Wednesday, February 25, 2009

Terbeli kasut kulit babi


WAN MOHD. SALLEH dan isterinya, Zaharah Mohd. menunjukkan kasut yang didakwa diperbuat daripada kulit babi di rumah mereka di Kampung Losong, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas, Wan Mohd. Salleh Wan Embong dari Kampung Losong Masjid di sini kesal kerana terbeli dan terpakai kasut yang diperbuat daripada kulit babi hanya kerana mengikut nasihat doktor.

Beliau mendakwa, nasib malangnya itu bermula ketika beliau mendapatkan rawatan penyakit strok yang dialaminya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini baru-baru ini.

“Ketika itu doktor tersebut mencadangkan agar saya membeli sepasang kasut berjenama tertentu yang dikatakan dapat meringankan kesan penyakit itu.

“Kata doktor itu, kasut tersebut dapat dibeli daripada pengedar yang disahkan oleh hospital tersebut,’’ katanya dalam satu pertemuan dengan Kosmo! di rumahnya di kampung itu semalam.

Bagaimanapun, selepas beberapa minggu memakai kasut yang berharga RM700 sepasang itu, barulah Wan Mohd. Salleh, 57, sedar bahawa kasut tersebut diperbuat daripada kulit babi.

“Saya dapati pada kulit tersebut ada tanda-tanda tiga bintik yang saya percaya ia kulit babi,’’ katanya sambil memberitahu sangkaannya itu juga disahkan oleh anaknya yang pulang bercuti baru-baru ini.

Bagi mendapatkan pengesahan, beliau telah meminta anak saudaranya merujuk kulit kasut itu kepada Jabatan Kimia Terengganu di sini.

“Anak saudara saya diberitahu secara lisan bahawa ia kulit babi,” kata Wan Mohd. Salleh.

Ekoran itu, beliau telah membuat aduan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia Terengganu sebelum dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

“Bagaimanapun, apa yang dikesalkan ialah TTPM tidak melihat serius isu kulit babi itu. Sebaliknya ia hanya meminta saya menyerahkan kasut tersebut kepada pekedai berkenaan dan menuntut kembali bayaran yang telah dibuat,’’ katanya.

Menurut Wan Mohd. Salleh, beliau sebenarnya tidak terlalu mengambil berat soal wang tersebut sebaliknya prihatin dengan cara kasut itu dijual kepada orang ramai terutama umat Islam.

1 comment:

  1. di akhir zaman ini, pelbagai cara digunakan untuk mengubah akidah penganut agama Islam. makanan, pakaian semua peralatan kegunaan harian ummat sejagat telah dicemari oleh macam2 benda haram. sedarlah wahai umat Islam, sekiranya kamu inginkan ketenteraman dalam kehidupan seharian berusahalah membantu ummatmu sendiri. jangan jadi ejen yang membenarkan perkara haram berlaku di sana sini. selidik,siapa yang berkuasa dalam TTPM tu??.. sebabtulah kot tindakan tidak diambil. Sama ada dia kafir laknattullah ataupun penganut agama Islam yang kufur kerana menjadi ejen yang membiarkan perkara sedemikian berleluasa. w'alam

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: