HULU TERENGGANU - Ular sawa batik sepanjang hampir tujuh meter yang kekenyangan setelah membaham seekor anak lembu di Padang Tepah, di sini, berjaya ditangkap penduduk, tengah hari kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, sekumpulan sekitar 10 penduduk terpaksa mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk menarik keluar ular dianggarkan hampir 100 kilogram itu dari parit sedalam lebih satu meter.
Penduduk, Wan Fazrullah Wan Omar, 35, berkata, sekitar jam 12 tengah hari, dia mendapat panggilan daripada Kamarul Ashraf Abdul Rashid, 21, yang memaklumkan seekor ular sawa membaham anak lembu di dalam kebun sawit milik penduduk kampung.
Menurutnya, dia bersama penduduk terlibat kemudian menebas belukar di lokasi penemuan memandangkan sukar menangkap ular itu jika tidak berbuat demikian.
"Saya bergegas ke sana. Masa tu dah ada empat orang di situ, lepas tu baru beberapa orang lain datang. Kami sepakat tangkap ular tu sebab risau lebih banyak lembu jadi mangsa, tambah lagi orang kampung bela lembu di kebun sawit tu.
“Difahamkan, ular sawa tu dijumpai seorang penduduk yang lalu di situ sekitar jam 10.30 pagi. Memandangkan penuh belukar, kami ambil masa nak kesan ular tu sebelum jumpa dalam parit. Ular tu besar sampai susah kami nak tarik keluar, tambah pula dah baham anak lembu,” katanya, semalam.
Menurut Wan Fazrullah, ular itu kemudian dilepaskan ke kawasan hutan yang agak jauh dari kebun penduduk kampung.
Jelasnya, sekitar jam 6 petang Selasa lalu, seorang penduduk ada terserempak dengan ular sawa itu yang sedang membaham seekor anak lembu, namun ular itu memuntahkan kembali sebelum menyusur masuk ke dalam kawasan belukar dan hilang.
Pengerusi JKKK Bukit Gemuruh, Abdul Rashid Ismail berkata, kejadian itu kali pertama berlaku di kawasan berkenaan dan mereka beranggapan ular itu datang dari paya berhampiran kebun sawit di situ.
“Ular sawa ini keluar dari habitat sebab nak cari makanan. Kebetulan kebun sawit tu ada lembu orang kampung. Kita harap penduduk lebih berhati-hati selepas ini terutama yang ke kebun seorang diri.
“Kalau terserempak dengan ular ini, jangan ambil tindakan sendiri yang mampu menyebabkan perkara tak diingini. Langkah terbaik dengan hubungi atau maklumkan kepada pihak berkaitan,” katanya.