Sunday, November 29, 2009

Korban kasih Fizz Fairuz


FIZZ memohon peminatnya jangan taksub dengan watak-watak lakonannya.


Saat 2009 menutup tirai bulan hadapan, genap lapan tahun Fairuz Zainal Abidin atau Fizz Fairuz menjadi anak seni. Dunia lakonan bukan lapangan baru bagi anak kelahiran Raub, Pahang ini.

Sudah lama. Dia juga sudah pernah menjadi salah seorang krew produksi yang antaranya sebagai pembancuh air untuk para pelakon.

Tetapi hari ini, rezeki lebih memihak kepadanya. Daripada seorang krew biasa, pintu yang dibuka sutradara Singapura bernama Bromo menerusi drama 40 episod, Mentari Production menjadi titik tolak buat Fizz menonjol bakat.

Karakter antagonis mahupun protagonis, semua berjaya di tangannya. Komedi yang dibawa pelakon berusia 30 tahun ini juga berjaya menghambur tawa. Biar banyak yang memuji kredibiliti lakonannya, Fizz dengan rendah diri berkata masih banyak ilmu yang mahu digalinya.

Sebagai seorang pencinta seni yang sering kecanduan mengejar ilmu seni, duit bukan ukuran buatnya berlakon. "Yang saya pentingkan adalah ilmu seni itu sendiri.

"Kerana itu saya tidak pernah putus asa atau berasa mahu berundur sepanjang lapan tahun saya membina nama. Susah pun saya redah kerana saya percaya saya mampu bertahan dalam industri ini. Masih panjang perjalanan saya dan masih banyak ilmu yang saya cari," ujar Fizz yang saya temui petang sehari sebelum Aidiladha.

Dia kemudian memberitahu, sepanjang lapan tahun membina nama, hanya dua tahun kebelakangan ini kerjayanya tampak menyerlah. Enam tahun lamanya dia merangkak, antaranya mengambil tawaran yang hanya bernilai RM300 sehari dan melakukan kerja 40 episod untuk memperoleh RM4,000.

Tetapi itu tidak pernah melelahkannya. Sebagai balasan keikhlasan dan cintanya pada seni, harga khidmat Fizz Fairuz kini disifatkan olehnya dalam nada seloroh, "Berbaloi-baloi."

Kemudian Fizz menyambung: "Bagaimanapun masih ada kompromi untuk harga tawaran murah yang saya terima."

Resap roh arwah ayah

Menjadi salah seorang pelakon lelaki masa kini yang diakui kredibilitinya, setiap karakter, dilakonkan dengan ikhlas. Kata Fizz, jika bersetuju bekerja dalam sesebuah produksi, dia tidak memilih karakter, sebaliknya memilih jalan cerita.

Kerana bagi peminat sukan bola sepak ini, dengan jalan cerita yang baik, barulah dia boleh menonjol dalam setiap karakter yang diberi. Paling dielakkan oleh Fizz adalah terbabit dalam cerita yang tidak memberi moral kepada khalayak.

"Saya akui, dulu saya tidak selektif. Tetapi sejak kebelakangan ini, saya sedikit selektif. Saya mahu kerjaya lakonan ini mampu memberi moral yang baik kepada khalayak, bukannya hanya sekadar hiburan semata-mata," tuturnya yang memberitahu peningkatan paling ketara yang berlaku sepanjang menjadi pelakon adalah penghayatannya menjadi semakin baik.

Lewat ketelitiannya memilih jalan cerita itulah membuat nama Fizz naik. Hampir semua karakter menjadi, habuannya sehingga ada yang mahu meludah mukanya kerana meluat dengan persembahannya di dalam beberapa drama.

Terbaru, seorang mak datin mengajak dia berkahwin lari di luar negara kerana terpersona dengan kenaifan dan kewibawaan yang dibawa lewat peranan Aidil dalam siri drama fenomena, Nur Kasih yang baru berpenghujung Jumaat lalu.

"Memang lucu bila ada seorang wanita yang mengaku dirinya datin mengajak saya berkahwin di luar negara gara-gara watak Aidil. Dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pengarah produksi dan meminta saya menghubunginya," kata Fizz ketawa.

Terdiam sejenak, Fizz yang ditanya tentang impak karakter Aidil terhadap dirinya dan khalayak ternyata mempunyai kisahnya tersendiri.

Karakter Aidil, lelaki penyabar dan berhemah tinggi itu sebenarnya diserap daripada karakter arwah bapanya, Zainal Abidin yang pulang ke Rahmatullah pada tanggal 6 Mei 2008 lalu. Malah pengorbanan yang dilakukan Aidil terhadap keluarga dan adik-beradiknya juga adalah perjalanan realiti kehidupannya.

"Mak dan kakak saya menangis bila lihat saya bawa watak Aidil. Pengorbanan yang Aidil lakukan dalam Nur Kasih hampir sama dengan pengorbanan saya secara realiti.


WALAU sudah terkenal, Fizz memilih untuk hidup sederhana.


"Saya mengambil sifat-sifat arwah abah untuk menjayakan watak Aidil, sehingga membawa Aidil selama lima bulan untuk 26 episod ini sering mengundang sebak kerana teringatkan arwah ayah yang penyabar dan berhemah tinggi," katanya yang merupakan anak kelima daripada sembilan beradik tetapi menjadi anak lelaki yang bertanggungjawab menjaga keluarga kerana masih solo.

Malah kata Fizz, jika mahu mengaitkan erti pengorbanan sempena Aidiladha, pengorbanan cinta dan dedikasinya terhadap keluarga adalah pengorbanan tersuci daripada seorang anak, adik dan abang dalam keluarga besarnya itu.

Tetapi satu yang diminta Fizz yang kini sibuk menjalani penggambaran drama Jangan Bunuh Matahariku di Cameron Highlands, jangan khalayak terlalu taksub dengan Aidil di dalam kehidupan seorang Fizz Fairuz.

Sebagai pelakon, dia hanya menjayakan karakter yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Justeru, apabila Nur Kasih tamat tayangannya, dia juga sudah mengembara lebih jauh daripada karakter Aidil.

"Kini saya mempersiapkan diri untuk membawa karakter Leftenan Hassan untuk filem Bravo 5. Saya teruja kerana ini adalah sebuah filem patriotik yang memberi moral terbaik buat khalayak menerusi perjuangan seorang askar yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk agama, bangsa dan negara," katanya yang juga akan terbabit untuk sebuah drama terbitan RTM kelak.

Tidak suka berjanji

Mengenali dirinya sendiri, dua perkara menjadi prinsip Fizz. Dia tidak suka berjanji dan tidak gemar memasang sasaran kehidupan. Kata Fizz, kehidupan harus mengalir sendiri di atas usaha gigih. Justeru, janji hanya akan memakan diri sendiri jika tidak ditepati.

Hal ini dibicarakan saat topik kami beralih tentang perancangan kehidupannya dengan teman wanita, pelakon manis, Almy Nadia.

Mengakui wanita amat penting dalam kehidupan seseorang lelaki, itu adalah lumrah kehidupan. Tetapi mahu memintal janji atau menyasarkan usia untuk berkahwin, itu bukan stail Fizz.

"Sebab itu saya tak ada sasaran mahu berkahwin. Mungkin jauh lagi perkahwinan buat diri saya. Saya tidak mahu berkahwin dalam keadaan yang tidak bersedia. Saya juga tidak mahu berkahwin dan kemudian terpaksa bercerai berai.

"Dalam masa yang sama, saya tidak suka berjanji. Kalau saya berjanji pada diri sendiri misalnya saya ingin berkahwin pada usia 35, tapi saya tidak isi janji itu, saya bersalah. Jadi saya biarkan semuanya mengalir," akuinya yang memaklumkan mujur Almy begitu memahami paksi dirinya.

Tetapi itu tidak bermakna Fizz tidak merencana masa depannya dengan baik. Secara perlahan-lahan wang tabungan bekerja keras sebagai pelakon dilaburkan dalam dua bentuk perniagaan yang berbeza.

Sejak setahun lalu, di bawah payung Kasih Tania Enterprise, dia dan abangnya mengusahakan perniagaan lembu dan kambing. Sementara masih di dalam proses akhir sebelum dilaksanakan adalah sebuah restoran yang dijalankan di kampung kelahiran ibunya di Ketari, Bentong, Pahang.

"Jika ada rezeki lebih, saya juga mahu membuka sebuah rumah produksi," katanya ringkas tetapi terkesan berkobar-kobar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: