Tuesday, January 31, 2012

Filem Dragon Tattoo diharam di India

AKTRES filem The Girl with The Dragon Tattoo, Rooney Mara (kiri) bercakap dengan Fincher (kanan) pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di Tokyo, Jepun semalam.


MUMBAI - Studio Sony Pictures tidak akan menayangkan filem blockbuster, The Girl with The Dragon Tattoo di India selepas badan tapisan filem tempatan mahu beberapa adegan menampakkan punggung dalam filem berkenaan dikaburkan.

Filem Hollywood itu mengisahkan usaha seorang wartawan, lakonan Daniel Craig, mencari seorang wanita yang hilang selama 40 tahun.

Ia dijadual ditayangkan di India pada 10 Februari ini tetapi berdepan halangan Lembaga Pusat Persijilan Filem India (CBFC).

"Babak dedah punggung dan payu dara tidak dibenarkan di India," kata pegawai CBFC," J.P. Singh.

"Kami tidak bersetuju dengan beberapa adegan dalam filem The Girl with The Dragon Tattoo dan mahu adegan terbabit dikaburkan," tambahnya.

Sony Pictures di India dalam satu kenyataan yang dihantar kepada agensi berita AFP semalam menyatakan, pihaknya tidak akan bertolak ansur berhubung kandungan filem itu yang setakat ini memperoleh kutipan tiket AS$185 juta (RM565 juta) di seluruh dunia.

"Badan penapisan ini mendapati filem berkenaan tidak sesuai untuk ditayangkan kepada umum dalam bentuk asalnya," kata CBFC dalam satu kenyataannya.

Filem berkenaan diarahkan oleh David Fincher, pengarah Hollywood yang pernah mengarahkan beberapa filem pecah panggung seperti Fight Club dan The Social Network.

Ia diadaptasi daripada siri buku po pular nukilan penulis Sweden, mendiang Stieg Larsson.

Lebih 1,700 filem asing ditayangkan di India setiap tahun selepas mendapat kelulusan badan penapisan negara itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: