Saturday, February 28, 2009

Takdir Rubina dan Azharuddin

Menonton Slumdog Millionaire, sesiapa sahaja pasti terkesan dengan kehidupan penuh daif Salim, Jamal dan Latika. Dua daripada pemegang watak itu sememangnya kanak-kanak miskin di negara asal mereka, India.




DUNIA mereka begitu jauh bezanya dengan kebanyakan penduduk dunia. Hidup dalam gubuk yang dikelilingi lautan sampah-sarap memberikan gambaran sebenar tentang kemiskinan yang menghimpit mereka. Mereka adalah anak-anak yang tinggal di kawasan kejiranan yang sangat kotor, sesak, tidak terurus dan melarat di India.

Mereka tidak berpeluang untuk pergi ke sekolah, apatah lagi untuk memakai pakaian cantik dan menaiki kapal terbang. Ia sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka.

Namun semua itu berubah pada majlis Anugerah Oscar, 22 Februari lalu.

Rubina Ali, 9, dan Azharuddin Mohammed Ismail, 10, kini mula melayari dunia yang penuh gemerlapan apabila mereka berpeluang menyertai nama-nama terkemuka Hollywood pada majlis anugerah paling berprestij dalam dunia perfileman.

Sebelum itu, kedua-duanya datang dari kawasan sesak dan kotor di Mumbai. Ketika itu, mereka hanya mampu bermimpi untuk tinggal dalam kehidupan yang selesa.

Dengan ibu bapa yang uzur dan wang yang tidak mencukupi untuk makan, kehidupan selesa umpama cubaan mencapai bintang di langit dan jauh daripada realiti.

Namun pada hari ini, kedua-dua nama bintang kecil itu telah dinaikkan ke status selebriti bukan hanya di peringkat tempatan malah, nama Rubina Ali dan Azharuddin Ismail kini dikenali di serata dunia.

Impian mereka juga telah berubah. Rubina dan Azharuddin kini mahu menjadi pelakon walaupun mereka akan terus tinggal dalam gubuk di kawasan kejiranan Bandra.


"RUBINA berdiri di hadapan rumahnya yang dikelilingi sampah-sarap di Mumbai."


Rubina yang menetap di gubuk beratap zink yang dikongsi bersama ibu bapa dan enam adik-beradiknya di kawasan setinggan sesak telah dipilih untuk membintangi filem Slumdog Millionaire, yang berjaya meraih banyak Anugerah Oscar tahun ini.

Filem itu mengisahkan perubahan hidup seorang lelaki miskin di India yang bersaing untuk memperoleh cinta dan wang di sebuah rancangan televisyen.

Selain beliau, rakan dan jirannya, Azharuddin telah dipilih membintangi filem arahan Danny Boyle yang kemudiannya meraih lapan anugerah berprestij termasuk kategori terbesar, Filem Terbaik.

Kawasan sesak Bandra jauh berbeza dengan kerlipan dunia Hollywood yang mewah dengan kereta limousin dan pakaian-pakaian daripada pereka terkemuka.

Azharuddin yang tinggal bersama ibunya yang buta sebelah mata dan ayahnya yang menghidap penyakit batuk kering memperoleh RM5.30 sehari dengan menjual kayu api. Mereka tinggal di sebuah gubuk yang diperbuat daripada tarpaulin dan tidur dengan selimut yang lapuk.

Sementara itu, rumah gubuk sebilik Rubina yang memainkan watak kanak-kanak Latika, terletak di atas lautan sampah-sarap.

Landasan kereta api yang kotor dan jalan raya yang dipenuhi sampah membentuk sempadan di kawasan penempatan yang sesak itu.

Setiap kali kanak-kanak perempuan yang bermata besar itu menyebut nama kawasan sesak itu sebagai rumahnya di kaca televisyen, rakan-rakannya melopong dan berbangga sebelum menjerit dan menari.

Kedua-dua kanak-kanak itu bukan hanya melengkapkan filem tersebut. Malah, mereka membawa perubahan di kawasan yang dahulunya tidak mendapat perhatian sesiapa pun, apatah lagi pihak luar.


"AZHARUDDIN berdiri di tepi gubuk keluarganya yang berlantaikan tanah dan beralas tikar di Mumbai."


Pada Isnin lalu, sekumpulan wartawan tempatan dan antarabangsa berduyun-duyun mengunjungi kejiranan tersebut.

Tripod televisyen dipasang merentangi sungai kumbahan yang berada di luar kediaman Rubina sementara deretan trak satelit terletak di luar sebuah gerai teh yang pada hari biasa lengang.

"Biasanya tiada siapa yang bercakap dengan kami dan tiada siapa yang datang ke sini. Tetapi sekarang, semua orang ada," kata bapa Azharuddin, Mohammed Ismail di hadapan kamera.

Kira-kira 65 juta rakyat India atau suku peratus populasi urban tinggal di kawasan sesak, menurut kajian kerajaan.

Di kawasan itu, penjagaan kesihatan hampir tidak wujud, buruh kanak-kanak berleluasa dan kehidupan yang penuh kemiskinan membentuk latar belakang harian.


"JIRAN-JIRAN Azharuddin menonton Anugerah Oscar menerusi televisyen di luar rumah mereka."


Sementara itu, akhbar Times pada tahun 2007 melaporkan dengan memetik kenyataan kerajaan India bahawa penduduk kawasan sesak telah meningkat lebih dua kali ganda sejak dua dekad lalu dan kini melebihi populasi Britain.

Perluasan kawasan sesak dan kotor di India sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan jumlah populasi India.

Keadaan bertambah buruk dengan migrasi beramai-ramai penduduk luar bandar untuk mencari pekerjaan yang lebih baik di kawasan bandar.

Di samping itu, peningkatan populasi kawasan sesak juga menjadi bukti kegagalan kerajaan untuk membina rumah dan infrastruktur asas yang mencukupi untuk penduduk bandar yang miskin.

Kebanyakan mereka hidup tanpa tenaga elektrik, gas mahupun paip air.

"Peningkatan kawasan ini disebabkan kekurangan rumah mampu milik yang disediakan oleh kerajaan," kata Maju Varghese dari YUVA Urban, sebuah organisasi bukan kerajaan yang telah membantu golongan miskin bandar selama lebih daripada 20 tahun.

"Kerajaan telah menarik diri untuk meneruskan bantuan itu kerana kos perumahan dan harga tanah telah meningkat ke tahap yang menyebabkan orang ramai tidak mampu memiliki rumah yang baik," ujarnya.

Di sebalik itu, filem Slumdog Millionaire menerima tentangan daripada sesetengah penduduk India yang mengatakan ia menjatuhkan martabat masyarakat itu dan tajuknya yang dianggap menghina.


"AZHARUDDIN berehat di gubuknya di kawasan setinggan di Mumbai sebelum berlepas ke Los Angeles untuk menghadiri majlis Anugerah Oscar."


Protes dilihat berlangsung di Mumbai dan penduduk kawasan sesak di bandar utara India yang mengatakan filem itu merendahkan martabat golongan miskin.

Pembuat filem Slumdog Millionaire berkata, mereka berhadapan dengan komplikasi bekerja dengan kanak-kanak daripada keluarga miskin.

Boyle yang memenangi kategori Pengarah Terbaik pada majlis anugerah tersebut dan produser, Christian Colson telah memutuskan untuk membantu Azharuddin dan Rubina dengan menempatkan mereka di Aseema, sebuah sekolah berbahasa Inggeris yang tidak mengaut keuntungan di Mumbai.

Kedua-dua ibu bapa Rubina gembira dengan usaha yang ditunjukkan oleh Boyle dan pasukannya.

"Apa sahaja yang boleh dilakukan oleh seorang ibu atau bapa, mereka telah membuat lebih daripada itu," kata Rafiq Qureshi.

Penghuni lain di kawasan kejiranan itu juga gembira dengan kejayaan pelakon kanak-kanak itu.

"Ia takdir Rubina," kata Mohammed Muzzammil, 22.

"Kami tidak mahu apa-apa daripada kejayaannya."

Namun demikian, sahabat akrab Rubina, Saba Qureshi mahukan sesuatu iaitu cerita-cerita dan gambar-gambar dari Los Angeles.

"Saya tidak percaya melihat Rubina di Amerika. Dia kelihatan seperti seorang bidadari," katanya.

Ayah Saba, Sohail Qureshi, menyelit : "Ia seperti kebahagiaan jatuh dari langit."

Pada majlis anugerah itu, sahabat handai dan kaum keluarga bersesak di rumah Rubina untuk menonton acara berprestij itu melalui satu-satunya tanda kekayaan keluarga itu, sebuah televisyen paparan leper.


"ORANG ramai mengerumuni Rubina yang gambarnya sedang dirakamkan di kampungnya di Mumbai."


Jiran-jiran juga berkumpul di luar rumah Azharuddin yang memainkan watak Salim ketika kecil dalam filem berkenaan. Sebuah televisyen kecil diletakkan di atas sebuah bangku di jalan untuk membenarkan orang ramai menonton.

"Hakikat di mana anak seorang lelaki miskin telah mengukir namanya sendiri telah membuatkan saya amat gembira," kata Mohammed Ismail.

Menurut akhbar dalam talian, Telegraph, bagi menghargai penghormatan yang telah mereka bawa ke bandar raya itu, pihak berkuasa Mumbai akan menghadiahkan mereka sebuah flat setiap seorang.

"Mendapat sebuah flat yang teratur adalah satu pemberian yang cukup bermakna bagi kami," kata bapa Rubina, Rafiq Qureshi yang bekerja sebagai seorang tukang kayu.

Tambah beliau: "Mula-mula ke Oscar dan sekarang, perkara ini. Kami telah menetap di kawasan ini selama tiga generasi dan akhirnya, kami mungkin dapat keluar dari situ.

"Ia bukan tempat yang baik untuk hidup kerana kami sentiasa berhadapan dengan ancaman untuk 'dimusnahkan'. Kesanggupan pihak kerajaan membantu kami adalah satu perkara yang menakjubkan," katanya sambil memaklumkan mereka tidak pernah bermimpi untuk memiliki sebuah flat.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Kawasan Maharashtra (MHADA) berkata, kanak-kanak itu wajar menerima pemberian tersebut.

"Mereka telah menaikkan nama negara dan membantu dalam kemenangan filem itu. Mereka begitu istimewa dan kami ingin membantu mereka," kata Pengerusi MHADA, Amarjeet Singh Manhas.

Sungguhpun demikian, keperincian mengenai lokasi dan saiz rumah baru kanak-kanak itu masih belum diketahui, tetapi besar kemungkinan ia adalah sebuah flat satu bilik di salah satu kawasan subbandar di utara bandar berkenaan.

Bagaimanapun, langkah itu telah menerima kontroversi di India.

"Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan cuba mengikut ombak populariti yang terhasil oleh filem berkenaan pada ketika pilihan raya semakin hampir," kata seorang ahli sains politik di Institut Sains Sosial Tata dan Pusat Pengajian Ekonomi London, Dr. Ashwani Kumar.

Sungguhpun filem tersebut melahirkan kontroversi, ibu Rubina mempertahankannya.


"BERDIRI di hadapan dari kiri, Azharuddin dan Rubina kini menyimpan cita-cita untuk menjadi pelakon filem."


Munni Qureshi menegaskan, filem itu telah memberikan anak-anak miskin satu peluang yang bermakna sepanjang hayat.

"Saya sedar filem itu telah dikritik kerana memaparkan kemiskinan. Tetapi ia juga bermakna seorang kanak-kanak perempuan dari kawasan sesak Mumbai yang tidak pernah mengimpikan untuk ke luar negara telah berpeluang ke Anugerah Oscar.

"Jadi, kenapa ia sesuatu yang teruk?" soalnya kesal.

Peluang yang diberikan oleh filem itu telah mengubah kehidupan kanak-kanak tersebut dalam sekelip mata. Perubahan itu bakal menyaksikan mereka akan ke sekolah yang lebih teratur dan tinggal di rumah yang lebih baik.

Bagi Rubina dan Azharuddin, mereka akan berhadapan dengan perjalanan hidup yang penuh cabaran demi mengecapi kehidupan di luar kawasan sesak yang dihuni selama ini.

Namun demikian, dengan apa yang diberikan itu, mereka akan berpeluang menikmati yang terbaik dalam hidup masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: