Sunday, January 29, 2012

Koleksi unik Honda

KENANGAN...penulis bergambar di lobi Dewan Koleksi Honda.
KENANGAN...penulis bergambar di lobi Dewan Koleksi Honda.

SELAMA enam jam penerbangan ke negara matahari terbit, hati penulis bercelaru kerana memikirkan isu pencemaran radiasi nuklear akibat gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada Mac tahun lalu.

Walaupun sudah sembilan bulan berlalu, peristiwa itu masih baru di fikiran penulis kerana beberapa laporan susulan mengatakan kebocoran kecil berlaku loji jana kuasa nuklear di Fukushima, Jepun.

  • Foto

    KLASIK...jentera perlumbaan model terdahulu.

  • Foto

    BANGGA...jentera perlumbaan Honda.

  • Foto

    ENJIN...enjin dua lejang yang dipadankan pada motosikal perlumbaan.

  • Foto

    MENARIK...pelbagai jentera perlumbaan jenama Honda.

  • Foto

  • Foto

    UNIK...basikal yang menggunakan enjin.

  • Foto

    MANTAP...Honda Civic.

Namun, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, Jepun, perasaan penulis bertukar sebaliknya sebaik melihat masyarakat di sana melakukan rutin harian seperti biasa, seolah-olah isu berkenaan tidak menakutkan mereka.

Sambutan mesra dan senyuman dilemparkan pegawai imigresen di sana membuktikan mereka sudah lali dengan gempa bumi yang kerap melanda negara itu.Kehadiran penulis buat kali pertama ke negara berkenaan atas jemputan Honda Malaysia Sdn Bhd untuk membuat liputan Pameran Motor Tokyo, Disember tahun lalu, turut disambut dengan suhu dingin yang mencecah sehingga tujuh darjah Celsius.


Walaupun jadual yang disusun padat, penulis diberi peluang berkunjung beberapa tempat menarik di negara termaju di dunia itu sepanjang enam hari di sana.

Paling menarik, penulis berkunjung ke litar Twin Ring Motegi, Tochigi, yang terletak 150 kilometer dari bandar Tokyo dengan mengambil masa hampir tiga jam menaiki bas.

Litar dimiliki pengeluar kereta Honda itu tidak asing lagi buat peminat perlumbaan kereta Gran Turismo dan tempat melahirkan pelumba terkenal di negara berkenaan.

Selain litar, di sini juga terletaknya Dewan Koleksi Honda yang menempatkan 350 model kenderaan jenama terbabit.

Bangunan yang dibuka pada Mac 1998 sempena ulang tahun Honda ke-50 diinspirasikan daripada petikan pengasasnya iaitu mendiang Soichiro Honda.

Dalam petikan itu, Soichiro berkata: “Barangan tidak menipu. Jika barangan benar-benar bagus, ia akan berjaya.

“Apa kami buat di Honda apabila mencipta barangan. Kami hanya patut menunjukkan apa yang kami buat. Barangan kami akan menceritakan kebenaran mengenai Honda.”

Boleh dikatakan bangunan tiga tingkat ini padat dengan maklumat mengenai kenderaan jenama Honda selain mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Malah, berkunjung ke dewan itu membuatkan seolah-olah penulis mengenali lebih lanjut pengasasnya selain arah tuju syarikat berkenaan pada masa depan.

Sebaik memasuki ruang dewan ini, pengunjung disambut dengan lagu irama jazz, sekali gus terasa tenang untuk menjelajah sambil melihat model kenderaan dipamerkan.

Dewan tiga tingkat ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu kereta dan motosikal, di mana bahagian paling bawah bangunan dilengkapi kedai cenderahati eksklusif jenama Honda tetapi harga ditawarkan sedikit mahal.

Sementara itu, ruang berasingan turut mempamerkan beberapa generasi robot pintar iaitu Asimo yang boleh berkomunikasi, berlari, melompat dan menyepak bola seperti manusia.

Tingkat kedua pula dipenuhi koleksi kenderaan yang memenuhi jalan raya antara era 1960-an hingga 1990-an seperti Honda Civic generasi pertama dan kereta mini N360 1967 serta trak kecil. Di sini juga kereta berprestasi tinggi dipamerkan, termasuk NSX dan Honda Integra.

Selain itu, pameran motosikal menempatkan barisan produk Honda Cub, basikal menggunakan enjin dan motosikal berkuasa tinggi.

Honda Cub yang menggunakan enjin bersesaran kurang daripada 100 cc mempunyai keluarga besar apabila mempunyai lebih 10 model berbeza.

Motosikal berkuasa tinggi era 1980-an seperti Honda CB1100F, GB250, CB750F dan CB250RS turut susun pada satu sudut berasingan untuk membezakan dengan jentera tahun berlainan.

Jika di Malaysia, jentera dua roda era itu mungkin menjadi koleksi penggemar motosikal lama yang dulunya menjadi kegilaan segelintir masyarakat akibat fenomena filem Azura lakonan Jamal Abdillah.

Malah, beberapa model skuter dan motosikal klasik yang digunakan selepas dan sebelum Perang Dunia Kedua dipamerkan dengan keadaan sempurna dan kelihatan seperti baru.

Tingkat paling atas mempamerkan jentera yang terbabit dalam dunia perlumbaan seperti digunakan dalam Formula Satu dan Grand Prix.

Motosikal Honda NSR dengan bersesaran 500 cc digunakan pelumba legenda Grand Prix berasal dari Australia, Micheal Doohan turut dipamerkan di dewan berkenaan.

Selain Dewan Koleksi Honda, penulis sempat melawat kawasan sekitar litar Twin Ring Motegi yang juga dilengkapi pusat latihan memandu motosikal atau kereta untuk perlumbaan.

Kawasan ini juga dilengkapi taman tema ciri-ciri automotif, di mana kanak-kanak bawah 10 tahun boleh memandu kereta atau menunggang motosikal yang direka bersesuaian untuk umur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: