FIGURA ini terkenal dengan imej rock. Namun, imej dibawa tidak sesekali membuatkan beliau kekok berbicara mengenai isu alam sekitar, malah menyokong kempen #blackoutbumisakit,
"Saya pencinta tumbuh-tumbuhan hijau, saya juga suka bunga. Macam-macam bunga saya tanam hinggalah ke pokok durian. Alhamdulillah, tangan saya menjadi,
“Mungkin ada yang tak sedar, bila kawasan rumah banyak tumbuhan hijau, ia bagus untuk kesihatan mata. Bangun pagi, 10 minit saya ambil masa tengok tanaman hijau,” kata penyanyi kumpulan Wings, Datuk Awie.
Beliau yang sokong kempen Selebriti Selamatkan Dunia mahu melihat alam sekitar tidak diganggu walaupun pembangunan sedang pesat membangun.
Awie tidak menolak pembangunan satu keperluan tetapi pada masa sama setiap individu bertanggungjawab memelihara bumi.

Orang ramai perlu memiliki kemahuan untuk menjaga alam sekitar dan memulakan proses penjagaan di rumah sendiri.
"Bagi saya, siapa pun kita jangan jadikan alasan pembangunan untuk kita sewenang-wenangnya melakukan kerosakan kepada alam sekitar.
"Jangan serah peranan kepada orang lain atau kerajaan semata-mata. Mulakan dari dalam diri kita sendiri," katanya sempena sambutan Hari Terbuka Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Casuarina@Meru, Sabtu lalu.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Bagi Awie, tidak perlu berbelanja besar untuk menghidupkan tumbuh-tumbuhan hijau di kawasan rumah.
"Tanam pokok bunga pun dah bantu kita menahan bumi daripada sakit dan tenat.
“Dulu saya ada buat kempen di Jengka, kempen ‘Rumahku Tamanku.’ Ramai tak sedar pokok hijau tumbuhan hutan lebih cantik dari bandar.
"Tak susah, buat saja dan jadikan kawasan kita sendiri seperti taman," katanya sambil mengakui minatnya itu memberi banyak manfaat termasuk kesihatan diri.
Awie turut menyeru orang ramai dan rakan artis sama-sama menyokong kempen #blackoutbumisakit.