Saturday, February 28, 2009

Pernikahan rahsia Titi Kamal


CHRISTIAN SUGIONO dan Titi Kamal.


BERITA mengenai pernikahan antara pasangan selebriti Christian Sugiono dan Titi Kamal yang hangat diperkatakan sebelum ini bukannya khabar angin semata-mata.

Baru-baru ini, Christian telah mengakui kepada wartawan Indonesia bahawa dirinya sudah bernikah dengan Titi di Australia pada 6 Februari lalu.

Akuinya, pernikahan itu hanya dihadiri oleh 22 orang termasuk keluarga dan rakan terdekat.

"Memang kami telah melangsungkan majlis pernikahan pada 6 Februari lalu. Kami berada di sana selama empat hari dan mereka yang hadir adalah keluarga serta rakan rapat.

"Sebelum ini, kami sudah memberitahu keluarga kami mengenai berita ini. Jadi kami bukannya bernikah secara bersembunyi," ujar Christian di samping Titi Kamal di Brew & Co Cilandak Town Square.

Sungguhpun membuat pengakuan perkahwinan, pasangan ini enggan bercerita lanjut mengenai majlis perkahwinan mereka.

Kata Titi: "Biarlah kami sahaja yang tahu mengenai perkahwinan ini. Apa yang penting kami sudah bernikah secara sah yang disaksikan oleh keluarga kedua-dua pihak."

Christian juga enggan memberitahu mengenai jumlah mas kahwin yang diberikan kepada Titi. "Apa yang pasti jumlahnya agak besar. Sementara itu, isu cincin pula diuruskan oleh Titi sendiri," kata lelaki kacukan Jerman itu.

Sejak setahun lalu, mereka telah mula membuat persiapan perkahwinan. Pasangan ini juga memberitahu ada sebabnya mengapa mereka memilih bulan Februari sebagai hari bahagia.

"10 tahun lalu pada bulan Februari, saya bertemu dengan Titi buat kali pertama. Tetapi saya tidak mengingati tarikhnya. Jadi kami ingin mengingati saat itu dengan memilih bulan ini," tambah Christian.

Mengenai pemilihan lokasi pernikahan, jelas Titi, Australia adalah lokasi yang tepat untuk saat itu. "Pada mulanya kami ingin bernikah di Mesir tetapi tidak kesampaian kerana perang.

"Kami juga mahu memilih Yunani tetapi masa tidak mengizinkan. Jadi akhirnya kami memilih Australia."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: