Sunday, November 29, 2009

Filem Jalang mengajar penonton?


Yasmin Hanif dan Hairi Othman pelakon filem Jalang.


APABILA disebut “jalang” dengan pantas orang akan membayangkan susuk wanita yang menjadi kupu-kupu malam dan filem yang menceritakan tentang wanita itu pula penuh dengan adegan panas.

Sebelum ini belum ada filem yang menggunakan judul jalang kerana dibimbangi seolah-olah mempromosi wanita yang menjalani aktiviti tidak bermoral itu. Tetapi kelonggaran yang diberikan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) membolehkan sebuah filem menggunakan judul Jalang.

Adakah mungkin filem tentang wanita jalang tidak disumbat dengan adegan-adegan seks sama ada secara langsung atau sebaliknya? Adakah paparan dalam filem ini sebagai satu eksploitasi secara terhormat terhadap wanita untuk melariskan filem.

Ini adalah isu yang bermain di kepala penonton dan masyarakat umum selepas filem Jalang ditayangkan. Masyarakat mungkin mempersoalkan adakah matlamat pembikinan filem ini untuk “mengajar” mereka tentang hal moral?

Tambahan pula belum ada di dunia filem dihasilkan untuk tujuan memberi pengajaran kerana filem sebuah karya kreatif yang membolehkan khalayak berkongsi pemikiran dengan karyawan yang membuat filem.

Hanya pembikin filem di negara ini yang selalu mengungkapkan filem sebagai alat mengajar khalayak melampaui filem sebagai sebuah karya kreatif.

Penerbit filem Jalang, Imran Ismail menjelaskan filem tersebut bukan menampilkan elemen seks dan ghairah semata-mata. Ia bermatlamatkan pengajaran.

Katanya, pengertian tentang fitrah negatif manusia seperti nafsu, tamak, bongkak, cemburu, menipu, malas dan hasad dengki diketengahkan. Semua ciri-ciri itu diadun secara terperinci bagi menghidupkan watak jalang itu.

“Sebenarnya watak itu tidak sepenuhnya terletak pada bahu pelakon utama tetapi ia bersifat keseluruhan. Apa sahaja perbuatan yang melanggar norma disebut jalang secara tidak langsung,” katanya.

Contohnya, seorang suami yang curang kepada isteri, sahabat menipu rakan baik, pekerja menjual rahsia syarikat atau apa sahaja yang menunjukkan kelakuan buruk dikategorikan sebagai jalang.

Imran memberitahu, pihaknya sanggup menerima kritikan daripada masyarakat yang kurang senang dengan filem tanpa potongan LPF kerana diklasifikasikan 18 PL.

Ia termasuk isu mengeksploitasi wanita seperti mana yang dilakonkan oleh Yasmin Khanif. Gadis berusia 21 tahun itu dikatakan mempunyai bakat luar biasa kerana “keberanian” melakonkan adegan panas dalam filem itu.

Kata Imran, Yasmin tidak mengecewakan untuk menjayakan filem ini. Dia mampu menjiwai watak pelacur yang gedik dan mengghairahkan dalam filem berkenaan walaupun baru bertapak di dunia lakonan.

“Kami mempunyai beberapa nama pelakon wanita sebelum ini seperti Amber Chia, Fazura, Janet Khoo, Nasha Aziz, Fasha Sandha dan seorang lagi artis daripada Singapura, Suhaila. Namun, ternyata rezeki berpihak kepada Yasmin kerana kita mahu gilap seorang lagi bintang baru yang serba boleh,” katanya.

Imran juga berharap filem yang menelan belanja RM1.3 juta itu membuka mata semua pihak tentang kesan jangka panjang penyakit yang boleh membunuh tamadun manusia itu.

Jalang berkisar tentang seorang wanita, Maria yang menggunakan kecantikan dan susuk tubuh untuk mendapatkan projek. Sebagai seorang perunding kanan di sebuah syarikat antarabangsa, dia tidak mengecewakan Tan Sri Jamaudi apabila melayan pelanggan sehingga ke kamar beradu.

Maria juga terperangkap dengan cinta lamanya, Ikram, anak kepada Datuk Nahu yang menjadi pengantara kepada kehidupan tidak bermoral itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: