Thursday, February 26, 2009

'Telan' saja suara sinis...Syazliana Abd Karim




Dalam usia terlalu muda, Syazliana sudah bergelar penyanyi dan kebetulan dilahirkan dalam keluarga berada, kesinambungan kerjaya seni dapat diteruskan

TERLALU banyak usaha dan bukti menunjukkan bahawa penyanyi tinggi lampai, Syazliana Abd Karim, 22, ini sebenarnya cukup meminati bidang nyanyian. Sedari usia 13 tahun lagi dia sudah mula menunjukkan kecenderungan bergelar penyanyi dan berpeluang memiliki album sulung.

Malah, sehingga kini, penyanyi ini sudah menghasilkan empat album termasuk album terbaru menggunakan judul panggilan singkatnya iaitu Syaz dan memuatkan enam lagu. Menariknya album yang berada di pasaran awal Januari lalu diterbitkan syarikat kepunyaannya iaitu Seinna Entertainment dan mendapat kerjasama Sony BMG Music sebagai wakil pengedar.


Bukan tidak diiringi bakat dan pakej yang dianggap perlu ada kepada mereka yang ingin menjadi artis, cuma kehadiran penyanyi yang pernah mencuba nasib di dalam uji bakat Akademi Fantasia musim ketiga ini masih belum mampu memberi impak.

Kelibatnya hanya sekelip mata dan tenggelam timbul hingga akhirnya terus berlalu sepi. Biarpun rezeki belum kuat menyebelahi dirinya, istilah berputus asa dan pantang berundur tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Tidak cukup dengan itu ada pihak yang memberi tanggapan sinikal bahawa dia mampu memiliki album kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berada.

Menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan kedua-dua syarikat miliknya iaitu Seinna Entertainment Sdn Bhd dan Seinna Studio Sdn Bhd juga membuatkan anak ketiga daripada lima beradik ini terlalu komited terhadap kerja dan tidak terlalu memikirkan soal cinta.



Malah, Syaz juga sudah mampu berdikari dan tidak bergantung harap sangat kepada keluarganya kerana mampu menjana wang sendiri. Seloroh Syaz, selagi belum melelapkan mata, kerja, kerja dan kerja yang menjadi keutamaan.

Berbalik kepada album terbarunya, ia sepatutnya berada di pasaran sejak awal 2008, namun kerana kesibukannya sebagai pelajar, ia ditangguhkan. Selepas tamat pengajian Oktober tahun lalu, Syaz juga sepatutnya melanjutkan pengajiannya dalam peringkat ijazah di Australia. Namun demi tuntutan album dan perniagaannya yang semakin berkembang, ia masih dalam peringkat 'menunggu'.

"Syaz memulakan kerjaya nyanyian pada usia yang terlalu muda dan ketika itu Syaz tiada bimbingan yang betul dan profesional daripada pihak pengurusan. Tambahan pula, Syaz masih di bangku sekolah dan setiap kali tiga album terdahulu diedarkan di pasaran, masa tidak kena apabila bertindih dengan peperiksaan. Lalu, untuk tidak mengulangi kesilapan lalu, album keempat ini dipasarkan apabila Syaz betul-betul bersedia dan mengharap tuah kolaborasi dengan Sony BMG Music.

"Syaz lebih suka bersikap 'low profile' dan tak pernah berasa diri ini sudah popular. Realitinya, Syaz juga seperti orang lain yang keluar rumah tanpa solekan, bulu mata tebal dan rambut didandan rapi. Syaz pun selesa tidak dihimpit sebarang kontroversi dan gembira dengan apa yang ada. Kini, Syaz boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada dunia nyanyian dan pada masa yang sama urusan kerja.

SYAZ sedia berusaha perbaiki imej diri.

"Syaz tak boleh berkata apa mengenai tanggapan sesetengah pihak yang berpendapat Syaz mampu membikin album sebab anak orang kaya. Keluarga Syaz sebelum ini pun bermula dari kosong dan berusaha sebelum berada di kedudukan yang selesa. Syaz bersyukur dilahirkan dalam keluarga sebegini dan kenapa tidak dimanfaatkan untuk kebaikan masyarakat dan diri sendiri. Peminat Syaz pun tak pernah pertikaikan isu ini," katanya yang menunggu selama setahun untuk tampil dengan album keempat ini.

Ikut jejak bapa

DEMI kelainan dan cuba melakukan sedikit transformasi gaya imej sedia ada yang dianggap seperti terlalu menjaga kecantikan, dua busana koleksi peribadi miliknya menjadi pertaruhan. Percubaan pertama menggayakan busana kuning lembut hampir menjadi biarpun terpaksa berdepan dengan dingin suhu sejuk studio NSTP dan pada masa yang sama di hala kipas ke arah mukanya.

Namun, sehinggalah saat dia menyarung gaun merah menyala, Hip berasakan bagaikan ada sesuatu yang boleh diteroka. Pemilihan 'set studio segera' di ruang terbuka tingkat atas Balai Berita ternyata memperlihatkan sisi lain Syazliana.

Sesuai dengan ketinggiannya, sekali pandang dia persis peragawati. Mood dan ekspresi wajahnya sangat 'memberi' biarpun hakikatnya, dia terpaksa mengambil risiko memanjat tapak tembok yang tinggi dan diberi tekanan. Paling ketara, kematangannya berbicara juga tidak menggambarkan usia dirinya yang sebenar.

Sekadar saranan, mungkin juga penyanyi kelahiran Petaling Jaya ini perlu melakukan satu anjakan paradigma atau dalam erti kata lain perlu keluar daripada kepompong zon selesanya. Tidak bermaksud mengatakan apa yang dimilikinya kini tidak cukup baik, bahkan pemegang Diploma Hiasan Dalaman dari The One Academy of Communication Design ini sentiasa terbuka dengan sesuatu proses pembaharuan.

"Mungkin juga latar belakang keluarga dan cara Syaz dibesarkan membuatkan ia begitu. Pengalaman lalu hingga sekarang juga mematangkan hidup Syaz. Syaz ambil iktibar dan memantau persekitaran yang mencakupi kehidupan termasuklah ahli keluarga dan orang sekeliling. Sebagai contoh Syaz juga membabitkan diri dengan bidang perniagaan mengikut jejak bapa (Datuk Abdul Karim, usahawan korporat).

"Syaz tak kisah apa orang nak cakap mengenai perwatakan diri yang dikatakan suka 'control' ayu atau cantik. Janji Syaz tak jadi gedik yang boleh membuatkan orang menyampah. Syaz sedar bukan senang nak memuaskan hati orang. Tak semestinya apabila Syaz okey di depan 10 orang khalayak, bermakna khalayak yang selebihnya turut menyukai. Sebagai penyanyi dan pereka hiasan dalaman, Syaz memang sentiasa memantau dan mengalu-alukan pembaharuan.

"Melalui pelbagai medium seperti majalah, TV, internet, masyarakat dan persekitaran, Syaz boleh menjadikannya sebagai rujukan. Sejauh mana kita berubah dan memperbaiki diri, sebagai manusia biasa, kita tak mungkin akan mengecapi titik kepuasan. Itu lumrah," katanya yang menggunakan khidmat komposer seperti Iman Wan, Azan Addin, Adnan Abu Hassan dan Neves Pretty Ugly untuk album terbarunya yang dijual dengan harga RM19.90.

Sepintas: Syazliana

  • Peperangan: Amat sedih dan terkilan apabila saudara Islam kita sendiri dijajah dan dibunuh dengan kejam. Ingin memberikan sumbangan dan doakan buat mereka dalam hari-hari berlalu di dalam hidupnya.

  • Bakat baru: Bagus dan perlu untuk memeriahkan industri seni. Perkembangan yang sihat dan menambah jalur muzik yang berbeza.

  • Kewujudan dirinya: Ingin memberi kembali apa yang berfaedah kepada masyarakat daripada pelbagai sudut seperti nyanyian, kewangan dan sebagainya.

  • Perniagaan: Penting sebagai jaminan dalam kehidupan. Menggunakan apa yang dikurniakan untuk memastikan dirinya mendalami bidang ini dengan lebih jauh.

    INFO: Syazliana Abd Karim
    UMUR: 22 tahun
    TARIKH LAHIR: 25 Julai 1986
    TEMPAT LAHIR: Subang Jaya Medical Centre, Selangor.
    STATUS: Bujang
    KELUARGA: Anak ketiga daripada lima beradik
    PENDIDIKAN: Diploma Senibina Hiasan Dalaman di One Academy, College Sunway.
    SENARAI ALBUM: Singgahsana (2001), Demi Cinta (2003), Sinar Baru (2005) dan Syaz (2008)
    PENCAPAIAN: Peringkat Separuh akhir, Anugerah Juara Lagu Ke-18 (AJL18) dalam Kategori Etnik Kreatif & Irama Malaysia (2003) dan finalis AJL17 dalam kategori sama pada 2002.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: