Thursday, February 26, 2009

Serpihan tulang berbau wangi

SUNGAI BULOH: Pengalaman menyaksikan sendiri serpihan daging dan tulang rakyat Palestin yang terlekat di dinding bangunan akibat dibom tentera rejim Zionis menjadi detik paling sukar dilupakan jurufoto The New Straits Times Press (NSTP) Berhad, Tun Izhar Tun Ishak yang berkesempatan membuat liputan secara dekat untuk melihat penderitaan rakyat Palestin di Gaza, baru-baru ini.

“Mulanya ngeri juga melihat daging dan tulang yang sengaja tidak dicuci penduduk tempatan. Bagaimanapun, perasaan saya bertukar daripada ngeri menjadi terharu sebaik melihat dari dekat mayat terbabit.

“Ajaibnya, tulang yang terlekat itu langsung tidak berbau busuk, malah mengeluarkan bau wangi. Mungkin mereka ini termasuk golongan syahid yang dijanjikan syurga.

“Selain itu, satu lagi pengalaman tidak dilupakan apabila terlihat kesan comot seolah-olah palitan coklat pada muka seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang sebenarnya terkena bedilan senjata berisi fosforus,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pameran Foto Gaza di Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, semalam.


Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang dan Pengurus Besar Plus Expressway Berhad, Noorizah Abd Hamid.

Menceritakan pengalamannya sepanjang berada di bumi Gaza, Tun Izhar berkata, perasaannya bercampur-baur antara takut, sedih dan bersemangat ketika menjejakkan kaki di tempat itu.

“Memang takut dan berdebar ketika sampai di tanah Gaza tetapi saya kuatkan semangat serta tidak putus-putus berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan untuk menggalas tugasan yang diterima,” katanya.

Menurutnya, pengalaman sekali seumur hidup sepanjang berada di zon perang tidak mungkin dilupakannya hingga akhir hayat.

“Saya bersyukur kerana sempat merakam pelbagai gambar sepanjang berada di sana melalui lensa kamera yang menjadi medium untuk saya berkongsi pengalaman dengan masyarakat negara ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyaksikan pameran berkenaan boleh berkunjung ke Restoran Jejantas Sungai Buloh sebelum 23 Mac depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: