Saturday, February 28, 2009

Tolong hapuskan juri SMS - Hattan


SELANTANG nyanyiannya, demikian juga lantang Hattan ketika menjadi juri pertandingan nyanyian.


PERKATAAN dari mulutnya menderu keluar tanpa ditapis, setiap isi hati diluahkan sejujurnya. Itulah Hattan, dikenali sebagai seorang lelaki bermulut lancang.

Begitu juga ketika dia menjadi juri beberapa program realiti dan terbaru program My Starz LG musim kedua yang baru saja melabuhkan tirainya dengan kemenangan Wana.

Mungkin ada yang berasa sakit hati atau menyampah dengan kata-kata duda berusia 44 tahun ini saat dia duduk di kerusi juri tetap program berkenaan bersama penyanyi Liza Hanim.

Tetapi, Hattan dengan selamba mengatakan dia tidak peduli kerana dia hanya menjalankan tugasnya selaku juri profesional yang mahu mendidik dan melahirkan penyanyi yang serba boleh.

Namun, dalam kelancangan mulutnya berkata-kata, ada satu perkara yang membuatnya tidak senang duduk, iaitu penilaian bakat melalui sistem pesanan khidmat ringkas (SMS). Sistem ini semakin beraja didalam pertandingan mencari bakat-bakat baru dewasa ini yang sudah pastinya bersandarkan kepada kewajaran untung.

Apakah yang membuatkan Hattan tidak puas hati, sedangkan sebelum ini sudah berapa banyak program seumpama itu menghasilkan penyanyi popular.

Ikuti temu bualnya bersama Kosmo!

Apa yang Hattan tidak puas hati dengan penilaian menerusi SMS?

SMS membuktikan tidak banyak penyanyi yang keluar menjadi. Memanglah popular, tetapi sekejap saja, kemudian lesap entah ke mana. Berapa banyak artis realiti TV yang muncul tetapi yang boleh pergi jauh. Daripada jumlah itu, boleh dikira dengan jari tidak sampai 10 orang pun.

Maknanya Hattan menolak cara pemarkahan program realiti sekarang?

Memang saya tolak kalau 100 peratus undian terletak di tangan penonton. Ini kerana dengan cara itu bakat yang bagus diketepikan begitu saja tanpa digilap. Memanglah SMS ini bagus untuk pemasaran tetapi ada baik dan buruknya. Berapa ramai penonton yang undi sebab seseorang peserta itu bagus? Kebanyakannya undi sebab peserta itu kacak dan cantik bukannya bakat. Itu masalahnya.

Jadi, cara terbaik macam mana?

Saya rasa kita kena kembali ke zaman dulu, zaman 80-an atau 90-an. Masih dengan program realiti TV tetapi cara pemarkahannya menggunakan cara lama, macam Bintang RTM. Itu baru betul! Nampak macam klasik tetapi yang klasik itulah masih bertahan sampai hari ini. Sayanglah bakat bagus tetapi diundi keluar oleh penonton yang kadang-kala tersalah nilai.


APAKAH Wana akan mengikut jejak juara terdahulu yang terus 'sepi' selepas kemenangannya?


Kalau macam itu, kenapa Hattan sudi untuk menerima tanggungjawab sebagai juri tetap di dalam program My Starz LG musim kedua?

Saya setuju sebab 70 peratus markah terletak di tangan juri hanya 30 peratus saja di tangan penonton, maknanya kami juri masih ada kuasa untuk tentukan siapa yang layak menang.

Setiap minggu dalam program My Starz LG kritikan Hattan paling pedas. Boleh ke kritikan pedas membantu peserta menjadi artis yang bagus?

Kritikan saya itu hanya untuk provokasi supaya mereka jadi yang terbaik. Kalau baru kena kritik sikit pun nak kecewa dan bersedih susahlah. Artis macam ini tidak boleh pergi ke mana dan bermakna dia tidak bersedia. Jadi penyanyi bukan senang, kena kuat mental dan semangat. Saya tahu, sebab penyanyi generasi saya sudah lalui semuanya. Mungkin bentuk dugaan kami sikit berbeza kerana sekarang penuh dengan kecanggihan teknologi tetapi dugaan itu tetap sama.

Jika dilihat dengan teliti, program My Starz LG tidak berapa mendapat tempat di hati peminat seni. Pada Hattan di manakah kelas program ini?

Program ini ada kelasnya yang tersendiri, biarlah tidak popular pun asalkan dapat lahir penyanyi yang berkualiti, daripada popular tetapi yang keluarnya suam-suam kuku saja. Cukuplah dengan penonton sebanyak 1.8 hingga 2 juta setiap minggu.

Ada yang mengatakan Wana tidak layak duduk di tempat pertama, komen Hattan?

Siapa yang kata dia tidak bagus? Dia bagus, kami nilai persembahan dia setiap minggu dan dia seorang yang konsisten. Selain itu, pada hari final kami nampak kesungguhannya, sebab itu dia menang. Bukan saja kerana persembahan hebat tetapi vokalnya juga.

Dia boleh pergi jauh ke? Kalau tengok juara dan finalis musim pertama, sekarang pun orang sudah lupa?

Mereka semua bagus begitu juga dengan juara musim pertama Tashya. Mungkin masa itu tiada kontrak seperti musim kedua ini. Namun, untuk musim kedua ini saya tidak akan sia-sia mereka, dalam ramai-ramai peserta final saya akan nilai dan pilih untuk mereka bernaung di bawah syarikat saya sendiri. Industri seni perlukan pelapis dan saya dalam usaha untuk membentuk pelapis yang berkualiti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: