Thursday, February 26, 2009

Tak kisah dikritik


BUKAN sekadar menjadi sasaran gosip liar, lakonannya dalam drama dan filem juga sering mendapat kritikan orang kerana dikatakan kurang menyerlah.

Namun, pelakon jelita Fouziah Gous atau nama sebenarnya, Nor Fouziah Mohd Gous, 26, tetap menjadi rebutan pengarah drama dan filem untuk beraksi dalam projek mereka sejak tiga tahun lalu.

Malah, tawaran berlakon tidak pernah putus diterima pemenang Pelakon Harapan Wanita Popular, Anugerah Skrin 2007 (ASK2007) ini sejak tiga tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

Bermula dengan watak pembantu dalam filem Bujang Senang arahan Prof Madya A Razak Mohaideen, Fouziah terus dilamar pengarah itu untuk beraksi dalam beberapa lagi filemnya, Sifu dan Tongga, Rasukan Ablasa, Skrip 7707 dan terbaru, Dua Hati Satu Jiwa. Semuanya terbitan LineClear Motion Pictures Sdn Bhd.

Sebagai pelakon baru, Fouziah juga lebih suka melihat segala kritikan orang dari sudut positif.

"Saya sedar, setiap lakonan saya sering dikritik orang. Saya tidak ingin cepat melatah kerana menganggap ia sebahagian daripada proses pembelajaran.

"Tapi, ada juga orang yang memberitahu, lakonan saya dalam Sifu dan Tongga ada peningkatan. Bila orang beri komen membina, ia menyuntik semangat kepada saya untuk terus memperbaiki prestasi lakonan sedia ada," katanya.

Fouziah berkata, berlakon juga seperti kelas lakonan baginya.

"Saya masih ingat ketika mula berlakon dalam filem Bujang Senang dulu, saya masih berkhidmat sebagai pramugari dengan Penerbangan Malaysia. Terus terang, saya memang tidak tahu apakah sebenarnya bidang lakonan itu.

"Sebab itu, penampilan pertama saya nampak 'kaku' dalam filem itu. Selain pendiam dan kurang bersosial, tahap keyakinan diri saya rendah ketika itu," katanya.



Namun, kata Fouziah, pengalaman berlakon dalam Rasukan Ablasa banyak mengajarnya ilmu dalam bidang lakonan.

"A Razak banyak membimbing saya untuk meningkatkan keyakinan diri dalam sesi percambahan minda diadakan khusus untuk semua pelakon yang terbabit dalam filem itu.

"Pada mulanya, saya memang menghadapi masalah untuk menjiwai watak kerana keyakinan diri yang rendah tapi semuanya berubah apabila belajar dalam kelas lakonan A Razak ini.

"Ilmu yang ditimba dalam sesi itu cukup berharga kerana saya percaya tidak ada pengarah yang sanggup beri motivasi siang dan malam kepada pelakon secara percuma sepanjang penggambaran filem berkenaan.

"Selepas motivasi itulah, barulah saya 'temui' apa yang dicari dalam bidang lakonan. Saya juga tidak dapat ilmu lakonan ini ketika berlakon dalam produksi lain," katanya.

Gadis pembuka kotak dalam program Roda Impian ini juga mengakui dia tidak terikat dengan produksi Line Clear semata-mata.

"Saya juga berlakon dalam filem Maut arahan Bade Azmi. Mungkin orang tidak nampak saya berlakon dengan produksi lain kerana saya terbabit hanya empat babak saja. A Razak juga tidak pernah menghalang saya menimba pengalaman bersama produksi lain.

"Sebenarnya, saya banyak dapat tawaran berlakon daripada pengarah lain tapi terpaksa ditolak kerana menjalani penggambaran filem A Razak ketika itu.

"Selain filem, saya juga dapat banyak tawaran berlakon drama. Saya memang bermula daripada filem sebelum berlakon drama. Tapi kerana filem saya lambat menjengah pawagam, sebab itu orang ingat saya lebih banyak berlakon drama.

Contohnya, saya perlu menunggu tayangan filem Rasukan Ablasa lebih dua tahun sebelum menjengah pawagam," katanya.

Fouziah ditemui ketika sesi pratonton filem Rasukan Ablasa di GSC Cineleisure, The Curve, Bandar Utama, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, teraju utama filem itu yang juga pelakon baru, Gambit.

Bagi model dan pelakon baru, Gambit atau nama sebenarnya, Gambit Saifullah Rosli, 24, dia berharap orang tidak menilai kemampuannya sebagai pelakon menerusi filem itu.

"Ketika penggambaran Rasukan Ablasa, saya baru berusia 21 tahun dan filem ini juga penampilan pertama saya di layar perak ketika itu. Sebagai orang baru, sudah pasti banyak kelemahan dalam lakonan saya yang perlu diperbaiki.

"Apapun, saya menimba pengalaman berharga sepanjang penggambaran filem berkenaan," katanya.

Pemilik produksi Eightball Production Sdn Bhd ini juga pernah berlakon watak pembantu dalam filem Susuk dan Cinta selepas Rasukan Ablasa.

"Saya juga banyak terbabit dalam pementasan teater tempatan dan berminat untuk buat teater Inggeris selepas ini.

Saya juga pernah dapat tawaran berlakon dari produksi luar untuk bergandingan dengan pelakon Dian Sastrowardoyo.

"Tapi, saya terpaksa menolaknya kerana kaki mengalami kecederaan ketika itu. Watak yang ditawarkan pada saya juga memerlukan saya menunggang kuda. Kini, kecederaan saya sudah pulih dan tidak ada masalah untuk menjayakan babak menunggang kuda lagi," katanya.

Tambah, anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia juga menantikan tawaran projek filem yang bagus untuk mencabar lakonannya selepas ini.

"Saya berharap untuk bekerjasama dengan pengarah yang hebat di luar sana seperti Kabir Bhatia. Sebelum ini, saya pernah bekerja dengannya tapi sekadar watak pembantu saja dalam filem Cinta. Pada masa sama, saya harap orang menilai bakat dan bukan paras rupa kerana saya tawarkan bakat melebihi paras rupa kepada industri seni," katanya.



>Profil

NAMA: Nor Fouziah Mohd Gous

PANGGILAN: Fouziah Gous

TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982

TEMPAT LAHIR: Hospital Kuala Lumpur (HKL)

USIA: 26 tahun

TINGGI: 165 cm

BERAT: 48 kg

STATUS: Bujang

KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik

PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan (BSC), Kolej Systematic

KERJAYA: Model dan Pelakon

DRAMA: Enigma, Demi, Sangga Saadah, Qa'naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Kain Ketat dan SpaQ 2

FILEM: Bujang Senang, Malaikat Maut, Otai, Sifu dan Tongga, Rasukan Ablasa

PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: