Wednesday, October 7, 2015

Persaingan sengit! Empat pelajar ke final AF 2015



Persaingan sengit! Empat pelajar ke final AF 2015
Lisa dan Rachel tersingkir sekali gus gagal ke peringkat akhir.
MALAM konsert separuh akhir Konsert Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) malam Ahad lalu menyaksikan dua pelajar Lisa dan Rachel tersingkir sekali gus gagal ke peringkat akhir pada minggu ke 10.

Berpuas hati dengan keputusan yang diberikan, pengetuanya, Edry Abdul Halim menjangkakan persembahan peringkat akhir bakal memberikan saingan hebat dalam kalangan pelajar yang terpilih.

“Rata-rata penonton dan pengundi jangkakan Bila, Sufi dan Syamel antara pelajar yang akan bersaing hebat.

“Tapi pada masa sama, saya selalu ingatkan supaya jangan menilai terlalu awal kerana ada pelajar yang masih belajar dan akhirnya buktikan mereka juga mampu beri saingan seperti Shahrul yang turut ke peringkat akhir.
“Dengan kesungguhan dan kerja keras yang dilakukan, saya berharap Shahrul mampu beri saingan hebat kepada tiga pelajar yang terpilih itu,” katanya.

Turut gembira dengan pemilihan empat pelajar ke peringkat akhir konsert, juri tetap, Datuk Ramli MS.

“Dalam satu minggu mereka diberikan dua tugasan lagu dan bagi saya itu adalah perkara yang mencabar dan tidak hairanlah pada konsert malam ini persembahan yang ditonjolkan pelajar tidak begitu konsisten.

“Biarpun begitu,  persembahan pada malam ini masih menghiburkan dan memberi saingan yang hebat.

“Saya memahami situasi ini, tapi saya  tidak nafikan, Bila adalah pelajar yang tidak pernah mengecewakan walaupun diberi banyak mana tugasan.

“Melihatkan kehebatan bakat yang dimiliki empat pelajar ini, saya jangka konsert akhir nanti akan memperlihatkan persaingan yang mantap,” katanya.

Menafikan berlaku berat sebelah terhadap setiap persembahan yang dilakukan Bila, Ramli mahu setiap pelajar bekerja keras melakukan persembahan yang terbaik setiap minggu.

“Saya bercakap benda betul kalau sesetengah pelajar melihat ia satu perkara yang negatif, ia akan negatif tapi kalau sebaliknya mereka akan bekerja keras.

“Kalau dilihat, jika ada pelajar buat persembahan baik, saya akan puji dan persembahan yang tidak menyerlah saya tidak hentam kerana tidak ada guna.

“Memang saya tidak akan bercakap siapa yang jadi juara, tapi saya gembira dan berpuas hati dengan pemilihan pelajar ke peringkat akhir kerana ia akan menyajikan kita persembahan sengit,” ulasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: