Sunday, August 30, 2009

Terlaksana juga album - Apek

SIAPA yang tidak mengenali Apek? Saban hari ada sahaja lawak dan jenaka yang dibuat bagi menghiburkan orang ramai. Inilah keistimewaan pelawak yang pernah popular bersama kumpulan Senario satu ketika dahulu.

Selama mengabdikan diri dalam bidang seni, sudah banyak halangan dan rintangan yang sudah dilalui oleh Apek. Semua pengalaman yang dikutip itu menjadikan dirinya begitu matang dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.

Sudah berpuluh-puluh buah filem telah dilakonkan olehnya sama ada watak pembantu mahupun sebagai hero. Namun Apek sekali lagi melangkah setapak ke hadapan apabila mula berjinak-jinak dalam pengarahan filem menerusi filem Syhhh... Dia Datang.

Walaupun filem tersebut menghadapi sedikit masalah, namun ia langsung tidak menjejaskan karier seni bapa kepada dua orang anak itu.

Namun kini, Apek melengkapkan kitaran hidup sebagai anak seni dengan terhasilnya sebuah album Saiful Apek & Famili yang sudahpun menemui peminat bulan Julai yang lalu.

Ketika kunjungan Apek ke Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraan dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana berjaya memenuhi impiannya selama ini.

"Saya sudah lama memasang impian untuk menyanyi. Kalau diikutkan semasa bersama dengan Senario lagi saya sudah menyanyi. Tapi niat itu hanya dapat dilaksanakan baru-baru ini sahaja.

mengujakan"Paling mengujakan saya sudah tentu apabila lagu Aspalela yang menjadi runut filem Duyung mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat.

"Ia sebenarnya membuatkan saya lebih teruja dan bersemangat untuk menghasilkan album sendiri yang hanya mengandungi enam buah lagu termasuk lagu Hua..Hua..Hua.. yang sedang ligat dimainkan di corong-corong radio.

Antara artis yang terlibat dalam pembikinan album Saiful Apek & Famili termasuklah Yassin, Along Raja Lawak, Angah Raja Lawak, Bob Kuman, CD Naz, Mie, Diarra dan kumpulan D'Adza yang turut menyumbang suara.

Jelas Apek lagi, biarpun lebih ramai artis yang terlibat daripada jumlah lagi, semua ini dilakukan sebagai tanda terima kasih kepada rakan-rakan yang sentiasa menyokong dirinya.

"Ada sebab kenapa saya mengajak rakan-rakan terlibat di dalam album ini. Bukan bantu membantu itu satu amalan yang baik?

"Macam Yassin sendiri, sudah lama dia tidak muncul di kaca tv mahupun di dada akhbar kebelakangan ini. Saya rasa inilah platform yang baik untuk dia kembali menemui peminat dengan produk baru.

"Rezeki itu bukan milik saya seorang. Sebaliknya bukankah lebih baik jika ia dikongsi bersama dengan orang lain jua," kata Apek tanpa berselindung.

Buat masa ini pelbagai aktiviti dan perancangan yang telah diatur oleh syarikat Gitu Gitu Production untuk memperluaskan dan memperkenalkan album tersebut kepada peminat.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai album tersebut, boleh melayari www.saifulapek.com.my untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: