Tuesday, January 31, 2012

Kaer Azami Nafi Sudah Bertunang

Kaer Azami.

SHAH ALAM: Penyanyi yang popular dengan lagu Izinkan Ku Pergi, Kaer Azami menafikan dakwaan dia sudah bertunang dengan gadis pilihan hatinya.

Kaer berkata, laporan mengenai perkara itu adalah rekaan semata-mata namun tidak menafikan bakal mengikat tali pertunangan dengan gadis tersebut apabila telah bersedia.

"Jika benar saya sudah bertunang ia akan dikhabarkan kepada rakan-rakan media tetapi laporan itu adalah tidak tepat," ujarnya kepada mStar Online.

Diasak dengan pertanyaan mengenai individu yang telah mencuri hatinya, Kaer memberitahu dia mengenali wanita tersebut ketika melanjutkan pelajaran di Jakarta, Indonesia.

Kaer juga enggan mengesahkan identiti wanita itu sama ada warganegara Indonesia atau berasal dari negara ini.

"Apa yang boleh saya katakan kami telah kenal lama dan selebihnya apabila semuanya telah pasti saya akan dedahkan kepada media," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kaer memberitahu dia mungkin bersara daripada bidang nyanyian kerana ingin memberikan tumpuan kepada perniagaan yang diusahakannya.

Kaer berkata, perniagaan yang diusahakan itu masih melibatkan bidang seni dan dia berharap dapat mencari bakat baru untuk diketengahkan di Indonesia.

"Sepanjang melanjutkan pelajaran di Indonesia, selain belajar saya juga turut aktif mencari kenalan dalam industri hiburan di sana.

"Apabila ada kenalan rasanya lebih mudah untuk membawa masuk bakat kita ke negara itu," ujarnya.

Di samping itu, Kaer memberitahu dia berhasrat untuk membuka sebuah butik di Kuala Lumpur dengan jenama Kazami yang sebelum ini rancak menerima tempahan dari Indonesia dan Filipina.

"Semasa di Jakarta saya tidak mempunyai kedai khusus untuk jenama itu tetapi berhasrat membuka sebuah butik di sini yang menjual pakaian lelaki," katanya.

Sementara itu, Kaer juga bakal menghasilkan album terbarunya yang dijangka berada di pasaran pada Mei depan.

Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kedua ini memberitahu dia ingin memeriahkan kembali industri seni suara selepas lama menghilangkan diri.

"Album itu nanti akan menampilkan genre pop rock dan harap-harap ia akan disukai peminat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment