Wednesday, February 10, 2016

Suami isteri nekad biak kucing Sphynx



Suami isteri nekad biak kucing Sphynx
Liyana memakaikan baju kepada Sakura bagi mengelak ia sejuk dan terdedah kepada risiko luka kerana badannya tidak berbulu.
KUALA TERENGGANU – Peminat kucing yang mula ‘jatuh cinta’ kepada kucing jenis Sphynx, nekad mahu membiak baka yang dibeli dari negara Rusia itu berikutan harga haiwan peliharaan berkenaan yang tersenarai antara 10 kucing termahal di dunia.
Ili Liyana Ismail, 26, berkata, dia mula meminati kucing sejak kecil lagi namun minatnya berkembang setelah berkahwin dengan seorang peminat kucing tegar, Ayub Che Ngah, 29, malah kini mereka mempunyai empat ekor kucing berlainan jenis baka.
Ditanya mengenai kucing Sphynx yang diberi nama Sakura itu, Liyana berkata, dia baharu sahaja membela kucing berkenaan hampir dua bulan lalu yang dibeli di Rusia setelah melihat seorang rakannya mempunyai kucing unik tidak berbulu itu.
“Saya tertarik dengan kucing ini, malah ramai yang bertanya mengenai Sakura, membuatkan saya dan suami tekad untuk membiak baka jenis ini di Terengganu.
“Kalau keluar bersiar-siar, saya akan bawa Sakura dan pada masa sama, orang ramai akan bergambar dan banyak bertanya mengenainya malah ada yang datang ke rumah semata-mata untuk melihat kucing ini yang difahamkan, hanya ada seekor sahaja di Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui di Karnival Kucing anjuran Kelab Kucing Malaysia, di sini, baru-baru ini.
Liyana memberitahu, Sakura yang berusia sembilan bulan itu dibeli dengan harga RM5,000, agak mudah dijaga malah kos untuk kucing berkenaan hanya memerlukan RM300 sebulan termasuk makanan, vitamin, ubat-ubatan dan lain-lain.
Mudah dijaga tapi kulit agak sensitif
Sementara itu, menurut Ayub, penjagaan haiwan yang disifatkan sebagai seekor kucing yang sangat mesra itu berbeza dengan kucing lain yang dibela seperti kucing Persian, Munchkin dan Bengal yang mempunyai bulu dan perlu menguruskannya dalam masa agak lama berbanding Sakura.
“Sakura senang nak jaga sebab tidak ada bulu dan tak perlu disikat, tetapi kulitnya agak sensitif dan terdedah kepada luka. Dua atau tiga hari sekali saya akan lapkan badannya dengan menggunakan tisu basah.
“Kalau cuaca agak sejuk seperti di tempat yang ada penghawa dingin, kena pakaikannya baju supaya dia tidak mudah sakit dengan keadaan persekitaran disebabkan tidak mempunyai bulu dan berkulit licin serta sedikit lembap. Sakura juga mudah terdedah dengan risiko luka kerana kulitnya tidak berbulu,” ceritanya.
Beri makan daging mentah
Berhubung cara pemakanannya pula, Ayub berkata, dia turut memberi Sakura makan daging mentah supaya dapat membina ototnya bagi membolehkan ia kelihatan lebih tegap dan sihat.
Ayub turut mengakui, kucingnya itu mendapat perhatian kerana berbeza dengan kucing yang ada di Terengganu sehinggakan dia sendiri mencipta satu laman media sosial khas di laman facebook dengan menggunakan nama Sekuntum Bunga Sakura untuk memuatnaik video serta gambar Sakura sebagai tatapan peminat kucing Sphynx.
Pasangan suami isteri itu berharap suatu masa nanti mereka dapat membiak lebih banyak baka kucing Sphynx di negeri berkenaan dan bakal membuka sebuah kafe, Cat Café di Kampung Losong Haji Mat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: