Sunday, November 29, 2009

Rain goda Megan Fox


RAIN mencipta fenomenanya tersendiri sebaik masuk ke dalam industri hiburan sehingga dengan mudah dia kini masuk ke dalam pasaran Hollywood.


REALITI kehidupan Jeong Jihoon, memang cukup mengujakan. Dilahirkan di Seoul, Korea Selatan, aktor kacak yang 'meletup' menerusi drama bersiri di televisyen, Full House ini pada usia kecil telah ditinggalkan bapanya yang berhijrah ke Brazil. Selepas itu, kehidupan bintang tersohor Korea yang dikenali sebagai Rain ini hanya bergantung kepada ibunya.

Malangnya sewaktu remaja, dia yang terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mampu membiayai persekolahannya kehilangan tempat bergantung - satu-satunya ibu yang dicintai.

Menjalani kehidupan zaman kanak-kanak yang cukup memeritkan, berbekalkan ilmu tarian, nyanyian dan lakonan yang dipelajarinya sewaktu menuntut di Sekolah Anyang, jejaka berusia 27 tahun ini kini mencetus fenomena tersendiri.

Kisah sedih kehidupan masa lampaunya bagai terhapus dek kilauan kemasyhuran sebaik dia memasuki industri hiburan pada tahun 2002 dengan album perdananya, Rain sebelum meledak bersama program televisyennya Sang Doo! Let's Go To School.

Demikian semakin harum kariernya bukan sahaja sebagai penyanyi yang telah berjaya menjual jutaan unit album di seluruh Asia, jejaka pemalu ini juga digilai kerana bakat lakonannya.

Terbaru, dia muncul dalam filem Ninja Assassin yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam-pawagan. Rain menghidupkan watak Raizo, yatim piatu dan anak angkat kepada 'kumpulan rahsia' Azunu Clan yang dilatih menjadi pembunuh, sebelum berpaling tadah selepas ketua kumpulannya menyakiti teman baiknya sendiri.

Teruja dengan kepercayaan pengarah James McTeigue dan penulis skrip J. Michael Straczynski terhadap kredibilitinya, tidak mudah buat Rain menjayakan watak Raizo.

Lebih-lebih lagi dia sendiri meletakkan Bruce Lee dan Jackie Chan sebagai pembakar semangat untuk menjayakan watak Raizo sebaik mungkin.

"Saya menjalani rejim yang ketat untuk menjadi Raizo. Saya berlatih lapan jam sehari, lima hari seminggu selama lapan bulan untuk mendapatkan bentuk badan seperti Bruce Lee.


MEGAN FOX


"Dalam masa yang sama, saya mempelajari beberapa jenis seni mempertahankankan diri termasuk tae-kwon-do, aikido, kung fu, tinju, pedang, dan shuriken. Saya juga hanya makan dada ayam dan sayur sepanjang rejim ini berjalan," katanya.

Menolak jika ada yang menyatakan kehidupan Raizo waktu kecil, mirip kehidupan lampaunya, Rain menuturkan: "Perjalanannya berbeza dengan saya, tapi saya seronok membawa watak Raizo."

Lebih daripada itu, jejaka yang menjadikan Michael Jackson sebagai figura seni yang paling banyak mempengaruhinya dalam tarian ini berharap, agar Ninja Assassin yang mula ditayangkan sejak 19 November lalu mencapai kutipan pecah panggung.

"Tapi yang lebih penting bukan pada kutipan sahaja, sebaliknya saya berharap filem ini menjadi pintu buat saya berpeluang lebih besar dalam pasaran Hollywood," ucapnya yang juga berharap banyak pelakon Asia lain diberi peluang berada dalam empayar seni Hollywood.

Keluar daripada topik promosi filemnya, Rain tidak ketinggalan menjawab soalan berkaitan soal peribadi.

Mahu melihat kariernya terus bersinar, Rain dalam satu temu bual dengan media antarabangsa menyatakan biar kariernya semakin sukses, ironinya kehidupan peribadinya begitu sunyi.

Harapan Rain, dia mahu mempunyai teman wanita secepat mungkin. "Saya sunyi," begitu akuinya.

Ketika ditanya wanita bagaimana yang menjadi ciri khusus untuk mendampinginya, jejaka yang mempunyai label jenama sendiri, Six to Five ini memberitahu: "Wanita yang seksi!."

Malah, sewaktu diberitahu media bahawa aktres Megan Fox begitu teruja melihat sosok tubuhnya di dalam filem tersebut dan mahu keluar bersamanya, pantas Rain menjawab: "Saya setuju!".

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: