Sunday, November 29, 2009

Nizam suka bola jaring


Nizam


APABILA sebut bola jaring, kita akan teringatkan ia sebagai salah satu sukan khas golongan wanita. Sebabnya, selama ini sukan itu dipelopori oleh golongan wanita sejak di bangku sekolah lagi.

Kini sudah ada kelab sukan yang memiliki pasukan bola jaring di negara ini apabila ada usaha pihak tertentu mempopularkannya untuk golongan lelaki pula. Mungkin ramai yang tak tahu.

“Memang ia tidak sepopular pasukan wanita yang pernah mengadakan perlawanan peringkat antarabangsa, tapi saya nampak bola jaring lelaki juga ada masa depan yang cerah,” kata Mohd. Nizam Saderi, salah seorang pemain bola jaring lelaki yang aktif.

Penghias ruangan Kacak Bergaya minggu ini baru berjinak-jinak dengan sukan tersebut sejak setahun lalu. Kini beliau diletakkan dalam pasukan C iaitu pasukan paling junior kelab Cobra.

“Saya baru terdedah kepada sukan ini apabila diperkenalkan oleh seorang kawan yang juga aktif dalam kelab Cobra. Daripada berlatih suka-suka, akhirnya saya mula minat terhadap sukan ini.

“Memang ia kelihatan tidak lasak sebagaimana sukan lelaki lain seperti ragbi atau bola sepak, tapi permainan bola jaring memerlukan skill tersendiri serta taktik mengalahkan lawan.

“Saya nampak bola jaring lelaki ada masa depan dan boleh menjadi salah satu sukan yang boleh menaikkan nama Malaysia. Kita perlu meneroka sukan baru setelah sukan popular lain sukar menyerlahkan pasukan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Inilah masanya kita harus mencuba sukan lain yang bukan kebiasaan kerana sukan popular dan mempunyai banyak pengaruh tidak membawa negara ke mana-mana. Saya harap suatu hari nanti pihak berkaitan yang boleh membuat keputusan akan melihat potensi bola jaring lelaki.

“Negara luar sudah lama memiliki pasukan bola jaring lelaki yang mewakili negara dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Malaysia belum lagi mendapat tempat untuk bersaing kerana masih baru, malah pertandingan peringkat dalam negara pun belum banyak,” kata Nizam kepada Pancaindera.

Nizam tidak nampak mengapa seorang lelaki patut berasa malu bermain bola jaring sedangkan sekarang banyak sukan yang dikatakan khas untuk lelaki turut disertai pasukan wanita.

“Kalau wanita boleh main bola sepak dan ragbi mengapa pula lelaki yang bermain bola jaring diperlekehkan? Saya tak nampak mengapa mereka harus dikaitkan sebagai golongan lelaki lembut?

“Saya perhatikan juga pemain lain dalam pasukan Cobra dan tak ada pula lelaki yang nampak kelembutan. Malah ketangkasan seorang lelaki diperlukan dalam permainan bola jaring ini,” sambung beliau lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: