Friday, February 27, 2009

Penangan pondan

KUALA LUMPUR: Akibat gemar menjalin percintaan songsang, segelintir lelaki tempatan bukan saja mudah cair dengan pujukan pondan, malah sanggup lari meninggalkan isteri dan anak untuk bersama ‘kekasih’ sejenis itu.

Wartawan Harian Metro yang melakukan siasatan mengenai gejala tidak bermoral itu dapat mengesan beberapa kes dengan bantuan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan Malaysia (Sidim), Mohamed Hanafiah Abdul Malek.

Seorang isteri yang sengsara selepas suaminya menghilangkan diri sejak empat tahun lalu kerana mengikut kekasih pondan, ditemubual dengan syarat nama sebenarnya tidak disiarkan.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Intan, 39, menyedari kegemaran ganjil suaminya yang dikenali sebagai Mi apabila dia kerap memberi alasan mempunyai kerja di luar pejabat.


“Suami berkelakuan pelik dan dingin dengan saya ketika itu. Saya bertanyakan apa kesalahan saya, namun dia hanya mendiamkan diri.

“Allah itu adil. Selepas melakukan solat istikharah dan solat hajat, bukti kecurangan suami timbul depan mata.

“Seorang pondan datang ke rumah lalu bertanyakan suami yang ketika itu sakit perut,” katanya.

Pondan itu yang memperkenalkan diri sebagai Rosman atau Ros, kemudian dibenarkan bermalam di rumah mereka.

Malangnya, Intan terkejut apabila suami menyelinap masuk bilik pondan itu pada tengah malam.

Dia berkata, hancur hatinya apabila melihat suami dan pondan itu dalam keadaan amat mengaibkan.

Selepas berlaku pertengkaran antara Intan dan Rosman, kata Intan, suaminya menghilangkan diri bersama pondan itu dengan meninggalkan dua anak mereka yang kini berusia lima dan lapan tahun.

Dalam satu lagi kes, seorang eksekutif sebuah syarikat minyak berkenalan dengan pondan yang juga seorang kakitangan baru.

Perkenalan itu semakin intim hingga menjadi buah mulut rakan sepejabat.

Perhubungan songsang mereka terbongkar apabila isteri eksekutif itu menyerang pejabatnya kerana suami tidak balik ke rumah selama empat bulan.

Si suami memberi alasan terlalu banyak perkara perlu diselesaikan di tempat kerja atas arahan bos.

Selepas kejadian itu, pasangan luar tabii terbabit berhenti kerja lalu menghilangkan diri, manakala si isteri yang menderita terpaksa melakukan pelbagai cara supaya suami kembali ke pangkuan keluarga.

Namun, yang menyedihkan dia terpaksa menuntut fasakh selepas suaminya didapati positif HIV.

Mengulas penyakit kronik melanda masyarakat itu, Mohamed Hanafiah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi, berkata pihaknya banyak menerima aduan daripada isteri yang suami mereka lari mengikut pondan.

“Saya menasihatkan semua isteri supaya jagalah hati suami sebaiknya. Kerap bermanja dengan mereka kerana ada suami dalam kes itu memberi alasan tersangkut pondan disebabkan dapat servis ekstra dan pondan lebih manja daripada isteri sendiri.

“Sebenarnya ada perkara tidak sedari dalam hal itu iaitu krisis moral yang serius melanda masyarakat selari dengan konflik ekonomi.

“Jika berlaku kes seumpamanya, pasti semua terbabit terganggu mental, sekali gus daya produktiviti mereka untuk bekerja turut terjejas,” katanya.

Berdasarkan aduan terbabit, katanya, purata umur suami antara 30 hingga 40-an dan mempunyai latar belakang pekerjaan pelbagai serta berasal tanpa mengira dari bandar atau luar bandar.

Hanafi juga menceritakan pengalamannya ketika menghadiri majlis ‘perkahwinan’ pondan dan lelaki di sini, tahun lalu.

“Ia umpama di Barat tanpa sebarang akad. Saya bersama rakan yang menyamar sebagai jemputan beristighfar apabila menyaksikan majlis penuh dengan hidangan botol arak. Si pondan dipakaikan gaun pengantin perempuan dan mahkota.

“Kumpulan perosak akhlak itu hanya ‘mengesahkan’ perkahwinan pondan dan lelaki itu apabila pasangan terbabit memotong kek,” katanya.

1 comment:

  1. CELAKA LAKHNAT...MAKA CELAKALAH SPESIS MAKHLUK KAUM LUTH NI..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: