Sunday, February 8, 2009

Zaharil jumpa orang bunian


Nasha Aziz memegang watak puteri bunian. Adakah begini keadaan sebenar fizikal orang bunian seperti yang dilihat Zaharil?


Ramai yang ketawa terbahak-bahak apabila pengarah Zaharil Izham Zainon,36, mahu mengarahkan sebuah filem fantasi, Bunian - Mahkota Seri Helang. Mereka tergelak bukan kerana tajuk itu tetapi selepas membaca kenyataan beliau sebelum ini yang mendakwa telah berkomunikasi dengan orang bunian untuk mendapat gambaran mengenai alam itu.

Filem tersebut akan menjalani penggambaran pada bulan ini membariskan pelakon seperti Nasha Aziz, Rusdi Ramli, Mimi Rahzia, Ridzuan Hashim, Beego, Erry Putra dan Maimon Talib.

Ia diterbitkan oleh Fantasy Filem hasil olahan skrip yang diilhamkan oleh komposer Adnan Abu Hassan.

Bertempat di sebuah bukit di Taman Melati, Kuala Lumpur, Zaharil atau dipanggil Jantan bersama seorang bomoh dari Johor berpeluang melawat perkampungan bunian dan bersembang dengan “tok penghulu” kampung itu untuk menyampaikan hajat menerbitkan filem tersebut.

“Orang bunian itu tak menghalang pembikinan filem ini tetapi ada syarat-syarat tertentu,” katanya ketika dihubungi malam Khamis lalu.

Dalam masa yang sama ujar Zaharil ketika memasuki kampung bunian itu, dia dapat melihat gadis cantik serta lelaki kacak tetapi tidak dibenarkan menjawab salam mereka melainkan didalam hati.

“Kalau saya jawab, tok bomoh yang bawa saya kata saya tak boleh kembali ke alam nyata,” ujarnya kepada wartawan NIEZAM ABDULLAH.

Dek kerana kenyataan beliau itu, Zaharil turut dipersenda kononnya dia sudah gila. Ikuti kenyataan beliau.

Sebelum saya nak ajukan soalan yang panas, boleh cerita sikit bagaimana dapat idea mengarahkan filem belanja RM3.5 juta ini?

Kisahnya tiga tahun lalu. Masa itu Adnan Abu Hassan ada bagi tahu dia ada sinopsis cerita bunian. Saya suruh dia siapkan sinopsis dulu dan kami serahkan kepada penulis skrip Shafiuddin Shariff untuk membuat rombakan. Selepas tiga, empat kali rombak, akhirnya siaplah filem ini.

Dalam industri perfileman nama Zaharil tidak dikenali langsung. Ada orang mempertikaikan pengalaman Zaharil. Bagaimana?

Memang ini filem pertama arahan saya. Tapi sebelum ni saya dah mengarah kira-kira 15 buah drama dah. Sebelum ini saya juruteknik di TV3, lepas itu jadi jurukamera. Selepas berhenti TV3, saya buat kerja sambilan dalam bidang produksi sehinggalah saya mahu mengarah filem ini.

RM3.5 juta itu banyak kenapa belanja filem ini tinggi sangat?

Ya... memang tinggi. Bukan senang nak buat filem bunian. Sebanyak 15 peratus penggambaran melibatkan suasana di alam nyata manakala 85 peratus lagi suasana alam bunian. Penggambaran dilakukan di sebuah rumah lama yang diubah suai. Kami turut gali kawasan depan rumah itu untuk buat sungai dan juga menempatkan sebuah kapal. Tak termasuk dengan pakaian, imej bunian dan macam-macam kesan khas yang akan digunakan. Sebab itu kos filem ini tinggi.

Apa watak yang akan ada dalam alam bunian untuk filem ini nanti?

Kita akan dapat lihat puteri bunian yang cantik orangnya. Ada juga tiga makhluk bersayap termasuk pelesit yang mukanya hodoh. Dalam masa yang sama ada empat kaum bunian iaitu kaum Mondo yang berwajah hodoh, kaum Huqni (kerdil), Miraun (berbadan sasa) dan Al-Himmah (ulama bunian). Begitulah gambarannya.

Nak buat kajian sampai masuk ke alam bunian? Ada pula orang nak bawa masuk itu? Apa cerita sebenarnya ni?

Satu hari saya pergi makan di Pandan Indah. Tiba-tiba ada budak-budak di situ bercerita kalau nak tengok bunian boleh jumpa seorang bomoh dari Johor. Kebetulan saya nak buat filem ni, saya pun terus berhubung dengan bomoh itu. Dia pun bersetuju nak bawa saya jumpa tok penghulu bunian. Saya pun ikutlah.

Senang nak masuk alam bunian?

Susah juga. Saya kena puasa tujuh hari berturut-turut. Buka puasa hanya boleh minum air dan makan buah saja.

Boleh Zaharil cerita sikit proses nak masuk alam dia orang tu?

Saya dengan bomoh tersebut berada di bukit dekat Taman Melati tu kira-kira pukul 1 pagi. Bomoh tu pesan suruh saya duduk diam-diam dan pejam mata. Bila saya buka mata, nampak satu perkampungan. Bila pandang belakang nampak hutan. Bomoh itu suruh saya langkah kaki kanan. Kaki kanan tu sebenarnya dah di alam bunian sementara kaki kiri masih alam nyata. Bila dua belah kaki langkah sempadan tu, terus kelihatan keseluruhan kampung bunian. Di alam nyata malam tapi di alam dia orang siang.

Apa perbezaan bunian dan manusia?

Kampung bunian yang saya pergi itu orangnya alim-alim. Perempuan bertudung semuanya. Dia orang bercakap macam kita tapi bahasa baku sikit. Bezanya dia orang tak ada lekuk di bawah hidung. Dia orang jamu kami makan goreng pisang. Besar pisang dia. Rasa tak manis dan tak tawar. Air teh pula tak macam teh kita. Lain sikit. Saya rasa masuk sana 45 minit tapi rupa-rupanya dah dekat empat, lima jam. Jam tangan tak boleh bawa masuk. Itu syaratnya.

Ada pantang larang?

Ada. Kita tak boleh pergi dekat orang bunian tu jika dipanggil. Kalau ada yang bagi salam pun tak boleh jawab sebab takut nanti kita tak boleh keluar ke alam nyata. Jawab pun dalam hati saja. Saya cuma angkat tangan jika ada orang bagi salam.

Dengar cerita macam tak logik tapi yalah, setiap orang ada persepsi sendiri. Ada yang kata ini semua taktik Zaharil nak "letupkan" filem ni!

Saya cakap memang orang tak percaya pun. Macam nilah. Bila orang cerita kisah manusia kena rasuk hantu syaitan, kita percaya tak? Bila cerita tak percaya tapi bila kita terkena barulah kita rasa. Lepas ni kalau ada orang nak tipu saya pasal bunian saya dah tahu semuanya. Tak boleh nak kelentong lagi sebab saya dah masuk dan rasai alam dia.

Orang putih buat filem, dia orang mengkaji dari sudut lain. Lord of The Ring, Harry Porter, Jurassic Park adalah filem fantasi yang dikaji dulu. Dia orang tak perlu masuk alam itu pun nak buat filem tersebut?

Mat salih nak buat kajian, dia orang ada kelengkapan dan teknik. Kita kalau nak kaji harapkan buku panduan. Pada hal buku-buku itu semua dikaji oleh orang luar. Saya masuk dalam alam itu adalah salah satu kajian sayalah.

Ada tak orang kata Zaharil ni gila. Yalah, benda yang tak dibuat orang.

Ada juga. Tapi saya satu saja. Ia adalah pandangan individu. Nak percaya, percayalah. Tak percaya, nak buat macam mana? Saya nak masuk lagi alam bunian itu lepas ini. Kalau ada wartawan yang nak ikut, jom la.

Apa syarat orang bunian tu bagi nak siapkan filem ni?

Mereka minta supaya kami tak persendakan alam bunian. Ustaz di kampung bunian tu juga suruh buat pulut kuning dan doa selamat. Letakkan pulut tu kira-kira 50 meter atau 100 meter dari lokasi penggambaran. "Jamuan" tu kena buat seminggu sekali sampai habis penggambaran sebab takut berlaku benda yang tak baik. Itu sajalah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: