Wednesday, February 25, 2009

Rihanna teruskan konsert di KL April ini

Rihanna dijangka akan meneruskan konsertnya di Kuala Lumpur, akhir April depan

KECEDERAAN teruk yang dialami oleh Rihanna akibat diserang kekasihnya, Chris Brown, baru-baru ini nampaknya tidak menjadi penghalang buat penyanyi popular antarabangsa itu untuk terus mengadakan konsert sulungnya di Kuala Lumpur, berkemungkinan pada akhir April depan.

Menurut Pengarah Urusan Pineapple Concerts Sdn Bhd, Razman Razali, agen Rihanna di Los Angeles memberitahu pihaknya bahawa penyanyi berusia 20 tahun itu tidak mahu membatalkan konsert yang sepatutnya berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 13 Februari yang lalu dan ingin melihat tarikh yang sesuai untuk meneruskan konsert tersebut.

"Dia masih ingin mengadakan konsert di sini. Pihaknya akan menetapkan tarikh baru itu tidak lama lagi dan kita juga akan meneliti semula lokasi untuk adakan konsert tersebut.

"Apa yang pasti, konsert itu tidak dibatalkan. Kita akan maklumkan tentang tarikh baru konsert itu dalam masa dua minggu lagi. Tetapi, berkemungkinan besar ia akan berlangsung pada akhir April depan," kata Razman.

Katanya lagi, bagi mereka yang sudah membeli tiket konsert itu sebelum ini dan ingin menuntut bayaran semula, mereka boleh berbuat demikian setelah pengumuman tarikh konsert baru itu dibuat tidak lama lagi.

"Mereka yang sudah pun membeli tiket mempunyai dua pilihan, sama ada ingin terus menonton konsert tersebut pada tarikh baru itu nanti atau pun menuntut semula bayaran penuh tiket itu," kata Razman yang menambah penundaan konsert itu dulu tidak langsung menjejaskan jualan tiket setakat ini.

Tambahnya lagi, proses untuk menetapkan tarikh baru itu tidak akan memakan masa yang panjang memandangkan pihak Pineapple Concerts sendiri telah pun bersedia bila-bila masa saja untuk mengadakan konsert tersebut.

"Bagi pihak kami, memang sudah lama kami bersedia. Malah, sebelum konsert itu ditunda dulu, krew produksi dan teknikal kami memang sudah membuat persediaan, hanya tinggal menunggu Rihanna ke sini," ujar Razman.

Kontroversi yang melanda Rihanna dan penyanyi R&B popular, Chris Brown cukup hangat diperkatakan gara-gara kes tersebut.

Insiden yang berlaku apabila Brown ditahan polis dua jam sebelum bermulanya majlis Anugerah Grammy pada 8 Februari lalu di atas dakwaan menyerang Rihanna menjadi satu berita yang amat menggemparkan.

Difahamkan, pergaduhan tercetus antara Rihanna dan Brown sebaik selesai parti pra-Grammy yang berlangsung sehari sebelum acara berprestij itu. Rihanna telah membuat aduan polis, namun Brown dibebaskan dengan jaminan US$50,000 (RM180,000).

Kedua-duanya juga turut menarik diri daripada membuat persembahan pada malam Anugerah Grammy itu.

Pergaduhan yang berlaku mengakibatkan kecederaan teruk di beberapa bahagian badan Rihanna. Penyanyi itu juga dikatakan mendapat gegaran yang teruk di kepalanya, serta terdapat bekas gigitan dan pendarahan hidung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: