Monday, August 31, 2009

Tari Tirana isi slot Lestary di TV3


TERAJU utama Tari Tirana, dari kiri; Ammar Alfian, Wan Sharmila, Shah Jaszle dan Nadia Aquila.

MENGARAH lebih 25 drama dan telefilem, Shahrul Ezad Mohameddin atau Ezad pantas menarik perhatian menghasilkan karya yang dilihat mampu mencuri tumpuan penonton. Lalu tidak hairanlah, pemilik syarikat Radius One Production ini terus menjadi pilihan stesen TV dan pihak penerbit untuk mengarahkan sesebuah naskhah.

TV3 terus membuka ruang kepadanya memperkembangkan lagi sisi kreatifnya. Sindarella, Emil Emelda, Kerana Cintaku Saerah dan Seputeh Qaseh Ramadan antara hasil karyanya yang disiarkan di stesen TV ini.

Biarpun baru empat tahun bergelar sutradara, Ezad yang kali pertama mengarah telefilem Sutun mula memasang keinginan untuk menjadi pengarah filem pula.

“Memang sudah lama saya mengidam peluang menghasilkan karya ke layar perak pula. Cuma masanya belum tiba. Apatah lagi komitmen saya terhadap Radius One kian meningkat.

“Malah kerana terikat dengan syarikat itu juga ada syarikat produksi lain takut untuk menawarkan khidmat kepada saya. Sedangkan saya sentiasa mengalu-alukan peluang keemasan ini. Saya sentiasa mengimpikan untuk terus berkarya dalam skala lebih luas,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaru arahannya berjudul Tari Tirana.

Drama Tari Tirana ini yang masih menjalani penggambaran dan menggunakan lokasi sekitar Kuala Lumpur serta Singapura ini sudah disiarkan di TV3 sejak 25 Ogos lalu menerusi slot Lestary.

Kata Ezad, drama ini bukan seperti drama dan filem High School Musical sebaliknya Tari Tirana bergenre drama dan komedi yang turut disuntik dengan elemen tarian. Drama ini juga menunjukkan peningkatan penanda aras kepada perkembangan kerjaya Ezad sebagai pengarah apabila menampilkan muka baru.

Malah selepas sekian lama berlakon sebagai watak sampingan, Wan Sharmila yang juga isteri kepada rakan kongsi syarikatnya, Fazli Baharom buat pertama kali diberi peranan utama. Kebetulan pula, Wan Sharmila pernah menyertai Yayasan Warisan Kebudayaan Johor dan mahir dalam bidang tarian sebelum bergelar pelakon.

“Sampai bila saya harus menggunakan pelakon yang sedia ada atau yang sama. Projek drama ini ibarat sekolah melahirkan bakat baru. Bakat baru perlu dibentuk. Ada antara bakat baru ini sangat teruja tetapi mereka perlukan bimbingan. Drama ini turut menampilkan penari profesional dan selebihnya boleh menari pada tahap biasa saja.

“Wan Sharmila sendiri pernah bercakap dengan saya, bila nak buat drama berunsurkan tarian. Akhirnya ia menjadi kenyataan. Secara jujur juga saya berbangga melihat pacuan Wan Sharmila yang mula berlakon watak sampingan hingga ke peranan utama,” katanya.

Menurutnya, dia tidak sesekali menolak keberkesanan resipi yang sering dipraktikkan Allahyarham Yasmin Ahmad dan Datin Paduka Shuhaimi Baba, dengan mengambil pelakon yang sama hingga diberi label artis residen.

Ezad sendiri sering menggunakan khidmat pelakon yang sering menghiasi karya arahannya seperti Noorkhiriah, Sharifah Amani, Bront Palarae dan Isma Yusoof.

“Sebagai pengarah, perkara paling saya titik beratkan ialah komitmen dan keserasian. Maka, sebab itu saya acap kali memanggil pelakon yang sama kerana sudah biasa dan tahu perangai masing-masing.

“Sepatutnya, drama Tari Tirana turut menampilkan Isma Yusoof. Tetapi saya sudah ada tugasan mengarah kepadanya dan sebab itu dia tidak dapat menyertai drama,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: