Tuesday, June 30, 2009

'Konsert Lelaki Ini' Anuar Zain imbau banyak kenangan lagu lama

Anuar bakal jayakan 'Konsert Lelaki Ini Anuar Zain' pada 1 dan 2 Julai, pukul 8.30 malam di Istana Budaya.

SEPANJANG berkecimpung dalam industri ini, buat pertama kalinya mulai esok selama dua hari berturut-turut penyanyi Anuar Zain akan menjayakan konsert solonya di Malaysia.

Sebelum ini, Anuar pernah membuat konsert solonya di pentas bertaraf antarabangsa, iaitu di Esplanade Theater, Singapura pada November lalu.

Kali ini, konsert yang dinamakan ‘Konsert Lelaki Ini’ itu menampilkan persembahannya bersama iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan selama dua jam di Istana Budaya, Kuala Lumpur anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2009.

Persembahannya pada dua malam itu akan diiringi oleh 55 orang pemuzik dan penyanyi latar di bawah iringan Orkestra Muzik Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi manakala muzik ‘live band’ di bawah arahan Aylwin Santiago.

Yang menariknya, penyanyi popular menerusi lagu ‘Lelaki Ini’ dan ‘Ketulusan Hati’ ini bukan sahaja akan mendendangkan lagu popular daripada album-album lama dan barunya malah buat pertama kalinya turut menyanyikan lagu nostalgia yang menjadi kegemarannya.

“Anuar akan menyanyikan lebih 20 buah lagu dari albumnya sewaktu kecil hingga ketiga-tiga album sekarang iaitu ‘Bila Resah’, ‘Keabadian Cinta’ dan ‘Lelaki Ini’

“Dia juga akan menyanyikan lagu-lagu kegemarannya semasa dia sedang membesar seperti lagu Penantian nyanyian arwah Zubir Ali dari kumpulan Harmoni dan Berdirinya Seorang Perindu oleh Ibnor Riza,” kata pengurusnya, Rohila bagi pihak Anuar yang kini sibuk dengan latihan sekarang.

Ditanya tentang kelainan yang ditonjolkan, Rohila menyifatkan konsert Anuar tiada yang ‘extra-ordinary’.

“Saya rasa tiada apa yang berbeza dengan ‘showcase’ yang pernah dia lakukan di sini dan Anuar akan sekadar menyanyi dan menghiburkan peminatnya sahaja.

“Lagipun, dia tiada masa untuk membuat kelainan,” ujar Rohila lagi.

Diaju tentang perkembangan Anuar selepas menjayakan konsert ini, Rohila berkata Anuar mempunyai projeknya tersendiri namun tidak boleh diuar-uarkan buat masa ini.

“Apa yang saya boleh katakan, dia juga sedang mengumpul lagu untuk album terbarunya yang melibatkan komposer tempatan dan komposer Indonesia.

“Kita belum tahu lagi bila dia dapat mengeluarkan album terbarunya sebab Anuar ni jenis selagi tiada lagu dan tidak mencapai sasarannya, selagi itu dia akan menunggu,” ulas Rohila seakan sudah ‘masak’ dengan perangai Anuar.

Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia tetap diteruskan, kata STB

IRAMA MAGIS: Kumpulan gamelan dari Bali, 'Sekaa Jaya Jenggala' dijangka menghiburkan para pengunjung RWMF dengan irama merdu dan tenang.

KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2009 di Kampung Budaya Sarawak (SCV), Santubong, dekat sini, pada 10 hingga 12 Julai ini akan tetap diteruskan seperti dijadualkan.

Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga termasuk pemeriksaan saringan ke atas peminat muzik dan artis akan dilakukan bagi mencegah sebarang penularan Influenza A(H1N1).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Gracie Geikie berkata lembaga itu bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri bagi mematuhi semua arahan dan syor oleh pihak berkuasa kesihatan itu.

Lan-E Tuyang akan membuat persembahan di RWMF 2009.

Selain pemeriksaan saringan percuma, katanya, pegawai kesihatan juga akan ditempatkan di SCV bagi menyediakan bantuan perubatan dan risalah mengenai wabak selesema itu akan diedarkan serta topeng perlindungan muka akan diberikan kepada pengunjung festival itu.

"Terdapat banyak spekulasi bahawa kami akan membatalkan acara itu berikutan wabak Influenza A(H1N1). Ia tetap diteruskan dan semua persiapan berjalan lancar," katanya pada sidang media di sini semalam.

Geikie juga berkata STB juga menempatkan satu pasukan perubatan di Pusat Peranginan Santubong bagi tetamu STb, artis dan lebih 200 wartawan asing dari media cetak dan elektronik untuk saringan mengesan selesema setiap hari.

RWMF akan diadakan di kaki Gunung Santubong dengan penyertaan empat kumpulan pemuzik tempatan dan 13 kumpulan asing dari Portugal, Chile, Hungary, Finland, New Zealand, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Tanzania, Maghribi, Poland, Indonesia dan Perancis.

Geikie yakin penjualan tiket pada festival ini akan melepasi sasaran 24,000 walaupun kebimbingan wabak influenza A(H1N1) dan kelembapan ekonomi global.

"Penjualan tiket menyakinkan. Setakat ini lebih 10,000 tiket telah habis dijual. Penjualan tiket dalam tempoh ini adalah kirakira lapan peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas," katanya.

Ahli-ahli kumpulan pemuzik, 'AkashA'.

Katanya penjualan tiket di beberapa tempat untuk menyaksikan persembahan selama tiga hari sudah berakhir dan hanya tiket harian berharga RM90 bagi orang dewasa dan RM45 bagi kanakkanak berusia 3 hingga 12 tahun masih dijual.

Katanya, tahun lepas festival itu menarik kirakira 22,000 peminat muzik dan menjana pendapatan sebanyak RM17 juta kepada negeri itu menerusi tempahan bilik hotel, makanan, minuman dan pengangkutan.

"Jumlah kos penganjuran tahun ini adalah kirakira RM2.4 juta dan saya yakin dapat menjana pendapatan kirakira RM20 juta," katanya.

Soseh Soseh: Giliran Damian, Nadia pula


TAHUN ini memang ramai artis tempatan memilih untuk menamatkan zaman bujang mereka terutama sepanjang Jun. Antaranya Catriona Ross, Maya Matahari, Nikki Palikat dan Dang Suria Zainordin.

Gitaris Meet Uncle Hussain (MUH), Taja pula melangsungkan pertunangan dengan Nafisah Mohd Khir, Jumaat lalu. SS difahamkan, mereka bertunang selama setahun.

Berita terbaru SS dengar, anggota kumpulan VE yang juga komposer terkenal yang pernah mencipta lagu rancak, Siti Situ Sana Sini yang dimuatkan dalam album Transkripsi Datuk Siti Nurhaliza, Damian Mikhail Seet, 31, dan pasangannya, Nadia Dayana Mohd Yahya (Nadia), 21, akan melangsungkan hari bersejarah mereka pada Oktober ini. Menurut rakan SS, pasangan ini akan mengadakan majlis resepsi mereka pada 3 Oktober ini di Tumasek Beach, Hotel Avillion, Port Dickson. Kata rakan SS, Damian dan pasangannya memilih konsep perkahwinan di tepi pantai pada hari bersejarahnya itu.

Damian juga dikatakan sudah membayar deposit yang juga sebahagian daripada kos majlis resepsinya di pusat peranginan terkemuka itu yang membabitkan kos RM30,000. Tidak cukup dengan itu, mereka sudah menempah 20 bilik termasuk chalet di atas air untuk saudara-mara terdekat membabitkan kedua belah pihak. Khabarnya, pasangan ini mengundang band khas untuk menghiburkan kira-kira 120 tetamu pada malam itu. Bagaimanapun, SS tidak dapat maklumat pula bilakah pasangan ini melangsungkan majlis pernikahan mereka sama ada di masjid ataupun di kediaman bakal pengantin perempuan di Kota Damansara.

Cuma yang SS tahu, Damian yang kini mempertaruhkan single terbaru solonya, Jelita sudahpun mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu yang juga bulan sama ketika dia memeluk agama Islam.

Apapun, sekalung tahniah warga SS ucapkan kepada Damian dan Nadia kerana bakal membina masjid yang diimpikan selama ini.

Selepas berita ini tersiar, SS harapkan, Damian akan melayangkan kad undangan perkahwinan mereka kepada warga SS supaya kami dapat merakamkan gambar hari bersejarahnya itu buat pembaca setia akhbar ini.

'Nabil tak ancam saya'


ANTARA Saiful Apek dan Ahmad Nabil Ahmad, mereka berkongsi persamaan iaitu pelawak. Biarpun Nabil meraih populariti dalam masa singkat menerusi program realiti, Raja Lawak musim kedua hingga dinobatkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Apek pula pernah menyatakan dia menunggu masa selama sembilan tahun untuk capai ke tahap Nabil yang mempunyai ramai peminat.

Berbanding Nabil, kebelakangan ini nama Apek seakan tenggelam. Sebelum ini, Apek dan Nabil bergandingan menerusi filem komedi, Sifu & Tongga yang ditayangkan 29 Januari lalu.

Selepas itu, cerita Apek sepi seketika hanya menunggu dua filem baru, Shh... Dia Datang (arahan pertamanya) dan Kecoh Betul yang bakal menemui penonton di pawagam tahun ini.

Apek atau nama sebenar, Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff berkata, dia masih laris menerima tawaran berlakon hingga sibuk dengan beberapa filem baru yang dijayakan tahun ini.

Antaranya, filem 4 Madu arahan Prof Madya A Razak Mohaideen. Menariknya, dalam filem itu dia masih diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama.

"Saya syukur kerana masih menerima tawaran berlakon. Walaupun Nabil lebih mencuri tumpuan, saya tidak mempunyai masalah atau cemburu dengannya.

"Pada saya, saingan antara kami suatu yang positif dan kami sebenarnya bersama menyumbang bakat seni kepada dunia hiburan tempatan.

"Dalam pada itu, kemunculan pelapis baru seperti Nabil sebenarnya tidak menutup rezeki atau mengancam kedudukan saya. Berbanding zaman sekarang, penerimaan penonton pada pelawak makin terbuka.

"Dulu, ketika saya menang Bintang Paling Popular, ABPBH 2003, ia membuktikan kedudukan pelawak setaraf pelakon. Sejak itu, pelawak turut memainkan peranan penting dalam menjayakan filem atau program TV. Apa yang saya lihat penerimaan pelawak turut membantu sambutan penonton.

"Hingga kini, saya berpendapat belum ada filem komedi yang saya lakonkan gagal di pasaran. Meskipun segelintir menganggap kejayaan filem lakonan saya sebelum ini banyak bergantung pada kehadiran saya, tetapi ia kerjasama semua pelakon dan kru produksi terbabit," katanya.



Mengenai 4 Madu, Apek melakonkan dua watak berbeza sebagai Azlan dan Azrul. Untuk mendapatkan lakonan berkesan, dia turut membawa adiknya, Syawal terbabit sama dalam filem ini. Katanya, kemunculan dia dan Syawal memberi kelebihan untuk mendapatkan syot yang sama.



Untuk aspek komedi, Apek berkata ia diolah menerusi perbincangan bersama pengarah selain dibantu idea pelakon lain. Bagi Apek, pelawak tidak semestinya mengikut skrip yang hanya dijadikan panduan.

"Ada orang kata saya gila bila masih menampilkan karakter Apek menerusi filem Cicakman. Walaupun lawak sering dilabel stereotaip, tetapi ia subjektif untuk diperjelaskan. Selagi lawak diterima penonton, tidak timbul isu ia stereotaip atau tidak," katanya.

Apek menyatakan dia akan terbabit dengan latihan untuk pementasan teater Cicakman The Musical yang dijangka Disember depan manakala dia juga akan kembali ke lokasi penggambaran sekuel Cicakman 3 yang akan bermula awal tahun depan.

'Terkejut 'boyfriend' meninggal'


JIKA orang lain memuja Michael Jackson, 50, dari kejauhan, Datin Nora Shamsudin, 49, serta keluarga pula dapat berbual mesra dan bergambar dengan raja pop dunia itu ketika Michael datang mengadakan dua konsertnya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 dan 29 Oktober 1996.

Nora yang juga pelakon terkenal era 70-an berkata, dia sama sekali tidak menyangka dapat bertemu dengan megastar itu. Namun rezekinya apabila Pengarah Hotel Concorde Kuala Lumpur, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir (Jojo) berjaya menjemput Michael mengadakan konsertnya di sini.

Justeru, Nora yang membesar dengan lagu Michael terkejut apabila adiknya memberitahu Michael sudah meninggal dunia kerana masalah jantung pada Jumaat lalu.

"Oleh kerana saya peminat fanatik Michael, adik saya selalu merujuk Michael 'boyfriend saya' dan pagi itu dia beritahu, 'kak Nor, boyfriend kak Nor dah meninggal.'

"Terkejut saya kerana memang selama ini kehidupannya diselubungi kontroversi, namun saya yang pernah berjumpa dan berbual dengannya tidak menyangka beliau akan pergi buat selama-lamanya.

"Dapat bertemu Michael kenangan yang saya dan anak-anak tidak boleh lupakan. Bukan senang hendak merapatinya kerana dia sentiasa dikawal pengawal peribadi dan mereka yang menguruskan urusan hariannya.

"Sebelum konsert itu dapat diadakan di Stadium Merdeka, Jojo menghadapi masalah mendapatkan tempat.

"Suami saya (Datuk Abdul Rashid Maidin) dengan bantuan beberapa pihak akhirnya berjaya mendapatkan kebenaran mengadakan konsert itu Stadium Merdeka.

"Selama empat hari berada di sini, dia menginap di Hotel Concorde dan kerana suami juga terbabit dalam konsert itu, maka kami sekeluarga turut menginap di hotel itu di bilik setingkat dan sederet dengan bilik penginapan beliau.

"Walaupun hanya dapat berjumpa Michael sekejap-sekejap, tetapi seronok kerana bukan semua orang dapat peluang seperti itu. Hendak berjumpa dengannya susah, kena perlu melalui alat pengimbas.



"Saya tengok Michael baik orangnya dan dia bercakap dengan suara yang lembut, tetapi dia tidak pandang muka orang yang bercakap dengannya kerana dia pemalu. Dia penyayang terutama terhadap kanak-kanak dan mereka yang kurang bernasib baik.



"Dia melayan mereka seperti anaknya sendiri. Ketika itu penyanyi yang wajahnya cacat, Siti Musliha ada sama dan saya tengok dia sangat mengambil berat mengenai penyanyi itu.

"Anak saya yang nombor dua (Mohd Wahi) pernah bertanya mengenai hidungnya. Dia sedikit pun tidak marah, malah menjawab dengan baik yang hidungnya bermasalah. Ketika dia keluar dari hotel dan melihat anak kecil, dia pergi mendapatkan anak itu dan mendukungnya.

"Begitu juga ketika dia mengadakan persembahan. Apabila melihat pengawal mengawal ketat depan pentas dan tidak membenarkan kanak-kanak naik pentas, dia turun bertemu mereka.

"Saya tidak percaya apabila mendengar dakwaan dia mencabul kehormatan kanak-kanak. Orang macam dia, sesiapa saja akan mengambil kesempatan ke atasnya," katanya.

Dalam kemasyhurannya itu, jelas Nora, Michael sebenarnya kesunyian dan sangat merindui zaman kanak-kanaknya.

Jelas Nora, apabila keseorangan dia banyak termenung dan apabila dia tersenyum membayangkan raut wajahnya yang bermasalah.

Dia sebenarnya kesepian dan kehilangan sesuatu dalam hidupnya, katanya.

"Ada wang dan mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia, tetapi sebenarnya dia berada dalam dunianya sendiri. Waktu lapang dia suka bermain Play Station dan apa saja permainan kanak-kanak.

"Anak saya dapat bermain dengannya dan suka permainan tembak-tembak. Dia juga menghadiahkan anak saya dengan permainan yang dibeli di Toys 'R' Us.

"Populariti yang diraihnya sejak kecil membuatkan dia tidak dapat melalui zaman kanak-kanak dan remajanya seperti orang lain. Dia sangat baik, tetapi kehidupan dan gerak-gerinya dikawal ketat orang sekeliling.

"Sepanjang empat hari berada di sini juga, Michael menggunakan MPV Estima saya (BDR 4). Bumbung kenderaan itu boleh dibuka dan Michael teringin sangat untuk melihat peminatnya dari bumbung MPV itu, tetapi dihalang pengawal kerana bimbangkan keselamatannya.

"Ketika berada di hotel, Michael selalu berdiri di tepi tingkap biliknya di tingkat 18 untuk melambai tangan kepada peminat.

"Sehari selepas dia balik ke Amerika Syarikat, pendingin hawa kereta itu meletup kerana selama dia berada dalam kenderaan itu, pendingin hawa itu tidak pernah ditutup. Setahun selepas konsert itu diadakan, kami menjual kereta itu.

"Saya juga minta Den Wahab jahitkan sepasang baju Melayu hitam untuknya dan baju itu siap dalam masa sehari. Saya turut menghadiahkan dia selendang untuk dipadankan bersama baju itu," katanya.

Nora juga teringat Michael suka makanan Malaysia terutama tom yam.

Katanya, penyanyi yang popular dengan tarian robot dan moonwalk itu susah hendak tidur dan memerlukan doktor memberi suntikan ubat tidur kepadanya.

"Mengenai agamanya, saya tidak pasti, tetapi Jojo ada cerita yang Michael pernah berjumpa Yusuf Islam berbincang mengenai Islam, tetapi tiada yang memberi galakan kepadanya.

"Jojo pun banyak beri nasihat supaya dia memeluk Islam kerana melihatkan perwatakannya yang lemah-lembut, Islam paling sesuai dengannya. Saya berharap dia meninggal dalam Islam dan dikebumikan cara Islam," katanya.

Kasih lama akhirnya bersatu...Dang Suria


Raut halus daun nipah
Buat bakul simpan kekabu
Walau bertahun jiwa terpisah
Kerana cinta kami bersatu

HANYA dengan sekali lafaz, pengacara rancangan Awani Pagi dan bekas pembaca berita TV3, Dang Suria Zainordin, 37, atau Dang Suria sah menjadi isteri kepada penulis lirik prolifik Ahmad Shah Adrian Samad, 40, atau Ad Samad pada majlis pernikahan di rumah kakak pengantin perempuan di Kota Damansara pada Sabtu lalu.

Tepat jam 9 malam, pasangan ini selamat dinikahkan Pengawai Penolong Pendaftar Nikah, Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kota Damansara, Petaling Jaya, Mohd Arip Johdi.

Pada majlis itu, Ad Samad turut menyerahkan mas kahwin kepada Dang Suria berupa satu dinar emas berserta hantaran lima dulang berbalas tujuh termasuk cincin perkahwinan disarungkan pasangan ini sewaktu majlis membatalkan air sembahyang.

Mempelai kelihatan manis dalam persalinan yang direka khas Putera dari Butik Cosry dan sebaik pernikahan selesai, diteruskan dengan majlis resepsi.

Majlis berlangsung dalam suasana ringkas, tetapi cukup meriah dengan dihadiri keluarga rapat dan sahabat handai.

Turut hadir Baharudin Omar atau lebih dikenali Anjang Aki yang bertindak sebagai wakil tuan rumah bagi memastikan majlis dapat dijalankan dengan lancar dengan disaksikan Datuk Aziz Sattar dan Datuk Ismail Hudson.

Kelihatan juga rakan artis seperti M Nasir dan Marlia Musa, Mawi dan Ekin, komposer Aidit Alfian, Pacai, penulis lirik, Habsah Hassan, pengarah juga pelakon, Afdlin Shauki dan pengacara 999, Zakiah Anas.

Sewaktu ditemui sebaik majlis selesai, Dang Suria mahupun Ad Samad meluahkan rasa syukur kerana pernikahan dapat dilaksanakan seperti dirancang.

Kata Dang Suria, tiada apa yang lebih membahagiakan dirinya selain bergelar isteri kepada Ad Samad yang dikenalinya dengan lebih rapat sejak tujuh bulan lalu.



"Kami sebenarnya sudah mengenali antara satu sama lain sejak kecil dan pernah menjalin cinta.



"Bagaimanapun, ia terputus selepas Ad Samad berpindah dan kami bertemu kembali Januari lalu. Sejak itu, cinta yang terputus kembali terjalin," katanya.

Bagaimanapun, pengalaman bernikah bukan kali pertama buat pasangan ini, malah mereka mempunyai cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.

Sudah tentu pernikahan yang dilangsungkan bukan saja menyatukan dua hati, tetapi juga dua keluarga.

Kini, tanggungjawab Dang Suria bukan saja menjadi ibu kepada anak tunggal perempuannya, Sara Kadeja, tetapi juga dua anak lelaki Ad Samad, Umar dan Hamzah.

Kata Dang Suria, dia sudah bertemu dengan kedua-dua anak lelaki Ad Samad beberapa kali sebelum mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

"Dalam hal ini, saya cuba mendidik anak-anak dengan cara positif. Dulu saya ada seorang anak perempuan, tetapi sekarang mempunyai dua cahaya mata lelaki.

"Sebelum berkahwin lagi, saya sudah jelaskan kepada Ad Samad bahawa saya bukan mahu menggantikan tempat ibu mereka, sebaliknya saya lebih senang mengambil pendekatan anak-anak adalah sahabat paling baik kepada ibu bapa mereka. Begitu jugalah cara saya mendidik Sara.

"Perkara ini sering saya katakan setiap kali bersiaran di rancangan Awani Pagi bahawa anak adalah khazanah paling berharga untuk mencerna masa depan dunia.

"Jadi apa yang berlaku pada masa hadapan adalah bergantung kepada bagaimana kita mendidik mereka.

"Begitupun, saya sedar tanggungjawab yang harus saya pikul ini tidak mudah dan keserasian tidak akan diperoleh dalam sekelip mata. Namun sebagai ibu kepada anak-anak kami, saya cuba lakukan yang terbaik," katanya.

Mengenai perancangan selepas majlis pernikahan, kata Dang Suria, mereka tidak merancang untuk berbulan madu dalam waktu terdekat memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya.

"Pada saya, dapat menggenggam erat tangan Ad Samad dan diijabkabulkan sebagai suami isteri sudah dianggap hadiah berharga dan bulan madu paling indah buat saya," katanya.

Pasangan ini juga tidak terfikir untuk membesarkan keluarga dengan memiliki cahaya mata sendiri dalam waktu terdekat ini, sebaliknya menerima apa saja yang datang sepanjang menjalani kehidupan berumah tangga.

Sementara itu, Ad Samad menjelaskan pertemuan semula selepas bertahun terpisah, membuatkan dia yakin bahawa Suria adalah wanita yang sudah ditentukan Tuhan untuknya dijadikan suri hidup.

"Ada yang berpendapat kami terlalu cepat mengambil keputusan ini (bernikah). Tambahan pula kami mula berkenalan sejak Januari lalu, tetapi pada saya itulah yang dikatakan jodoh.

"Hendak diikutkan, kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak zaman remaja lagi, tetapi pertemuan semula ini boleh dianggap tempoh terbaik untuk menyelami hati masing-masing lebih mendalam sebelum kami bersetuju untuk bernikah," katanya.

Ad Samad juga mengharapkan semua orang mendoakan rumah tangga dibina kali kedua ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Konsert air mata Rossa


SEORANG teman di Hotlink bertanya, siapa agaknya artis Indonesia paling sesuai mereka bawa ke Malaysia untuk menjayakan konsert mini sempena penghargaan syarikat telekomunikasi berkenaan kepada pelanggan mereka.

Tanpa ragu-ragu, nama Rossa dan kumpulan Ungu dimaklumkan sebagai pilihan paling sesuai berdasarkan reputasi mereka sebagai penyanyi dan kumpulan pop paling popular di Indonesia ketika ini selain sambutan konsert mereka yang sering 'sold out.'

Perbualan kira-kira tiga bulan lalu terhenti setakat itu saja sehinggalah pada 22 Jun lepas, satu sidang media Konsert Mini Cerita Cinta Rossa anjuran Hotlink di Tun Lanang 1 Ballroom, Hotel The Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur diadakan.

Dan seperti dijangka, dengan bersandarkan nama hebat seperti Rossa, konsert anjuran Hotlink ini pastinya akan berjaya.

Ia terbukti apabila perkarangan KL Live, Life Centre Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, yang menjadi lokasi persembahan, mula dibanjiri ratusan peminat meskipun jam baru melewati 7.15 malam.

Sebahagiannya terpaksa berbaris di tangga bagi pemeriksaan tiket sementara yang berada di dalam lebih ramai. Rossa hanya muncul di pentas kira-kira jam 9 malam sebaik persembahan kumpulan Sofaz sebagai penyanyi jemputan.

Membuka persembahan dengan lagu Malam Pertama dan Seribu Malam, Rossa atau namanya sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 31, secara tiba-tiba sebak.

"Sungguh luar biasa! Apakah sebahagian orang di Kuala Lumpur semuanya berhimpun di sini untuk menyaksikan persembahan saya?.

"Biar apapun dugaan atau masalah yang saya sedang jalani, namun seperkara yang sentiasa membuatkan saya sentiasa bersemangat melakukan persembahan adalah kerana saya tahu peminat semua menyayangi saya.

"Saya berharap anda semua terus menyokong karier saya sampai kapan pun," kata Rossa yang terharu dengan kehadiran 3,000 penonton yang membanjiri konsertnya.



Persembahan diteruskan dengan dendangan lagu hit seperti Terlalu Cinta, Aku Bukan Untukmu, Hati Yang Terpilih dan Nada-Nada Cinta.



Sesuai dengan tema konsert, setiap lagu yang disampaikan mewakili pengalaman cinta berbeza-beza. Putus cinta, dilamun cinta, cinta terhalang, sedang ingin bercinta, jatuh cinta, mabuk cinta, cinta agung dan dendam kerana cinta, mana satu pengalaman cinta anda? Pokoknya, cinta itu memang 'universal'.

Semuanya dibawakan penyanyi mirip wajah Datuk Siti Nurhaliza dengan penuh 'feel' dan penceritaan cukup menarik menerusi 18 lagu popularnya sepanjang 12 tahun melayari dunia seni.

Antaranya, pengalaman cinta Rossa yang dikongsi bersama peminat sebaik dia melagukan Hati Yang Terpilih ciptaan Melly Goeslaw.

"Sekitar tahun 2000, saya berpacaran dengan seorang teman lebih lima tahun. Lelaki itu bukan Yoyo (suami Rossa) dan Irfan Gunawan juga bukan. Dia adalah teman lelaki saya sewaktu di kolej.

"Selepas lima tahun bercinta, kami memutuskan hubungan dan saya sayang amat sama dia. Justeru, saya minta Melly buatkan satu lagu mengenai dia supaya apabila dia dengar nanti dia akan tahu lagu itu sebenarnya ditujukan kepadanya.

"Tidak lama selepas itu, Hati Yang Terpilih menjadi lagu yang cukup popular dan kerap diputarkan di radio. Lalu saya pun menghubunginya dan bertanya sama ada dia sudah mendengar atau tidak lagu itu.

"Katanya, sudah namun jawapan yang diberi cukup pantas dan nada suaranya serius. Saya jadi pelik dengan sikapnya itu.

"Kemudian saya terdengar ada suara wanita di belakang memanggilnya 'yang ayuh makan siang.' Sejak dari itu saya tidak pernah lagi menghubunginya," kata Rossa disambut tawa penonton.

Kehebatan vokal penyanyi genit ini sememangnya diakui sejak kali pertama melebarkan karier seninya di Malaysia melalui album Tegar pada 1999 dan melalui album itu juga, kerjaya nyanyiannya terus maju di negara ini.

Pada malam itu, dia yang mengenakan tiga persalinan, turut membawa penonton mengimbau saat kali pertama hadir ke Malaysia melalui lagu Tegar yang disampaikan dengan cukup bertenaga.

Sesudah menyanyikan lagu itu, tiga peminat diundang naik pentas, tetapi siapa yang mampu menyanyikan lagunya saja dipilih untuk menari bersama.

Justeru, Rossa memilih Salahudin dan Ihsan yang mengiringinya menari ketika menyampaikan lagu Bila Salah.

Rossa yang diiringi enam pemuzik handalan termasuk seorang penyanyi latar, terus menghangatkan persembahan dengan lagu Cerita Cinta, Tegar dan Hati Yang Kau Sakiti.

Namun, saat menyampaikan lagu Hati Yang Kau Sakiti terbias emosi pada nyanyian penyanyi bersuara lantang ini yang tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.

Mungkinkah kerana terlalu menghayati lagu itu atau sebenarnya Rossa tersentuh dengan bait-bait lirik lagu itu yang menggambarkan kekecewaan sedang dialaminya ketika ini.

Apatah lagi seperti diketahui, peminat Rossa sedang berhadapan masalah rumah tangga dengan suaminya, Yoyo, pemain dram kumpulan Padi sehingga mengambil keputusan berpisah (tidak duduk sebumbung) sejak setahun lalu.

Pasangan ini berkahwin pada 13 Mac 2004 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Rizky Langit Ramadhan yang lahir 3 Oktober 2005.

Enggan emosi menguasai diri tambahan pula sebelum ini pernah memaklumkan kepada rakan media dia tidak mahu menangis sewaktu menjayakan konsert itu, meneruskan persembahan dengan lagu rancak, Hey Ladies, single terbaru yang semakin popular di Malaysia.

Lebih dari sebuah persembahan, Rossa turut menunaikan janjinya malam itu dengan membawa pasangan duetnya Pasha, vokalis kumpulan Ungu, berpadu suara melagukan Tercipta Untukku dan Terlanjur Cinta.

Saat penonton mendengar suara Pasha yang masih menyorot di belakang pentas, ruang legar Life Centre gamat dengan jeritan peminat.

Suasana bertambah bingit saat jari-jemari penyanyi digenggam Pasha yang akhirnya merangkul Rossa dalam dakapannya sebaik selesai menyanyikan lagu itu.

"Sebelum menjayakan persembahan di Kuala Lumpur, konsert Cerita Cinta Rossa terlebih dulu dipentaskan di Indonesia di tujuh buah kota.

"Namun, kami sering kali tidak berkesempatan membuat persembahan bersama kerana jadual Pasha sama bandnya Ungu terlalu padat. Maka, tempat Pasha itu selalunya digantikan penyanyi lelaki lain.

"Namun, peminat di sini cukup bertuah kerana malam ini dapat menyaksikan pasangan duet terbaik saya, Pasha menyanyi bersama saya di konsert ini.

"Gara-gara keserasian kami menyanyi, ada yang menggosipkan saya dan Pasha bercinta walhal kami sudah lama bersahabat," kata Rossa sambil memandang Pasha yang mengiyakan kata-katanya itu.

Lebih satu setengah jam berlalu, persembahan Rossa hampir sampai ke penghujungnya. Sebelum melabuhkan tirai tepat jam 11.30 malam menerusi lagu Sakura, dia terlebih dulu memperdengarkan vokal hebatnya buat kali terakhir dengan lagu Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta dan Pudar.

Sementara itu, sehari selepas mengadakan persembahan Rossa, yang tiba di Malaysia sejak 22 Jun lalu, sempat meluangkan masa menyaksikan Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada malam ketiga, Ahad lalu. Sahabat baik Siti, Kris Dayanti juga terbang dari Jakarta untuk hadir memberi sokongan pada Siti.

Siti memang No 1

Tiada apa yang perlu dikritik selain melontarkan pujian buatnya. Ternyata aura anak jati Kuala Lipis, Pahang ini tidak pernah pudar walaupun sudah berkeluarga. Justeru, pengaruh wanita jelita ini terhadap peminat setianya dan industri muzik sangat besar. Malah, yang pasti Siti sudah membuktikan siapa sebenar dirinya di Konsert Eksklusif Satu di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 26 hingga 28 Jun lalu, jam 8.30 malam.

Konsert selama dua jam 15 minit itu adalah dedikasi bermakna Siti untuk peminat. Kata Siti, ini adalah julung kalinya dia mengadakan konsert solo itu di IB. Bahkan, Konsert Eksklusif Satu juga merealisasikan impiannya untuk menggabungkan melodi, tarian, grafik dan emosi dalam satu persembahan pentas yang sangat menghiburkan.

”Apapun, saya sesekali tidak lupa pada asal-usul dari mula hingga kini sebagai anak seni. Justeru, konsert ini menceritakan perjalanan karier nyanyian saya yang mana dipenuhi suka, duka dan kontroversi yang membawa Siti Nurhaliza hingga ke tahap sekarang.

”Malah, sokongan peminat yang tidak berbelah bagi juga menjadi tunjang pada karier saya. Lihat sajalah, mereka (peminat) yang hadir ini. Kalau dulu kecil (kanak-kanak), sekarang mungkin sudah berkahwin. Begitu juga yang bergelar makcik kini sudah jadi ‘nanny’ (nenek).

”Tidak terkecuali, yang belum berkahwin sekarang sudah berkeluarga seperti saya. Inilah proses kematangan hidup yang dilalui setiap insan. Cuma, dalam waktu bergembira ini usahlah lupa pada yang memerlukan. Oleh itu, ini juga konsert amal,” katanya.

Pada malam konsert itu, Siti cukup anggun dalam busana menawan tajaan Jakel, ketika asyik menghiburkan pengunjung dengan rangkaian lagu popularnya seperti Hati, Seindah Biasa dan Sutramaya, Siti juga tidak lupa mendendangkan lagu irama tradisional yang menjulang namanya.

Bahkan, hakikatnya diva tersohor ini cukup mengenang jasa komposer yang membantunya dalam memartabatkan lagu irama tradisional dan kontemporari iaitu komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah. Katanya lelaki itu penggubah lagu hebat.

”Apa tidaknya, beliaulah penggubah lagu untuk kempen kraf tangan, membaca dan budi bahasa. Malah, siapa yang dipilihnya sebagai penyanyi, saya jugalah yang diberi peluang. Oleh itu, irama tradisional juga adalah latar belakang pada muzik yang saya bawa,” kata Siti yang turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pak Ngah.

Antara lagu irama tradisional dan kontemporari yang diperdengarkan Siti ialah medley Cindai, Balqis dan Nirmala. Asyik mengenang memori indahnya, secara tidak langsung Siti sudah menceritakan ‘separuh’ daripada kehidupannya sebagai anak seni.Namun, hakikat hidup manusia tidak semua yang dilalui itu gembira. Ada ketikanya, diduga dengan kesedihan. Malah, kata Siti, dia juga tidak dapat lari daripada melaluinya. Dari permulaan karier, kegemilangan dan kesedihan adalah asam garam kehidupan.

Sebanyak 23 lagu didendangkan Siti setiap malam konsertnya. Antara lagu diperdengarkan ialah Cinta Ini, Bulan Yang Mesra, Pendirianku, Pada Cintanya, Ku Mahu, Biarlah Rahsia, Siti Situ Sana Sini, Destinasi Cinta, Di Taman Teman dan Cahaya Cinta.

Bukan saja peminat, namun ramai juga rakan artis hadir antaranya Azizah Mahzan, Ziela Jalil dan Habsah Hassan. Ternyata, Konsert Eksklusif Satu Siti melakar sejarah kerana persembahan sangat berkesan.

Apapun, sebelum Siti memulakan persembahannya, penonton lebih dulu dihiburkan dengan persembahan bertenaga bintang Akademi Fantasia 5 (AF5) Aizat. Maxis Communications Berhad selaku penaja turut menyampaikan sumbangan hasil kutipan konsert itu sebanyak RM120,000 kepada Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan Siti dan suami.

Lan MUH sah bawa haluan sendiri

Tak mampu diselamatkan lagi! Segala permasalahan dan kontroversi yang melanda kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) berakhir apabila vokalisnya, Lan meninggalkan kumpulan itu. Pengumuman secara rasmi dilakukan pada 25 Jun lalu bertempat di premis hiburan popular, Hard Rock Cafe serentak dalam satu sidang media konsert penampilan terakhir MUH bersama Lan sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2009 yang akan berlangsung Ahad ini.

Mengimbas kembali sejarah kemunculan MUH, selain Lan, kumpulan ini turut diasaskan oleh Taja dan Afat. Mula ke arus perdana sejak dua tahun lalu, bagaimanapun kumpulan ini sudah mula bergerak secara indie sejak lapan tahun lalu.

Berjaya mencipta fenomena, Lagu Untukmu menjadi penanda awal kebangkitan jalur muzik MUH. Malah, lagu ini yang diperkenalkan dalam drama bersiri Kami di saluran 8TV menjadi siulan. Awal tahun lalu, MUH juga mencipta kejayaan berganda apabila Lagu Untukmu memenangi kategori Pop Rock, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23. Istimewanya lagu itu turut memenangi kategori keseluruhan Juara Lagu AJL 23. Mengharap tuah dan tempias populariti terus memuncak, namun apa yang diharapkan tidak kekal berpanjangan. Semuanya bermula selepas Anugerah Planet Muzik tahun lalu, apabila vokalisnya sendiri menimbulkan masalah termasuk dalam soal disiplin dan sikap.

Hal ini terus berpanjangan apabila ia terus menjadi perbualan dan isu di media. Ia terus digembar-gemburkan dan terus menjadi wabak yang mencalarkan imej dan kredibiliti MUH. Dijangkakan Lan akan berubah dan insaf dengan apa yang ditimbulkan tetapi ternyata dia masih begitu apabila semakin menjadi-jadi kerenahnya. Nasi sudah menjadi bubur, Lan kini memilih haluan sendiri manakala MUH masih diteruskan perjuangannya oleh Taja dan Afat. Taja atau nama sebenarnya Nik Mustaza Nik Mustapha yang ditemui sebelum sidang media berlangsung sempat memberikan kenyataan dan jawapan ‘selamat’ di atas pengunduran Lan.

“Apa yang kami nampak, ideologi serta hala tuju kami dan Lan sudah mula berbeza. Tiada guna juga nak bersama kalau sudah tidak sehaluan. Kepala sudah tidak seiring hinggakan benda kecil boleh menjadi isu yang melarat. Kalau kami ‘bergaduh’ pun semua membabitkan soal kerja sebab ketidakserasian mula terserlah. Ini pilihan Lan dan kita tidak boleh menghalang tindakannya.

“Perjuangan MUH harus diteruskan dan dalam masa terdekat saya dan Afat akan mencari dua orang lagi anggota baru termasuk vokalis. Jujur saya akui agak terkilan tindakan Lan ini, namun dalam masa yang sama saya lega kerana mengharapkan permasalahan selama ini akan berakhir. Perasaan teruja pun ada menunggu perkembangan terbaru MUH.

“Yang terjadi sudah terjadi dan apa yang saya pelajari tidak guna merumitkan keadaan yang sedia keruh. Tak perlu menuding jari menentukan siapa salah, siapa betul kerana kalau terus ‘berperang’ sampai bila pun takkan habis. Demi kebaikan semua, keputusan yang diambil ini mungkin antara jalan terbaik," kata Taja.

Vokal unik Black atasi semua peserta Mentor

Black dan mentornya, Mas Idayu.

SETELAH diumumkan mara ke peringkat separuh akhir, kumpulan A dan B digabungkan untuk meneruskan perjuangan di pentas Mentor 3. Peserta yang berjaya menumpaskan Evo (kumpulan A) dan Keena (kumpulan B) ialah Black, Fira, Thye dan Chaq.

Ternyata mereka harus melipatgandakan usaha memantapkan persembahan untuk terus kekal meneruskan perjuangan bergelar juara. Konsert malam ini bakal menentukan nasib seorang lagi perserta Mentor yang akan diumumkan tersingkir di akhir persembahan mereka nanti.

Markah-markah terkumpul terdahulu tidak lagi dikira untuk peringkat separuh akhir ini. Penyingkiran akan dikira melalui markah yang diperolehi pada malam konsert tersebut yang diadili oleh juri undangan, juri awam dan undian SMS penonton.

Persembahan akan menjadi bertambah sengit kerana peserta yang mendapat markah terendah akan disingkirkan bagi mencari dua peserta ke peringkat akhir. Juri undangan untuk konsert separuh akhir ini ialah Shafinaz dan Hattan.

Chaq (kanan) dan mentornya, Ajai.

Jika konsert-konsert yang lalu para peserta menyanyi secara solo dan duet, malam ini mereka harus menyerlahkan kemantapan vokal mereka dengan menyanyi solo secara medley. Persembahan dimulakan oleh Chaq, protege kepada Ajai yang terkenal dengan bakat tarian yang mengiringi setiap persembahannya.

Chaq menyampaikan lagu Inilah Nasibku/Fanatik, diikuti oleh Fira protege kepada Lah Ahmad. Thye yang sememangnya diakui oleh mentornya, Adibah Noor mempunyai keunikan vokal membawakan lagu-lagu asli akan menyampaikan lagu Keroncong Untuk Ana/Hatinya Tak Tahan malam ini.

Kemudian, Protege Mas Idayu, Black beraksi di pentas menyanyikan lagu Tasik Utara/Cek Mek Molek/Hijau disusuli dengan persembahan penutup oleh keempat-empat peserta mendendangkan lagu, Bila Aku Sudah Tiada.

Menurut Penerbit dan Pengarah Mentor musim ke-3, Muhamad Sufian Isa, “Empat peserta yang layak ke peringkat akhir ini mempunyai keunikan masing-masing dari segi vokal dan bakat sebagai penghibur.

Para Mentor yang seharusnya mencorak mereka untuk menentukan arus perjalanan sebagai penyanyi berdasarkan kualiti yang mereka miliki. Persaingan ini bertambah sebgit apabila mereka digabungkan kerana inilah kali pertama mereka bertanding sesama sendiri.

Fira satu-satunya calon wanita yang berjaya ke peringkat separuh akhir.

Jika dilihat markah terdahulu, Chaq mengungguli kumpulan A manakala Black mendahului untuk kumpulan B. Namun setelah digabungkan, tidak mustahil jika Fira berjaya mengalahkan Black dan Thye berkemungkinan mampu menewaskan Chaq. Apa yang pasti, dua peserta yang layak ke peringkat akhir nanti merupakan yang terbaik dari pemerhatian pihak juri dan penonton.”

Mentor musim kali ini mempamerkan sedikit perubahan dari segi format pemarkahan di mana markah akan diberikan melalui 3 bahagian iaitu 50% dari juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% lagi melalui juri awam yang terdiri daripada pelajar-pelajar muzik, wartawan, penerbit rancangan dan golongan semi-profesional dalam bidang industri muzik. Setiap protege akan diberi peluang membuat persembahan sebanyak 3 kali mengikut kumpulan masing-masing melalui konsert yang diadakan secara berselang-seli antara kumpulan A dan B.

Markah dari ketiga-tiga persembahan ini akan digabungkan bagi menentukan 2 peserta yang mendapat markah tertinggi dari setiap kumpulan untuk ke separuh akhir. Protege yang mendapat markah terendah akan disingkirkan.

Pada peringkat separuh akhir, 2 protege dari kumpulan A dan B ini akan digabungkan semula untuk berentap dan seorang protege akan disingkirkan setiap minggu bagi mencari 2 peserta ke peringkat akhir.

Juara pertandingan realiti ini akan menerima hadiah lumayan, protege membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva dan Mentor pula meraih RM 100.000 manakala tempat kedua, protege dan mentor memenangi wang tunai, RM 30,000.

Thye tersingkir pada minggu lalu.

Mentor 3 menampilkan pengacara terkenal, Ally Iskandar Mohd Mardzi sebagai pengacara program dan Jurnal Mentor. Selain dari itu, wartawan sensasi Nas Ahmad juga turut sama dalam program ini bagi mencungkil kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas.

Mentor kali ini juga turut menjemput peserta-peserta yang pernah datang ke ujibakat yang dirasakan ‘unik’ untuk /membuat persembahan pada setiap minggu.

Program Mentor ini telah menemui penonton TV3 mulai 19 April 2009 yang lalu dengan rangkuman sesi ujibakat manakala konsert Mentor bermula 3 Mei 2009 dengan konsert pengenalan bagi memperkenalkan protégé sebelum berentap pada Ahad (10 Mei 2009) dalam konsert mingguan.

Program ini bersiaran setiap Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam. Selain dari itu, penonton juga boleh menyaksikan sorotan persediaan serta aktiviti-aktiviti protégé bersama mentor mereka melalui Jurnal Mentor, setiap Ahad jam 5.30 hingga 6.00 petang manakala Jurnal protégé yang memaparkan diari harian protégé akan ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam.

Noniswara: Datuk R bukan jenis yang 'menggatal'

PELBAGAI telahan akan timbul apabila seseorang artis memilih lelaki berstatus ‘Datuk’ untuk dijadikan calon suami termasuk yang dilabel sebagai artis materialistik.

Namun, biarpun apa orang kata, aktres cantik Noniswara tetap dengan pendiriannya untuk memilih seorang Datuk yang hanya dikenali sebagai Datuk R yang mula mengisi ruang hidupnya sejak dua tahun setengah lalu.

Dia mempunyai sebab tertentu dalam memilih Datuk yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi itu dan tekad untuk bernikah pada 31 Julai depan.

“Saya nampak Datuk R merupakan seorang yang baik, jujur dan merendah diri. Itu yang penting.

“Dia juga seorang yang serius serta fokus dan bukan jenis ‘menggatal’. Dia lain berbanding Datuk-Datuk yang lain. Saya rasa dia memang calon suami terbaik untuk saya.

“Tetapi kalau apa-apa berlaku selepas ini, saya tidak tahu. Saya hanya minta semoga jodoh kami berkekalan,” beritahu Noniswara yang pernah dilamar oleh orang kenamaan lain sebelum ini.

Namun, katanya, dia hanya setia pada yang satu dan tidak mungkin akan berpaling arah daripada Datuk R.

“Jika orang nak katakan yang saya ni seorang wanita materialistik, dah lama saya pilih Datuk atau Tan Sri yang pernah melamar saya sebelum ini tetapi saya bukanlah jenis yang macam tu.

“Saya kenal dia pun melalui bisnes dan memilihnya bukan kerana harta. Bagi saya, harta merupakan perkara nombor dua,” tegasnya.

Mengimbau kembali mengenai perkenalan mereka, pelakon filem Maut ini pertama kali bertemu dengan Datuk R semasa di lapangan terbang ketika melawat adiknya di London kira-kira empat tahun lalu.

“Dia yang menegur saya terlebih dahulu kerana saya kehilangan pasport waktu itu.

“Sejak dari hari itu, kami tidak berjumpa lagi sehingga selang dua tahun selepas itu, baru saya mendapat tahu yang dia ada membuat bisnes dengan bapa tiri saya.

“Semuanya berlaku secara kebetulan. Salah seorang rakan saya yang terlibat dalam bidang korporat juga membuatkan perkenalan kami menjadi semakin rapat.

“Bila terjumpa sahaja, mesti saya kami akan kata ‘Eh, jumpa lagi’. Lepas tu kami terus rapat sehingga sekarang.

“Waktu kami kenal pun, dia tidak tahu yang saya ni seorang pelakon kerana dia tidak terlalu mengikuti cerita artis tempatan. Boleh dikatakan dalam 90 peratus dia tidak mengenali artis Malaysia melainkan yang top sahaja seperti Datuk Siti Nurhaliza,” jelasnya mengenai cerita sebalik detik pertemuan mereka.

Seawalnya, kisah cinta mereka sudah mula digembar-gemburkan sejak setahun lalu namun Noniswara enggan mengulas mengenainya atas sebab tertentu.

“Waktu tu sebabnya ada perkara-perkara yang saya tak reti hendak menjawabnya lagipun kami hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan,” ulasnya.

Menurut Noniswara, ikutkan Datuk R telah melamarnya sejak dua tahun lalu lagi dan seterusnya mereka berkira-kira untuk mendirikan rumah tangga sejak awal tahun ini namun perandangan itu selalu tertangguh.

“Kami mengambil masa yang lama untuk berkahwin kerana masing-masing terpaksa menyelesaikan kerja terlebih dahulu.

“Dia pula selalu ke luar negara dan sibuk dengan anak-anaknya yang tinggal di sana,” tutur Noniswara yang tidak berselindung mengenai status ‘duda’ yang dipegang oleh Datuk R.

Datuk R, 50, mempunyai lima orang anak hasil perkongsian hidupnya dengan dua orang isteri.

Noniswara bukan sahaja tidak kisah dengan status Datuk R malah juga perbezaan umur mereka yang berbeza sebanyak 12 tahun.

Menyentuh tentang majlis perkahwinannya nanti, Noniswara berkata mereka memilih untuk melakukan majlis yang sederhana sahaja.

“Ini merupakan perkahwinan saya yang kedua, jadi dari segi persiapan tu biasa sahaja kerana kami merancang untuk melakukan majlis secara sederhana.

“Dari segi hantaran, mungkin akan ada yang asas sahaja seperti al-Quran, manisan dan persalinan. Semuanya saya akan sediakan sendiri dengan bantuan rakan-rakan.

“Bila dah nak dekat ni, saya rasa ‘tension’ juga sebab banyak perkara yang belum siap lagi. Persiapan pun baru siap dalam 10 peratus,” ujarnya yang dalam masa yang sama sedang sibuk berlakon drama bersiri ‘Kecuali Cintamu’ untuk Astro Ria.

Tambah Noniswara, ‘dugaan’ bagaikan datang serentak apabila ibunya pula sedang mengidap penyakit kanser payudara serta masalah jantung dan kini dimasukkan ke salah sebuah hospital swasta di Kelantan.

“Nasib baiklah saya mempunyai pembantu peribadi yang boleh menolong. Tetapi kalau saya tak kata ‘ok’, mereka takkan buat dan setakat membantu mana yang patut,” katanya.

Selang sehari selepas dia dan Datuk R dinikahkan, mereka akan menjalani majlis resepsi di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

“Pada 1 Ogos, kami akan membuat majlis resepsi sekadar majlis makan malam sahaja. Kami hanya menjemput dalam 500-600 tetamu yang terdiri daripada keluarga, saudara-mara dan kawan baik saya.

“Ikutkan Datuk R nak jemput ramai orang tetapi mesti beribu-ribu sebab kawan dia pun dah ramai. Jadi, kami rasa baik tak payah jemput sebab takut nanti ada yang terasa hati,” kata pelakon drama bersiri ‘Dendam’ ini.

Konsert Eksklusif ‘SATU’ Siti tiada tanding taranya!

KONSERT Eksklusif 'SATU' Datuk Siti Nurhaliza baru-baru ini penuh dengan jiwa.

Luahan rasa yang disampaikan oleh penyanyi tersohor negara ini menerusi lebih 30 buah lagu medley dapat dirasakan oleh penonton dengan bantuan visual, kesan bunyi dan props.

Boleh dikatakan semua lagu yang dinyanyikan menunjukkan pelbagai rasa- marah, sedih, keliru dan gembira.

Siti pandai mengekspresikan wajahnya mengikut alunan dan mood lagu dengan bantuan muzik tradisional, 'live band' dan 'strings' di bawah pimpinan Pengarah Muzik Aubrey Suwito.

Konsep pentas yang disusun begitu cantik dan indah sekali mampu menarik minat penonton untuk tidak berganjak dari kerusi masing-masing agar mereka tidak terlepas sedikitpun biarpun acara selingan.

Acara selingan yang dimaksudkan adalah acara pemuzik menunjukkan kehebatan mereka bermain alat muzik seperti gendang, drum, biola termasuk tarian.

Siti membahagikan persembahannya dengan pelbagai segmen sepanjang dua jam 10 minit itu.

Antaranya adalah segmen medley lagu tradisional terbaik daripada Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, medley balada dan medley rancak.

Siti begitu pandai menyusun lagu dengan bantuan pengarah konsert dan koreografer terkenal Pat Ibrahim dan penyelaras konsert, kakak ipar dan pengurus Siti, Rozie Abd Razak.

Segmen lagu yang menaikkan nama Siti dalam industri diadunkan menerusi lagu ‘Jerat Percintaan’, ‘Purnama Merindu’, ‘Bukan Cinta Biasa’ dan ‘Cinta Ini’.

Seterusnya lagu tradisional di mana Siti berkata dia mendapat didikan daripada arwah abahnya, Tarudin Ismail dan ibu Siti Salmah Bachik serta komposer atau digelar 'Bapa Irama Malaysia', Pak Ngah dengan nyanyian lagu ‘Cindai’, ‘Balkis’ dan ‘Bulan Yang Mesra’.

Visual kilat dan api yang membara mengambil alih pentas menceritakan tentang pergolakan atau gosip yang melanda diri Siti.

Selepas itu, lagu balada seperti ‘Pendirianku’ dinyanyikan ala-ala konsep 80-an dan retro turut memukau penonton, diserikan lagi dengan lagu ‘Pada CintaNya’ dan ‘Ku Mahu’ yang menjadi lagu tema drama bersiri ‘Spa Q’.

Medley Balada 1 pula mengiringi konsert itu dengan penyampaian lagu ‘Bisakah’ yang merungkai episod melankolik yang melanda diri Siti yang dinyanyikan dalam nada marah dan geram, diikuti dengan lagu ‘Dialah Di Hati’ yang meredakan semula nada amarah tadi.

Siti turut menghidangkan penonton dengan lagu-lagu yang menggambarkan dirinya sedang dilamun cinta seperti lagu ‘Mulanya Cinta’ dengan iringan muzik erhu, termasuk lagu ‘Debaran Cinta’, ‘Ku Milikmu’, ‘Wanita’, ‘Bila Harus Memilih’, ‘Cuba Untuk Mengerti’ dan ‘Biarlah Rahsia’.

Lagu yang menunjukkan permulaan hubungan Siti dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu cuba disampaikan oleh Siti dengan penuh mendalam di mana dia berkata:

“Sebagai manusia, kita kena membuat keputusan yang kadangkalanya disukai atau tidak. Selagi berpandu pada petunjuk dan yakin dengan apa yang diingini dan mengikut jalan yang diinginkan, saya akan buat keputusan berdasarkan media dan peminat.

“Apa yang dilalui, Siti terima dengan terbuka dan redha dan mengambil keputusan orang yang saya sayang dan baik seperti Datuk K yang juga menyayangi saya dengan baik.”

Seterusnya, Siti mempersembahkan lagu yang dicipta olehnya dengan luahan rasa cinta terhadap suaminya, ‘Cahaya Cinta’.

Selepas itu, lagu ‘Siti Situ Sana Sini’, ‘Destinasi Cinta’ dengan koreografi yang menarik dan disukai penonton sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu terbarunya, ‘Di Taman Teman’.

Setiap persembahan Siti sentiasa mendapat tepukan gemuruh daripada penonton dan tidak membosankan dengan pengisian lagu-lagu yang menyedapkan halwa telinga.

Maxis derma RM120 ribu untuk Yayasan Nurjiwa

Ketua Pegawai Kewangan Maxis, Rossana Rashidi, sedang menyerahkan cek sumbangan Maxis kepada Datuk Siti Nurhaliza. Maxis juga telah bermurah hati memberi hadia istimewa kepada 1,400 pengguna Hotlink and Maxis untuk menonton 'Konsert Eksklusif Satu.' ‘Konsert Eksklusif Satu’, adalah inspirasi daripada konsep 1Malaysia, ilham Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak

MAXIS Communications Berhad (‘Maxis’) hari ini telah mendermakan hasil kutipan Malam Gala Maxis konsert oleh Dato’ Siti Nurhaliza kepada Yayasan Nurjiwa, sebuah pertubuhan amal yang ditubuhkan oleh penyanyi itu dan suaminya.

Hasil kutipan mencecah RM120,000. Rossana Rashidi, Ketua Pegawai Kewangan Maxis telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Dato’ Siti di satu majlis ringkas yang diadakan selepas konsert itu.

Rossana Rashidi berkata, “Maxis sentiasa memegang komitmennya untuk menyumbang kepada masyarakat setempat. Malam ini, kami berbangga mendermakan semua hasil kutipan daripada malam gala Maxis kepada tujuan amal yang akan membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan mangsa bencana. Sebagai tambahan, kami juga dengan senang hati membawa kepada pelanggan setia Maxis persembahan berkualiti artis tekemuka Malaysia.”

Maxis telah menghiburkan lebih 1,400 pelanggan Hotlink dan Maxis dengan “Konsert Eksklusif Satu” Dato’ Siti sebagai sebahagian daripada malam gala Maxis. “Konsert Eksklusif Satu”, diinspirasikan oleh seruan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk rakyat bersatu padu. Lebih 130 pelanggan Maxis bertuah (dan pasangan) telah memenangi tiket konsert premium bagi menonton persembahan secara langsung diva popular Malaysia itu. Mereka sama ada telah menjawab soalah trivia SMS dengan betul; memuat turun nada dering pemanggil Dato’ Siti atau menebus mata ganjaran Hotlink untuk tiket konsert. Sebagai tambahan, pelanggan lain juga menikmati diskaun istimewa 20% ke atas tiket. Tiket-tiket telah habis dalam beberapa hari pengumuman malam gala.

Dato’ Siti Nurhaliza telah mempersembahkan lebih 30 lagu hitnya sepanjang konsert dua jam itu, termasuk lagu popular seperti Di Taman Teman, Cahaya Cinta, Hati, Pada Cintanya dan Ku Mahu. Tema konsert berkisar turun dan naik Dato’ Siti setelah lebih satu dekad nyanyian dan meliputi perjalanannya ke puncak. Kira-kira 25 penari dan 20 pemuzik telah mengiringi Dato’ Siti sepanjang persembahan itu.

Sehubungan dengan konsert itu, Maxis menawarkan pakej nada dering pemanggil Dato’ Siti pada kadar RM5 sebulan. Pakej itu termasuk tiga lagu paling popular Dato’ Siti. Bagi memuat turun nada dering pemanggil, pelanggan hanya perlu mendail *131*# atau melawat laman web Hotlink di www.hotlink.com.my. Setiap nada dering pemanggil berharga RM3. (sila rujuk Lampiran 2 untuk senarai kandungan).

Maxis seringkali membawa hiburan bertaraf dunia sebagai ganjaran kepada pelanggan. Dalam hiburan, Maxis sebelum ini telah membawa artis-artis terkemuka seperti Gwen Stefani, sensasi pop Korea Rain, Sean Kingston, Pussycat Dolls, Fort Minor, dan kumpulan Black Eyed Peas. Ia juga telah membawa masuk artis terkenal China seperti David Tao, Eason Chan, Leo Ku, Miriam Yeung, S.H.E, Jay Chou, Z Chen dan A Mei.

Dalam sukan, kejohanan Maxis Team Golf Tour yang baru dilancarkan kini berada dalam tahunnya yang kesembilan berturut-turut. Ia merupakan pertandingan golf amatur paling berprestij di negara ini. Kejohanan itu telah membawa ahli-ahli Maxis One Club ke padang golf terbaik di negara seperti Mauritius, Australia, China, Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Nota kepada Editor: Untuk maklumat lanjut mengenai Dato’ Siti Nurhaliza, sila rujuk kepada:Lampiran 1: Senarai Lagu Harian Konsert Dato’ Siti Nurhaliza Lampiran 2: Kandungan Mudah Alih Dato’ Siti Nurhaliza

Mengenai Hotlink

Hotlink adalah jenama produk prabayar Maxis Communications Berhad, peneraju jenama operator telekomunikasi prabayar negara. Dilancarkan pada 1999, Hotlink telah berjaya menjadi peneraju jenama telekomunikasi prabayar Malaysia hanya dalam tempoh setahun sahaja dan telah mengekalkan kedudukan tersebut sehingga kini. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.hotlink.com.my

Mengenai Maxis Communications Berhad

Kumpulan Maxis kini beroperasi di tiga pasaran Asia yang utama - Malaysia, India dan Indonesia – dengan tenaga kerja seramai 5,000 orang pekerja yang berkomitmen untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk 30 juta pelanggan dan menawarkan perkhidmatan yang menyeluruh untuk perkhidmatan perhubungan, termasuk telefon mudah alih dan talian tetap, kandungan dan data yang lebih nilai, perkhidmatan broadband tanpa wayar dan talian tetap serta laluan antara muka antarabangsa.

Untuk operasi di negara Malaysia, Maxis Communications Berhad (Maxis) ialah operator telekomunikasi yang utama dan menerajui pasaran perkhidmatan pascabayar dan prabayar (Hotlink). Kumpulan Maxis beroperasi di India menerusi subsidiarinya iaitu Aircel Limited dan di Indonesia melalui PT Natrindo Telepon Seluler.

Maxis telah memenangi pelbagai anugerah sejak ia mula beroperasi pada tahun 1995. Baru-baru ini, Maxis telah diiktiraf sebagai “Malaysian Mobile Operator of the Year” oleh Asian Mobile News pada Asian Mobile News Awards 2008 dan “Malaysia’s Service Provider of the Year” oleh Frost and Sullivan semasa Malaysia Telecoms Awards kerana menunjukkan kepimpinan dalam prestasi perniagaan, nilai jenama, mengekalkan perkhidmatan yang terbaik, kualiti rangkaian dan inovasi produk.

Hani pasrah hasrat berkahwin tidak tercapai

Yasmin Hani memang telah menyimpan hasrat untuk mengakhiri zaman bujangnya pada tahun ini, tetapi terpaksa akur dengan ketentuan takdir

PELAKON dan pengacara jelita ini memang telah menyimpan hasrat untuk mengakhiri zaman bujangnya pada tahun ini. Apatah lagi dengan usianya yang sudah menjengah angka 30, dia merasakan umur itu sudah sesuai untuk dirinya mendirikan rumahtangga.

Namun, apa yang diharapnya tidak kesampaian. Jodoh antara pemilik nama Yasmin Hani dan kekasihnya yang telah dikenali lebih dua tahun itu nampaknya tidak cukup kuat.

Meskipun hatinya kuat mendambakan sebuah ikatan suci, namun Hani terpaksa akur dengan keadaan hubungan mereka yang sebenarnya tidak mampu diselamatkan lagi untuk terus bergelar pasangan kekasih.

Menganggap apa yang berlaku itu sudah ketentuan daripada Allah, selebriti berusia 30 tahun itu kini lebih selesa untuk tidak terlalu memikirkan tentang perkahwinan.

Bukannya serik, namun kata Hani, apa yang berlaku itu banyak mengajar dirinya untuk tidak terlalu terburu-buru ke arah itu.

"Sudah dua bulan sebenarnya kami berpisah. Memang saya amat kecewa pada awalnya, tetapi kerana saya telah banyak lalui perkara seperti ini, jadi saya tidak mahu terlalu ikut perasaan sangat.

"Memanglah saya pernah pasang impian untuk berkahwin tahun ini, tapi nampaknya tiada jodoh. Ada sesuatu yang berlaku antara kami dan akhirnya kami terpaksa ambil keputusan untuk berpisah.

"Apapun, saya dan dia masih lagi berkawan baik. Kami saling menasihati antara satu sama lain dalam banyak perkara...mungkin kerana kami terlalu kenal diri masing-masing.

"Tetapi saya tidak nafikan, memang saya sentiasa berfikir tentang perkahwinan. Namun begitu, biarlah masa yang tentukan. Jika ada jodoh, adalah," kata Hani yang ditemui pada majlis pra-pelancaran kad keahlian Celeb Nexus, semalam.

Ujar selebriti yang cukup popular dengan program Muzik@Ria ini, ibunya juga sebelum ini amat mengharapkan dia dapat mendirikan rumahtangga secepat mungkin.

Hani akui rezekinya ketika ini semakin murah di dalam bidang lakonan

"Dia memang beriya-iya suruh saya kahwin, tapi sekarang ini dia dah tak kisah sangat asalkan saya gembira dengan hidup saya," kata Hani yang mengimpikan sebuah perkahwinan yang sederhana tetapi penuh simbolik.

Ditanya apakah ciri-ciri lelaki yang ingin dicarinya kelak, sambil tersenyum, wanita kacukan Melayu-Inggeris ini berkata:

"Saya tidak memandang paras rupa. Asalkan dia boleh menghormati saya, berdikari dan matang, itu semua antara kriteria yang memadai buat saya," kata Hani yang menyambut hari lahirnya

Rindu dengan Muzik@Ria

Setelah program Muzik@Ria dan Ria Sentral mengakhiri musimnya, tidak dinafikan, karier Hani dilihat lebih ke arah lakonan. Anak ketiga daripada empat beradik ini juga akui, rezekinya ketika ini semakin murah di dalam bidang lakonan.

Selain menantikan tayangan filem lakonannya, Gentayangan dan Dua Hati Satu Jiwa, Hani juga baru selesai menjalani penggambaran telemovie berjudul Cinta Organik untuk siaran RTM.

Namun begitu, kata Hani, karier pengacaraannya masih lagi diteruskan. Hani yang terpaksa melepaskan dua tawaran sebagai hos Anak Wayang dan Pilih Kasih kerana jadual yang padat tidak lama dulu berkata, dia turut berpeluang menjadi hos untuk program sempena Hari Raya iaitu Geng Raya di TV3 yang berkonsepkan ala-Amazing Race.

Bercerita tentang karier pengacaraannya itu, kata Hani, dia akui cukup rindu dengan program Muzik@Ria yang banyak menaikkan namanya di dalam industri ini.

"Rindu sangat saya dengan 'trademark' Watchaa! yang sering saya gunakan dalam program itu dulu. Selama hampir sembilan tahun saya mengendalikan Muzik@Ria, jadi sudah pasti saya sukar untuk lupakan banyak pengalaman tentang program tersebut.

"Ramai juga yang tanya kenapa Muzik@Ria tidak disambung semula. Begitu juga dengan program Ria Sentral yang saya kendalikan bersama Sazzy Falak, ramai juga yang minta untuk diadakan semula program itu," kata Hani yang meraikan hari lahirnya pada 11 Jun lalu dengan konsep yang cukup menarik yang diuruskan oleh Sazzy.

Tutur Hani, majlis hari lahirnya itu bertemakan 'Hani Gives Back' yang mana para tetamu bukan saja membawa hadiah untuk Hani, malah turut membawa buku-buku untuk didermakan kepada rumah kebajikan, Nur Salam.

Anita, Ismail Haron kembali bergabung


Selepas lebih dua dekad 'terpisah', mereka bakal berganding dalam konsert istimewa di Singapura

LAMA mereka tidak muncul bersama sejak masing-masing membawa diri ke perantauan. Anita Sarawak terbang jauh ke Amerika Syarikat pada tahun 1985 mengembangkan sayap nyanyiannya di sana, manakala pasangan duetnya ketika itu, Ismail Haron pula memilih berhijrah ke Australia pada 1977.

Suatu ketika dulu, nama Anita dan Ismail Haron sebagai pasangan duet cukup popular. Lagu-lagu mereka seperti Menunggu Nasi Minyak, Kesah Dol dan Minah, Rahsia di Ayer Jerneh dan Janji Tetap Janji cukup diminati.

Namun apabila kedua-duanya berhijrah, hanya lagu mereka saja dapat mengekalkan ingatan peminat kepada dua nama ini.

Sejak Ismail berhijrah, Anita seperti hilang minat untuk berduet dengan penyanyi lain, kecuali Allahyarham Sudirman Arshad itu pun hanya menerusi sebuah lagu Bercanda Di Pasiran Pantai. Bagaimanapun rakaman dibuat secara berasingan kerana Sudirman berada di Kuala Lumpur dan dia pula ketika itu berada di Singapura.

Anita atau mesra membahasakan dirinya sebagai Kak Nita ternyata seorang yang berpegang teguh pada prinsipnya kerana sehingga kini tidak ada gabungan terjalin antaranya dengan penyanyi lain.

Setelah membawa diri berpuluh tahun di rantau orang, dua penyanyi ini sudah pun kembali ke ‘sangkar’ masing-masing. Ismail yang kini berusia 63 tahun berada di Singapura. Beliau masih lagi sihat dan aktif meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi. Sementara Anita pula, selesa mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Hampir tiga dekad tidak berpadu suara, Anita dan Ismail bakal membangkitkan nostalgia peminat terhadap lagu-lagu berhantu mereka. Dua nama ini bakal disatukan dalam sebuah konsert hebat yang sedang dalam perancangan dan dijadualkan berlangsung Januari depan di tanah kelahiran mereka. Tidak sekadar mendendangkan lagu duet mereka, Anita dan Ismail juga bakal mendendangkan lagu solo masing-masing.

Konsert yang dianjurkan syarikat Mediamorphosis itu dijangka berlangsung di Max Pavillion yang mampu memuatkan kapasiti penonton sehingga 5,000 orang.

Perkara itu diumumkan Anita sendiri yang menerima lamaran daripada syarikat yang berpangkalan di Singapura lebih dua minggu lalu. Penyanyi yang kali terakhir mengadakan konsert tujuh tahun lalu di Bukit Jalil, jelas begitu gembira dengan lamaran yang diterimanya itu.

“Konsert Kak Nita bersama Ismail nanti bakal mengembalikan nostalgia peminat terhadap lagu-lagu dendangan kami yang cukup popular di era 70 an sehingga kini. Kak Nita tak ambil masa lama menerima tawaran daripada Mediamorphosis kerana Kak Nita sendiri rindu untuk menyanyi bersama Ismail.

“Kak Nita serasi bersama Ismail. Sejak berduet dengannya, Kak Nita tidak berminat menyanyi dengan orang lain. Senang berkerja dengannya kerana dia ada bakat semula jadi. Tidak hairanlah ketika itu album duet kami laris seperti kek panas,” kata Anita Sarawak kepada Hip.

Mediamorphosis adalah promoter yang pernah menganjurkan konsert Siti Nurhaliza di Singapura kira-kira sembilan tahun lalu.

Bagi Anita, walaupun perasaannya begitu teruja, dia mahu memastikan konsert yang pertama kali menggabungkannya dengan Ismail menjadi sebuah persembahan paling berjaya sekali gus meninggalkan kesan buat peminat yang merindui mereka.

Meskipun masih terlalu awal untuk bercerita lanjut mengenai konsert yang masih berbaki enam bulan untuk berlangsung, beberapa perancangan sudah pun mula ligat bermain di minda penyanyi yang sememangnya cukup serius terhadap kariernya.

“Mula-mula menerima lamaran sebegini siapa yang tak gembira. Tetapi semua perasaan itu harus ditolak ke tepi, sampai bila mahu Kak Nita harus raikan kegembiraan ini kerana sekarang adalah waktu untuk Kak Nita memikirkan beban kerja konsert itu nanti. Bagaimanapun, Kak Nita amat berterima kasih kepada sebuah keluarga iaitu Rossa dan anaknya Saibah kerana mereka juga adalah salah satu daripada tulang belakang untuk konsert ini.

“Kontrak sudah pun ditanda tangani. Sekarang Kak Nita perlu merangka lagu sesuai untuk dibawakan pada konsert itu. Struktur persembahan masih lagi dalam perancangan. Nampaknya Kak Nita akan lebih kerap berulang alik ke Singapura sebagai persiapan untuk menghadapi konsert pertama Kak Nita di Singapura.

“Oleh kerana konsert ini juga bakal membabitkan Ismail Haron, Kak Nita tidak boleh mementingkan diri. Kak Nita kena fikirkan Ismail juga. Apa saja yang mahu lakukan pada konsert itu nanti, Kak Nita akan berbincang dengan Ismail terlebih dulu. Kak Nita tidak mahu dilihat memonopoli konsert itu seorang,” katanya.

Menurut Anita lagi, bagi memastikan semua peminat berpeluang menyaksikan gabungan semulanya dengan Ismail, tiket akan dijual pada harga yang berpatutan supaya peminat di Singapura dan Malaysia dapat sama-sama menikmati persembahan mereka, sekali gus mengubati kerinduan terhadap lagu popular kedua-duanya.

GSC tidak pilih kasih



DARI kiri; Tong, Mohd Ghazali, Koh dan Irving bersama karakter Optimus Prime dan Bumblebee daripada filem Transformers pada majlis perasmian pawagam GSC.

Pemilik panggung tayang filem tempatan dan import secara adil

PENGEKALAN sesebuah filem di pawagam besar bukan ditentukan oleh pihak pempamer, sebaliknya oleh sambutan yang diberikan orang ramai terhadap judul yang ditayangkan.

itulah penjelasan diberikan Pengurus Besar Golden Screen Cinemas (GSC), Irving Chee.

Katanya, tidak kiralah filem itu dari Hollywood dan sebagainya, kalau terus mendapat sambutan hangat daripada penonton, maka tidak mustahil filem terbabit akan terus kekal di dewan tayangan yang besar.

"Bagaimanapun, tidak semua filem mampu mengekalkan rentak sambutan yang baik sepanjang tayangan. Mungkin pada minggu pertama, ia menggamit begitu ramai penonton.

“Tetapi, apabila masuk ke minggu kedua, selalunya sesebuah judul mula kehilangan penonton.

"Apabila sesebuah judul tidak lagi menerima jumlah penonton yang besar, dengan sendirinya pihak pempamer akan memindahkan tayangan ke dewan yang lebih kecil. Ia juga bagi memberikan laluan kepada judul yang baru masuk diputarkan di dewan berkenaan," katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan rasmi Pawagam GSC Tropicana City Mall di Petaling Jaya, Selasa lalu.

Hadir sama pada majlis terbabit ialah Pengerusi GSC, Tan Sri Mohd Ghazali Seth; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koh Mei Lee; dan Pengarah Urusan Dijaya Corporation Berhad, Datuk Tong Kien Onn.

Penjelasan Irving itu dengan sendiri menafikan dakwaan sesetengah produser filem tempatan, kononnya pempamer sengaja memindahkan filem mereka ke dewan yang kecil pada ketika orang ramai masih memberikan sambutan baik kepada produk keluaran mereka.

"Tidak kiralah ia filem Barat mahupun tempatan, jika penonton terus memberikan sambutan hangat, kita terus menayangkannya di dewan tayangan besar. Begitu juga kita akan memanjangkan tayangan sesebuah judul yang masih menerima jumlah tontonan yang tinggi.

"Lihat saja pada filem Jangan Pandang Belakang Congkak yang ketika ini mendapat sokongan begitu ramai peminat. Ia terus ditayangkan oleh begitu banyak pawagam.

“Suatu ketika, filem Geng: Pengembaraan Bermula juga satu contoh yang baik, di mana pempamer terus menayangkan filem itu walaupun sesudah lapan minggu tayangan, apabila permintaan untuknya terus memberangsangkan," katanya.

Sentiasa bantu industri filem tempatan

JELASNYA berkali-kali, penentuan dewan yang bakal memutarkan sesebuah filem, begitu juga dengan tempoh tayangan, selalunya ditentukan oleh permintaan daripada penonton sendiri, bukan pihak pawagam.

"Pada masa yang sama, kami di GSC sentiasa berusaha membantu memperkembangkan lagi industri perfileman tempatan, tidak kiralah filem Melayu, Cina atau India. Setiap kali diadakan Festival Filem Malaysia, kami berbangga untuk turut mengambil bahagian dengan menayangkan filem bertanding untuk tontonan orang ramai.

"GSC juga tidak ketinggalan membantu pengusaha filem digital atau filem kecil, dengan menayangkannya di Skrin Antarabangsa yang disediakan di beberapa multipleks kami. Sejak beberapa tahun lalu, sudah banyak judul yang dihasilkan secara kecil-kecilan menemui penonton menerusi tayangan yang kami adakan di skrin ini," katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai pawagam baru di Tropicana City Mall, Irving berkata, GSC menyediakan lapan skrin di lokasi berkenaan, yang disokong kemudahan bagi penonton kurang upaya.

"Sebanyak 1,449 tempat duduk tersedia untuk penonton menikmati filem kesukaan mereka di pawagam ini dan dewan terbesar pula mampu menampung sehingga 372 penonton pada satu-satu masa," katanya yang percaya, pawagam di pusat beli-belah baru itu mampu menyokong pertambahan jumlah penonton di sekitar Petaling Jaya.

Dengan pembukaan pawagam yang dianggarkan berharga RM21 juta itu, rangkaian GSC kini mempunyai 172 skrin di 24 lokasi seluruh negara.

Sebelum pembukaan GSC Tropicana City Mall, rangkaian berkenaan terlebih dulu menambah tiga skrin di GSC Alamanda Putrajaya, yang menelan belanja sekitar RM1 juta.

Pada September, GSC akan menambah empat lagi skrin di pawagam milik mereka di IOI Mall, Puchong, diikuti pembukaan multipleks 9 skrin di East Coast Mall, Kuantan. Sebuah lagi multipleks bakal dibuka di Suria Kota Kinabalu, Sabah, pada tahun depan.

Giliran ke IB




Anuar Zain gementar menanti saat bermula konsert istimewa di Istana Budaya esok dan lusa

PADA 1 dan 2 Julai iaitu esok dan lusa, sejarah bakal tercipta buat figura terkenal ini.

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya ruang yang dinantikan terbentang di depan mata. Usaha gigih dan tidak pernah mengenal erti putus asa akhirnya terbayar juga apabila si empunya diri diberi peluang untuk membuat konsert solo khas di Istana Budaya dan diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Menghitung detik ketibaan hari yang penuh bermakna itu, penyanyi bersuara mantap, Anuar Zain mengakui perasaannya ketika ini bercampur baur.

“Tidak dinafikan perasaan saya ketika ini memang gementar. Gementar kerana saya sendiri kurang pasti apakah mampu menghasilkan sebuah persembahan yang mampu menghiburkan penonton yang selama ini begitu ternanti-nanti persembahan solo dari saya.

“Semua perancangan sudah diatur. Soal pemilihan lagu, susunan muzik semuanya sudah dilakukan. Cuma apa yang merisaukan adalah tempoh untuk memasang peralatan di Panggung Sari. Disebabkan Konsert Satu Datuk Siti Nurhaliza diadakan beberapa hari sebelumnya, jadi pihak IB meminta sedikit masa untuk kakitangannya menguruskan perkara itu,” kata Anuar kala berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, Anuar berkata, dia akan menjadikan vokalnya sebagai nadi untuk menghidupkan keseluruhan persembahan pada malam itu.

“Tiada gimik atau apa-apa kejutan. Sebaliknya pada malam itu nanti, vokal saya saja yang akan menjadi pertaruhan serta suasana konsert itu sendiri. Setakat ini semua lagu yang hendak dinyanyikan sudah dipilih. Ada lebih 20 lagu semuanya.

“Tiada lagu Inggeris dan tiada juga medley. Pada malam itu nanti, saya juga akan menyanyikan lagu retro yang amat saya minati seperti Penantian (Harmoni), Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta (Flybaits), Epilog Cinta Dari Bromley (Sohaimi Mior Hassan) dan Berdirinya Seorang Perindu (Ibnor Riza).

“Saya juga akan menyanyikan lagu yang pernah saya rakamkan sewaktu berduet dengan Ellina dulu seperti Seruling, Kesan Kelukaan dan kain Pelikat. Lagu ini akan dinyanyikan mengikut segmen yang disediakan nanti,” jelasnya lagi.

Berbeza dengan persembahan yang biasa dilakukannya, Anuar berkata kali ini dia tidak boleh turun dari pentas untuk bertemu peminatnya.

“Kalau untuk persembahan Minggu Setiausaha, bolehlah saya turun dari pentas tetapi di IB memang ada arahan mengatakan penyanyi tidak boleh buat begitu. Tetapi itu bukanlah halangan untuk peminat berhibur dengan saya. Kalau mereka nak bangun, menyanyi dan menari bersama saya malam itu, silakan,” pelawa Anuar.

Pada malam itu nanti Anuar akan diiringi pemuzik 45 Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah bimbingan Mustafa Fuzer Nawi, pemimpin muzik orkestra yang amat digemarinya.

Dari segi jualan tiket, ternyata Anuar tidak berdepan dengan sebarang masalah kerana sejak mula di jual Jun lalu, tiketnya memang laku bagai goreng pisang panas.Dan tentunya perkara ini menggembirakan hati si empunya diri.

“Setakat ini saya dimaklumkan tiket berharga RM25 dan RM80 sudah habis dijual. Sekarang yang ada berharga seratus ringgit ke atas seperti RM180 dan RM250. Itupun ada di antaranya sudah 80 peratus sudah terjual. Jadi, mana-mana yang masih belum dapatkan tiket, bolehlah mendapatkannya di kaunter Box Office Istana Budaya ataupun tempahan secara online melalui www.ticket2u.biz,” katanya.

Terbit album MTV

SELAMA ini bagi peminat Anuar yang ‘kaki karaoke’ mengeluh kerana sukar mendapatkan lagu penyanyi ini untuk didendangkan di pusat hiburan itu. Masalah ini akan diatasi dengan kelahiran album MTV Anuar Zain yang muncul di pasaran tidak lama lagi.

“Sebelum ini saya memang selalu mendengar rungutan peminat yang teringin nak nyanyikan lagu saya di pusat karaoke, tetapi susah sebab tak ada. Jadi berdasarkan rungutan itu, kami ambil keputusan untuk menghasilkan album karaoke. Semua rakaman klip video sudah siap dan tunggu masa untuk berada di pasaran,” kata Anuar.

Ditanya mengenai perkembangan jualan albumnya di Indonesia yang mula dipasarkan Januari tahun lalu, Anuar berkata sehingga kini dia tidak dapat mendapat maklum balas yang sebenar.

“Apa yang saya tahu album itu hanya terjual sebanyak 5 ribu unit. Selebihnya iaitu reaksi peminat, saya sendiri tidak pasti. Mungkin ini ada kena mengena dengan dasar 90:10 yang negara kita cuba laksanakan. Dan tak mustahil juga mereka ingin melindungi karya mereka dan sebab itulah mereka langsung tidak memberi ruang kepada artis luar seperti kita mencari tapak di sana,” katanya.

Walaupun sambutan yang diberikan kurang memberangsangkan, namun jelas Anuar dia tidak pernah berputus asa dan tetap akan menggunakan khidmat komposer dari Indonesia untuk album terbarunya.

“Memang sedikit kecewa tapi tidaklah sampai nak kata serik .Untuk album akan datang, saya masih menggunakan lagu dari komposer luar. Buat masa ini, kami masih mengumpul material. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, album ini memang mengambil masa untuk disiapkan, mungkin hujung tahun depan baru siap. Harap peminat saya sabar menunggu,” katanya.

INFO:

  • Konsert Lelaki Ini - Anuar Zain
  • Tarikh:1 & 2 Julai 2009
  • Tempat:Panggung Sari, Istana Budaya
  • Waktu:8.30 malam
  • Penganjur:Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)


PROFIL:
  • Nama : Shahrul Anuar Bin Zain
  • Nama Artis : Anuar Zain
  • Tarikh Lahir : 15 Februari 1970
  • Anak Ke : 2 Dari 5 Beradik
  • Bintang Zodiak : Aquarius
  • Kerjaya : Penyanyi & Berlakon
  • Makanan Kegemaran : Berubah-ubah mengikut selera
  • Minuman Kegemaran : Teh Tarik
  • Warna kesukaan: Perang, biru, kelabu & merah
  • Idola : Ayah saya sendiri
  • Penyanyi Kegemaran: Ziana Zain, Dayang, Siti Nurhaliza, Whitney Houston & ramai lagi
  • Pelakon Kegemaran: Julia Roberts, Amy Mastura, Elly Suriati, Ruth Sahanaya

D'MASIV - PERUBAHAN

Band berasal dari Jakarta yang dikenali sebagai D'Masiv kini lebih matang. Aliran progresif rock merupakan pilihan mereka dan mereka kini sebais dengan band-band popular Indonesia seperti Samsons, Dewa 19 dan sebagainya. Band ini telah ditubuhkan pada 2003 dan semenjak daripada itu mengecapi kejayaan demi kejayaan. Mereka terpilih menjuarai salah satu pertandingan muzik nasional Indonesia.

Mereka yang agak popular dengan single pertama mereka di sini iaitu 'Cinta Ini Membunuhku' dan single kedua 'Di Antara Kalian'. Malah acapkali jua lagu mereka kedengaran berkumandang dari corong-corong radio.

"Memang, dulu kita ikut sering ke festival yang biasanya rock progresif," kata Rian, vokalis D'Masiv apabila ditanya sama ada benar setiap ahlinya sering mempersembahkan skil individu untuk menarik perhatian penonton.

2009 ini D'Masiv tampil dengan album sulung mereka berjudul Perubahan Universal Music Malaysia. Pelancaran album tersebut dilakukan dalam sebuah majlis sederhana di Hard Rock Cafe. Ramai pihak media yang tampil menandakan D'Masiv bakal menjadi fenomena baru sebaris dengan Dewa 19, Gigi dan sebagainya. Antara lagu yang terdapat di dalam album ini ialah:-

  • Di Antara Kalian
  • Cinta Ini Membunuhku
  • Merindukanmu
  • Diam Tanpa Kata
  • Aku Percaya Kamu
  • Dan Kamu
  • Cinta Sampai Disini
  • Sebalah Mata
  • Dilema
  • Ilfil (Manusia Tak Berharga)
  • Tak Pernah Rela
  • Lukaku

D'Masiv berada di Kuala Lumpur dari 24 Jun hingga 29 Jun dengan tujuan promosi album ini. Yang pasti, persembahan mereka amat mantap ketika menyanyikan lagu-lagu mereka ketika majlis pelancaran yang diadakan.

Fesyen rambut baru Ahmad Dhani

altIni dia fesyen rambut terbaru Ahmad Dhani si vokalis kumpulan Dewa 16 ketika datang ke Kuala Lumpur baru -baru ini.

Walaupun terkenal sebagai seorang pemuzik yang berbakat besar, namun bab berfesyen, Dhani ni tak kurang hebatnya.

altBab fesyen baju kalau ke majlis sidang akhbar tu biasalah... penyanyi rock ni suka pakai kemeja-t sahaja.

Tapi Dhani ada tempat lain untuk berfesyen. Lihatlah bagaimana Dhani menggunakan daya kreativiti pada rambutnya. Ada yang nak tiru ke nanti?

alt Bolehlah diukir corak bunga raya barulah nampak patriotik sikit. Ada ke yang sanggup?

Diana terkejut bertemu Syamsul




PERTEMUAN buat pertama kalinya antara pelakon Diana Danielle dan Syamsul Datuk Yusof selepas Diana menamatkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada majlis Parti Selebriti Kosmo!- One Drop Perfumes 2009 Jumaat lalu merungkai segala isi hati pasangan yang pernah bersatu ini.

Parut yang ditinggalkan ekoran isu keretakan hubungan sehingga membawa kepada kes Syamsul memukul Diana, ternyata masih berbekas dalam hati masing-masing.

Ini jelas kelihatan ketika Kosmo! meminta untuk mereka bergambar bersama, Diana seolah-olah cuba mengelak. Menurut Diana, walaupun berat pada mulanya, namun atas dasar profesional akhirnya mereka tidak mampu menolak 'pujukan' team Kosmo!.

Kata Diana, dia bukannya tidak mahu bergambar dengan Syamsul tetapi terkejut pada mulanya apabila diminta berbuat demikian memandangkan mereka baru pertama kali berjumpa sejak Diana tamat PKLN.

"Diana bukan tidak mahu, kami okey sahaja, masa majlis berlangsung kami siap berborak sakan sebab lama tidak jumpa. Cuma bila minta bergambar bersama, terkejut juga sebab Diana rasa agak kurang selesa.

"Sebabnya saya takut nanti pihak lain salah gunakan gambar itu, sedangkan kami berdua baik-baik sahaja," jelasnya.

Tambah Diana lagi, dia cukup risau akan soalan yang diajukan pihak media terutamanya berkaitan hubungan lepasnya bersama Syamsul.

Ini kerana si jelita itu bimbang kalau-kalau kenyataannya nanti akan mengguris hati mana-mana pihak.

"Percayalah, kami masih berbaik walaupun hubungan tidak seperti dulu kami kekal sebagai kawan. Buat apa nak bermusuhan sedangkan kami berkerja dalam industri yang sama. Kami akan terus bertemu di majlis-majlis hiburan seperti ini, sebab itu tak elok kalau kami terus bermusuh" tutur Diana yang ternyata sudah mampu melupakan cerita cintanya dengan anak bujang jutawan filem, Datuk Yusof Haslam itu.

Gadis berumur 18 tahun terdiam seketika apabila ditanya bagaimana penerimaannya jika diminta untuk bergandingan dengan Syamsul dalam filem mahupun drama.

"Saya tidak mampu nak menjawab soalan itu. Apa yang saya boleh katakan bergantung pada keadaan. Saya tidak mahu apa yang pernah terjadi cuba dimanipulasi pihak lain. Sebab itu saya tak ada jawapan untuk soalan itu" katanya.

Diana yang muncul dengan lagu single terbaru berjudul Tak Ada Yang Bisa bersama kumpulan Andra & The Backbone tidak lama lagi turut memberitahu sejak tamat PKLN dirinya kini lebih matang.

Persoalan pengurusan diri juga menjadi lebih mudah ekoran dirinya kini sudah menjengah era yang lebih dewasa.

"Saya lebih matang dari segi menguruskan sesuatu perkara. Seperti soal saya dan Syamsul, saya rasa saya semakin bijak menangani sekarang ini kalau masih ada yang bertanya. Bagi saya yang sudah itu biarlah berlalu dan saya mahu melihat kehidupan yang baru.

"Memang apa yang berlalu tidak boleh dipadamkan tetapi sebagai manusia kita kena teruskan kehidupan. Kami tetap kekal sebagai kawan," kata Diana sambil tersenyum.

Serik bercinta dengan artis!

Sementara itu pula, bagi Syamsul pula, dia tetap seperti biasa dan tidak ada apa yang berubah meskipun tiada lagi istilah cinta antaranya dan Diana.

Ketika diminta bergambar, Syamsul dengan mudah memberikan kerjasama dan menganggap dia harus bersikap profesional.

"Saya okey sahaja kalau diminta bergambar dengan Diana. Walaupun kami menjadi kawan biasa saya tetap menganggap Diana sebagai adik," katanya.


FOTO kandid eksklusif Syamsul dan Diana pada Parti Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes 2009.


Walaupun begitu, kata Syamsul, dia tidak mahu bersikap 'bodoh' semata-mata kerana apa yang pernah terjadi antara mereka suatu ketika dulu.

"Tak kan bila jumpa dia di mana-mana majlis saya nak buat bodoh hanya kerana hubungan kami tidak lagi seperti dulu. Saya dan dia masih berkawan tetapi hanya sekadar kawan sahaja, tak lebih.

"Kalau ada yang menyangka kami tidak boleh langsung bertembung, itu silap. Buktinya hari ini kami bergambar, dan bertanya khabar, kira okeylah tu," luah Syamsul.

Disoal, sejak putus cinta dengan Diana sudahkah tempatnya diganti gadis lain.

Syamsul yang tertawa menyatakan dia kini lebih fokus soal kerjaya meskipun pernah menyasarkan untuk menamatkan zaman bujang pada usia 27 tahun.

"Dulu memang saya mencari cinta. Sekarang ini biarlah cinta itu datang dengan sendirinya, kalau ada, saya bercinta kalau tidak saya fokus pada kerja.

"Soal kahwin itu, saya sudah tidak kisah. Kalau umur 35 tahun baru cinta datang, umur 35 baru saya kahwin," jelasnya penuh serius.

Namun kata jejaka berusia 25 tahun ini lagi, jika boleh dia mahu bercinta dan menamatkan zaman bujang dengan wanita yang bukan bergelar artis.

Mungkinkah pengalaman lalu membuatkan Syamsul serik untuk bercinta dengan golongan artis?

"Bukanlah serik tetapi saya memang ingin gadis biasa dan sederhana daripada segala segi. Kalau boleh tidak mahu artis, saya inginkan orang biasa. Tetapi apa boleh buat disebabkan kehidupan saya selalu dikelilingi golongan artis, secara tidak langsung saya rapat dengan mereka. Itu yang tidak boleh cakap terlebih yakin. Kalau sudah jodoh dengan artis juga nak buat macam mana," tuturnya jujur.

Bakal jadi penyanyi?

Syamsul yang kini sibuk dengan proses pasca produksi filem Evolusi KL Drift 2 dan dalam masa yang sama sedang menulis skrip filem seram pertamanya yang berjudul Kurafat turut juga bergelar penyanyi tidak lama lagi.

Hai Syamsul, ikut jejak bekas buah hati ke? Kalau benar, nampaknya bukan suara Diana seorang sahaja yang boleh dinikmati peminat, Syamsul juga bakal mengikut jejaknya.


SYAMSUL dan Diana tidak pernah bermusuhan antara satu sama lain.


Bicara Syamsul, dia bukannya nak mengikut jejak sesiapa tetapi bidang nyanyian merupakan minat pertamanya sebelum jatuh cinta dengan dunia filem.

Malah, sehingga kini dia sudah menyimpan banyak melodi lagu yang dicipta sendiri kala ada masa terluang.

"Dulu sebelum jadi pelakon dan pengarah, saya memang nak menyanyi tetapi ayah membantah dan ingin melihat saya fokus dalam produksi terlebih dahulu.

"Jadi apabila hasratnya sudah tercapai saya cuba tunaikan pula hasrat saya untuk jadi penyanyi. Dalam filem Evolusi KL Drift 2 pun saya ada sumbangkan suara dan tidak lama lagi saya akan muncul dengan lagu single pertama berjudul Bidadari," katanya yang akan mengusung genre R&B dalam perjuangannya melalui dunia nyanyian.

Artis suntik tenaga, glamor


INILAH pemenang kostum terbaik kategori artis wanita, aktres cantik, Rabecca.


PARTI Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes 2009 yang berlangsung pada malam Jumaat lalu di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur meriah bukan sahaja dengan kehadiran lebih 50 artis tetapi juga dengan barisan penyanyi yang menyumbangkan suara mereka.

Membuka tirai persembahan ialah penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura.

Ditemani suami tercinta, Omar Sharif Christopher ke parti yang julung-julung kali membabitkan Kosmo! itu, Ning memanaskan acara dengan lagu Mimpi dan You Simply The Best dengan diiringi penari latar.

Membuktikan dirinya seorang penghibur profesional, Ning nyata bijak dalam menyuntik kemeriahan pada majlis, terutamanya semasa para tetamu yang sedang kelaparan menanti masa untuk menjamu selera.

Diadakan untuk meraikan transformasi Kosmo! 2 di samping melancarkan pewangi baru One Drop Perfumes, hos majlis, pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi membuat kejutan dengan memasuki dewan menerusi pintu belakang dewan, sejurus sebelum dia menyampaikan lagu, Profesor Klon.

Walaupun agak lama tidak menjadi pengacara majlis makan malam, Aznil berjaya menghidupkan keseluruhan majlis dengan kepetahan dan kebijaksanaannya dalam melontarkan kata-kata yang berjaya mencuit perhatian kira-kira 400 tetamu yang terdiri daripada artis, pembaca Kosmo!, pendengar Suria FM serta pengguna One Drop Perfumes.

Sementara tetamu menjamu selera, majlis diteruskan dengan persembahan Noryn Aziz. Menyampaikan lagu Mercy, Noryn juga memukau dengan persembahan lagu When I Fall In Love. Tampil ringkas dengan kebaya mengikut tema hitam putih, penyanyi jazz itu tidak lupa untuk mengucapkan tahniah kepada Kosmo!.

Kelihatan langsing selepas khabarnya berdiet sakan, Siti Sarah menguasai pentas selepas Noryn. Dia yang bakal mewakili negara dalam pertandingan Worldstars - Road To Hollywood (WRTH) pada bulan Julai nanti menceriakan tetamu dengan lagu Jelingan Manja dan Ke Hujung Dunia.

Acara diteruskan dengan menampilkan pewangi One Drop Perfumes, diikuti pelancaran produk baru syarikat itu oleh Pengarah Urusan One Drop Sdn. Bhd., Josafri Johari. Mengetengahkan Rozita Che Wan sebagai duta One Drop Perfumes, acara pelancaran itu turut disertai pelakon kacak, Fahrin Ahmad.


KIRI: TUNJANG utama tenaga Parti Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes 2009, Aznil Nawawi.
KANAN: ABBY ABADI (kiri) menyampaikan sekuntum bunga buat Ramlah Ram.


Usai acara tersebut, majlis diteruskan dengan persembahan Lan Kristal yang mendendangkan lagu popular Kristal, Keindahan Pantai. Fazli Zainal menyusul selepas itu dengan menyampaikan dua buah lagu termasuk sebuah lagu Sepanyol.

Kemudian para tetamu menumpukan perhatian kepada segmen pelancaran wajah baru Kosmo! 2.

Bakal berusia lima tahun pada 30 Ogos ini, perubahan kepada masthead, persembahan bahan dengan lebih kemas dan menarik serta lebih bermaklumat pada Kosmo! 2 itu dilaksanakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin.

"Kosmo! 2 merupakan segmen yang memaparkan gaya hidup terkini. Saya amat gembira dengan penganjuran kali ini antara Kosmo! dan One Drop Perfumes kerana selepas ini lebih banyak pengiklan yang yakin dengan surat khabar kami.

"Belum sampai lima tahun dicetak, Kosmo! sudah mendapat kepercayaan daripada pengiklan. Melihat kepada perkembangan dari segi kualiti dan pembaca, saya yakin jumlah edaran Kosmo! akan mencecah jumlah 200,000 pada awal tahun 2010," kata Mohamed Hashim sebelum menandatangani poster tanda pelancaran wajah baru Kosmo! 2.

Turut menjemput semua artis yang hadir untuk bergambar sebagai kenangan, persembahan diteruskan dengan nyanyian Dayang Nurfaizah. Menyampaikan lagu I Believe I Can Fly, Dayang memancing audiens dengan suaranya yang gemersik.

Juara program realiti One In A Million musim ketiga, Tomok menghangatkan pentas selepas itu. Tomok mengalunkan lagu Rindu Terhenti dan Crazy In Love selain menjemput Linda Onn dan Roslan Shah sebagai penari latarnya.

Gelagat sporting Linda dan Roslan berjaya mengundang gelak ketawa ramai. Selain tarian berani Linda dan Roslan, acara mencari juara pakaian wanita dan lelaki terbaik juga berjaya mencuri perhatian ramai.

Fahrin dan Fazli terpilih untuk kategori artis lelaki, sementara Rabecca Nur Islam dan Intan Ladyana bagi kategori artis wanita.


DARI KIRI: NING memanaskan permulaan majlis dengan vokalnya yang mengagumkan.
INTAN LADYANA merupakan calon bagi pakaian terbaik kategori artis wanita.
PERSEMBAHAN Fazli Zainal menghiburkan.
JAY JAY mengimbas kembali nostalgia.


Namun, apa yang paling menarik perhatian ramai adalah pencarian juara pakaian terbaik bagi kategori pembaca Kosmo! dan pengguna One Drop Perfumes yang menyaksikan keletah melucukan Lola, Azimah, Zakaria dan Rizal.

Acara turut diserikan dengan cabutan bertuah oleh Lisa Surihani, Syamsul Datuk Yusof, Diana Danielle dan Lan Kristal.

Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam, majlis Parti Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes 2009 belum sampai ke kemuncaknya. Menyediakan satu segmen khas kepada artis tahun 1980-an, Ramlah Ram, Jay Jay dan Ameng Spring masing-masing menyampaikan dua buah lagu yang berjaya mengimbau nostalgia masa lalu.

Sebaik selesai persembahan, beberapa penari mengiringi lagu Joget Lambak dan mengajak para tetamu, termasuk artis untuk menari bersama di atas pentas sehingga sekitar pukul 12.30 tengah malam.