Sunday, November 29, 2009

Intipati Sari Yanti


BIARPUN bergelar anak seni yang dilimpahi cahaya glamor, dia tetap menguruskan rumah tangga seperti kebanyakan suri lain. Mengemas, membasuh dan menguruskan makan minum suami, semua dilakukan sendiri tanpa campur tangan pembantu rumah.

Baginya, tidak rugi berbakti kepada suami kerana kepada jejaka itulah segala kasihnya tertumpah. Walaupun ada ketikanya sehari suntuk di lokasi, tanggungjawab sebagai isteri tidak pernah diabaikan.

Malah, sejak mendirikan rumah tangga Januari lalu, Sari Yanti Mohamad Nazari, 25, lebih selektif dalam kerjaya. Seboleh mungkin dia cuba mengelak tawaran yang menuntut masa panjang demi suami tercinta, Mohd Eddy Casmady Che Hussein.

“Jangan salah faham, Eddy tidak pernah mengongkong,apa lagi minta Sari mengutamakan dirinya. Mungkin kerana kami berkawan sebelum Sari menceburi bidang ini, dia sangat memahami corak kerja Sari.

“Cuma sebagai isteri, Sari rasa bersalah andai melebihkan kerja. Sari perlu tahu tanggungjawab sebagai isteri dan jika terpaksa memilih, pasti Sari utamakan suami. Bagi Sari, keluarga jadi keutamaan, malah tiada apa yang boleh gantikan suami.

“Setakat ini Sari tiada masalah membahagikan masa antara kerja dan rumah tangga. Cuma, Sari akui tidak boleh menerima tawaran penggambaran yang memakan masa hingga berbulan-bulan lamanya. Sari kena fikirkan Eddy, kasihan dia andai hari-hari Sari di lokasi.

“Alhamdulillah setakat ini Eddy gembira, malah tidak pernah sekali pun dia merungut atau mengungkit kesibukan Sari. Ada juga penggambaran sehingga jam 6 pagi, tetapi tak jadi masalah kerana kebetulan dia bekerja di luar Kuala Lumpur,” kata pelakon bermata galak ini.

Aktres yang sinonim dengan watak pelajar dan remaja ini bertuah apabila bebas daripada kontroversi, bahkan sepanjang pembabitannya dalam industri, tidak pernah dia dikaitkan dengan cerita liar. Pendek kata, semuanya 'bersih' hinggalah selamat mendirikan rumah tangga Januari lalu.

Sambil berseloroh Sari berkata, barangkali dia jarang menghadiri majlis hiburan menyebabkan media kurang berminat menulis mengenai dirinya.

“Bukan tiada undangan, tetapi Sari tidak dapat hadir kerana terikat dengan jadual penggambaran. Bila jarang bercampur, kuranglah cerita mengenai Sari. Apapun, Sari bersyukur tidak dikaitkan dengan cerita negatif.

“Mungkin juga kerana Sari tidak berahsia dengan media. Dari awal pembabitan, Sari mengaku ada teman lelaki dan bila ada yang cuba mengorek cerita, Sari jelaskan buah hati Sari itu orang biasa dan bukan daripada kalangan teman industri.

“Bila tarikh perkahwinan makin dekat, Sari jemput media. Jadi, tiada apa yang boleh disensasikan. Sari tidak pernah putus berdoa dijauhkan daripada cerita negatif, lebih-lebih lagi bila sudah berkeluarga. Sari tidak mahu gara-gara khabar angin yang bukan-bukan, ada hati yang terluka,” katanya.


Mengulas sisi peribadinya, andai tidak terbabit dengan penggambaran, anak kedua daripada tiga beradik ini gemar menghabiskan masa di rumah dan sesekali pulang bertemu keluarga di kampung.

“Eddy 'sporting' orangnya. Jika dia sibuk dan tidak dapat menemani Sari, dia akan izinkan Sari pulang ke kampung atau ke rumah saudara mara. Kebetulan, ramai sepupu Sari menetap di Kuala Lumpur, jadi kerap juga berkumpul dan habiskan masa bersama.

“Dua bulan lalu Sari kerap pulang ke Kuala Pilah kerana membantu keluarga melakukan persiapan perkahwinan kakak. Dulu dia bertungkus-lumus bantu Sari, tiba pula giliran Sari menolongnya,” kata Sari yang mula mencuri perhatian ramai menerusi komersial Hotlink.

Menyingkap perkembangan terkini, Sari baru saja selesai penggambaran kesinambungan musim ketiga siri Kisah Kaisara arahan Nyon Othman yang bersiaran secara eksklusif di laman sesawang Kotex.

Masih mengekalkan pelakon sama, penggambaran 10 episod siri popular dilema Kaisara dan rakannya ini mengambil masa dua minggu.

“Tidak banyak beza, cuma kali ini isu dan permasalahan wanita dikupas dengan lebih mendalam. Malah apabila disiarkan di laman sesawang, kami lebih bebas berbicara soal haid dan dilema remaja, malah boleh menyebut perkataan Kotex.

“Setiap episod ditayangkan selama 15 minit. Apabila lama terbabit dengan siri ini, Sari tidak lagi fikir soal impak watak atau sambutan penonton, sebaliknya yang lebih penting adalah maklumat yang mahu disampaikan.

“Jika di televisyen penyampaian informasi terhadap permasalahan datang bulan agak terhad tetapi bila menggunakan laman sesawang sebagai medium siaran, ia lebih terbuka.

“Selesai Kaisara, Sari terbabit pula dengan penggambaran Juanna musim baru. Sari juga ada menerima tawaran sebuah drama panjang tetapi masih dalam pertimbangan kerana jadualnya bertindih dengan penggambaran Juanna,” kata anak jati Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini.

Selain itu Sari turut terbabit dengan telefilem Keabadian Cinta arahan Kabir Bhatia. Menariknya, kali ini Sari memegang watak gadis buta di samping pelakon berbakat besar, Remy Ishak.

“Sebelum ini Kabir ada panggil berlakon di bawah arahannya tetapi Sari terpaksa tolak kerana terikat dengan produksi lain. Sari sangat berbesar hati dapat bekerja dengan Kabir yang terkenal dengan karya kreatif dan memikat.

“Konsep Keabadian Cinta tidak jauh berbeza dengan filem Cinta tetapi kali ini Kabir mengetengahkan tiga cerita yang berkait antara satu sama lain. Selain Sari dan Remy, telefilem ini dijayakan Eizlan Yusof, Tiz Zaqyah, Cheryl Samad dan Gavin Stenhouse.

“Menghidupkan watak gadis buta bukan mudah malah pengalaman itu jauh berbeza daripada produksi yang pernah Sari jayakan sebelum ini. Biarpun sukar Sari cuba yang terbaik malah sangat bertuah kerana Kabir dan Remy banyak membantu.

“Sari gembira kerana ramai pengarah mula percaya kemampuan diri ini dengan memberi watak lebih matang dan sesuai dengan status Sari. Tidaklah lagi terikat dengan watak remaja, pelajar sekolah atau kolej semata-mata,” katanya.

Berpeluang menjayakan beberapa babak filem Impak Maksima dan Jalan Lama membuka keinginan aktres ini untuk serius memahat nama di layar perak.

Pun begitu, dia tidak terlalu ghairah mengharap lantaran sedar banyak kekurangan perlu diperbaiki, khususnya aspek persembahan.

“Sari ada dalam bidang ini secara tidak sengaja selepas menjayakan komersial. Yang Sari ada sekarang adalah pada paras sederhana dan pengalaman pun tidak sebanyak mana.

“Soal mampukah Sari dibawa ke layar perak, terpulang kepada penilaian mereka yang melihat lakonan Sari. Jika ada tawaran, Sari akan berusaha sebaik mungkin,” katanya merendah diri.

Lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ini pernah memasang cita-cita mengusahakan perniagaan, namun hasrat itu belum mampu direalisasikan kerana menumpukan sepenuh masa terhadap bidang lakonan.

Katanya, apabila yakin dan ada perancangan rapi, baru dia berani mengambil apa saja risiko untuk menceburi bidang itu.

“Satu lagi perkara yang ingin Sari lakukan adalah menganjurkan program kesedaran bersama remaja dan pelajar sekolah.

“Sari mahu menyuntik kesedaran remaja, khususnya pelajar perempuan, terhadap penyakit berbahaya termasuk kanser yang meragut banyak nyawa.

“Sari tertarik untuk mendekati golongan ini, mungkin kerana mereka dekat di hati berikutan watak yang Sari bawa sebelum ini. Ini adalah perancangan jangka panjang dan tanggungjawab sosial Sari terhadap masyarakat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: