalam tiga babak muzikal teater terbitan Siti Rohayah Atan ini.

Najua berlakon dari watak biasa ke watak ada nama

“Pertama kali semasa menyertai Muzikal Ibu Zain, saya dipanggil untuk suatu sesi fotografi sebagai kaum ibu.

“Apabila saya berjumpa dengan Cik Ros (Rosminah Tahir), dia bertanya sama ada saya boleh ‘bermajrul’ atau tidak.

“Katanya, terdapat satu babak itu melibatkan seorang cikgu yang perlu ‘bermajrul’. Mula-mula saya minta watak Jemaah yang buat dan selepas itu saya mencuba watak Cikgu Munah itu.

“Selepas itu, terus Cik Ros kata saya perlu membuat sesi fotografi semula dan membawakan watak Cikgu Munah.

“Saya tak sangka dari watak biasa-biasa yang perlu menyanyikan korus lagu, terus saya mendapat satu watak yang ada nama.

“Bagi saya, watak itu merupakan satu cabaran buat saya kerana saya tidak pernah mendapat watak seperti itu.

“Saya ini kan masih muda dan tiba-tiba mendapat watak orang dewasa dan perlu mempunyai ilmu.

“Jadi, saya mungkin akan mempunyai sedikit kesukaran sebab kebanyakan pelakonnya adalah mereka yang pernah terlibat dalam Muzikal Ibu Zain sebelum ini.

“Saya kena kejar mereka dan hafal dengan cepat. Saya cuba mengikut apa yang mereka lakukan, mengkaji semula dan selepas itu saya cuba melakukannya kerana perwatakan Cikgu Munah ini kelakar dan kepoh.

“Sehingga sekarang, saya masih cuba membawakan watak itu selepas menghadiri latihan selama dua minggu,” jelas Najua dengan panjang lebar.

Menurut Najua, ini merupakan kali pertama dia terlibat di dalam Muzikal Ibu Zain dan bekerjasama dengan pengarah Rosminah Tahir.

“Saya tak pernah bekerja dengan Cik Rosminah Tahir sebelum ini dan hanya merupakan pelajarnya di Fakulti Teater.

“Kali terakhir saya terlibat dalam latihan teater di ASWARA adalah teater klasik Mac Bell. Selain itu, saya juga mempunyai pengalaman teater melalui Sanggar Teater Fauziah Nawi (STEFANI) sejak berusia 10 tahun.

“Antara teater yang saya telah jayakan adalah Opera Ayu Chendana, Dari Bintang Ke Bintang dan Muzikal Tok Rimau,” cerita anak Allahyarham Nasir P. Ramlee ini.

Jelas Najua, sebolehnya dia mahu orang di luar sana mengenali bakat lakonannya.

“Saya jarang memegang watak besar dan biasanya hanya bekerja di belakang tabir. Jadi, saya nak cuba buktikan yang saya juga boleh berlakon,” ujar Najua yang turut aktif dalam bidang nyanyian.

Terbaru, Najua menyertai nyanyian di bawah team studio milik Linda Jasmine. Saya juga menyanyi di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Taman Budaya dan ASWARA.

“Biasanya, saya suka menyanyikan lagu-lagu lama seperti lagu rentak ghazal, lagu Arwah Atuk (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee), dan lagu sendiri.

“Sebelum ini, saya mempunyai album tetapi tidak menjadi. Antara lagu-lagu yang biasa saya nyanyikan adalah lagu Psurina dan Bukit Bintang.

“Saya menyanyi hanya untuk mengisi waktu lapang seperti waktu malam dan hari minggu,” tutur gadis yang turut meminati Silat Landai ini.

Saksikan Muzikal Ibu Zain di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang mulai 13 hingga 22 Mac ini, pukul 8.30 malam.

Tiket boleh dibeli pada harga RM20, 30 dan 50 di talian 03-6186 6592.

Teater ini dibintangi oleh Liza Othman, Nurfatimah, Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan, Natasha Hudson, dan Avaa Vanja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: