Monday, November 30, 2009

Jamal Abdillah Ingin Terus Perbaiki Diri

KUALA LUMPUR: Penyanyi Jamal Abdillah, 50, yang telah tinggal bersama Persatuan Pengasih Malaysia sejak empat tahun lepas bagi membebaskan dirinya daripada belenggu dadah, kini semakin tabah dan tenang dalam menghadapi kehidupan harian.

Jamal yang ditemui di majlis Aidiladha Pengasih di sini semalam berkata beliau mempunyai keazaman yang tinggi agar dapat memperbaiki diri daripada mengulangi perkara tidak baik.

"Di sebalik falsafah Hari Raya Korban, saya perlu berkorban untuk diri saya agar tidak menjerumuskan diri kepada perkara yang tak baik, berubah dan lupakan minat kita kepada perkara yang tidak elok," katanya kepada Bernama selepas mengagihkan daging korban pada majlis itu.

Jamal (kiri) mendermakan seekor lembu untuk dikorbankan oleh penghuni Rumah Pengasih semasa Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Lima ekor lembu termasuk seekor daripada Jamal dan tiga ekor kambing biri-biri dikorbankan oleh penghuni rumah Pengasih pada majlis itu.

Sejak tinggal di rumah Pengasih, Jamal telah mula berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan iaitu ternakan ikan hiasan di Bukit Merah, Perak dalam menambah pendapatannya.

Raja Pop itu berkata inisiatif dan keazaman tinggi beliau untuk benar-benar bebas daripada pengaruh dadah itu bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi lebih kepada untuk mendapat keyakinan diri dan yang lebih penting untuk meningkatkan keyakinan peminat terhadapnya.

Jamal, atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, malah amat bersyukur kerana masih diberi ruang dan peluang untuk terus berada di persada hiburan walaupun diselubungi pelbagai cerita negatif.

Mengikut tempoh wajib tinggal di rumah persatuan itu selama dua tahun, Jamal telah melepasinya namun beliau memilih untuk terus bersama Pengasih bagi mendapatkan ketenangan dan panduan agar tidak mudah hanyut apatah lagi kini beliau berhadapan dengan kes mahkamah.

Perbicaraan kes beliau yang didakwa atas tuduhan mengugut bekas isterinya, Fatimatuzahra Samad melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dua tahun lalu akan didengar di Mahkamah Majistret di sini pada 8 Disember ini.

Sementara itu, Presiden Pengasih Mohd Yunus Pathi berkata majlis korban yang diadakan hari ini adalah satu pendekatan yang baik bagi menunjukkan kepada penghuni rumah Pengasih bahawa ibubapa mereka sanggup bekorban apa sahaja demi anakanak mereka.

Seramai 40 orang anak yatim dari Sekolah Asrama Baitus Sharifah Al-Jamalulail, Bandar Century Homes Rawang dijemput bagi meraikan majlis itu.

2 comments:

  1. semua orang melakukan kesilapan. tiada manusia sempurna dan terlepas wat silap. ape pun berlaku jamal tetap no satu dihati. seorang lagenda penghibur.....

    ReplyDelete
  2. cayalah bro.wa sentiasa respek kat abg jamal

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: