Sunday, November 29, 2009

Artis 60-an gegarkan Karnival Klasik Kuala Kangsar


CHEF YANG JAMIL


SETELAH lama menyepi, kini peminat-peminat muzik tempatan khususnya yang berada di negeri Perak bakal dihiburkan dengan persembahan artis-artis 60-an yang akan diadakan di Arena Square, Kuala Kangsar pada 4 hingga 6 Disember ini.

Junainah M. Amin, Orchid Abdullah, R Ismail, Ismai Harun, Norshila Amin, M. Ishak, Najib Hanif dan Norzarina Nordin akan menghiburkan peminat sempena Karnival Klasik Kuala Kangsar 2009.

Pelbagai acara dan program telah diatur termasuklah pertandingan karaoke nyanyian lagu klasik, pertandingan memasak masakan warisan, pertandingan mengukur kelapa dan banyak lagi.

Menurut jurucakap program tersebut, Chef Yang Jamil, pelbagai aktiviti telah diatur bagi menyemarakkan lagi Karnival Klasik Kuala Kangsar yang julung-julung kali diadakan itu.

“Kami sangat bertuah kerana dapat dapat bekerjasama dengan stesen radio Klasik Nasional dan TZ Emas Holding bagi memastikan acara Program Radio Di Lokasi dapat diadakan di Kuala Kangsar.

“Ini adalah peluang untuk kita merapatkan jurang antara penduduk sekitar dengan pihak Klasik Nasional memandangkan tidak selalu acara begini diadakan.

“Sudah pasti saya sangat teruja dengan pertandingan masakan yang akan diadakan nanti memandangkan sudah tidak ramai generasi muda yang benar-benar tahu masakan tradisi masyarakat kita.

“Selain daripada masakan warisan kita juga mahu menjemput seberapa ramai penduduk yang ada untuk sama-sama berkongsi resipi dan petua masakan bersama saya melalui program sebegini.

“Dalam pertandingan masakan itu kita akan cuba mengetengahkan resipi ikan sungai sebagai saya juga berharap ramai penduduk Kuala Kangsar yang akan turut sama dalam acara ini nanti,” katanya.

Antara penaja yang akan terlibat dalam karnival ini termasuklah Petronas, Garam Kristal Himalaya dan Jaza Holding Network yang terlibat dalam pengeluaran produk berasaskan sarang burung.

Selain bertindak sebagai chef selebriti, Yang Jamil juga telah dilantik sebagai duta produk Garam Kristal Himalaya dan produk sarang burung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: