IPOH – Penganjuran program simulasi haji khususnya kepada murid tadika dilihat mampu memberi pendedahan sebenar mengenai ibadah haji.
Pengurus Smart IQ @ Ipoh, Mohammad Azmi Azizi berkata, pendedahan sedemikian dilihat baik dan mampu memberikan pengetahuan mengenai selok-belok ibadah haji kepada peserta.
Malah menurutnya, program berkenaan dilihat memberi banyak manfaat terutama kepada murid tadika yang secara tidak langsung menggalakkan pendaftaran haji pada usia muda.
“Kejayaan penganjuran program Simulasi Haji Junior tahun lalu mendorong Tadika Smart IQ Ipoh untuk meneruskan program berkenaan lagi.
“Secara keseluruhannya, kita mahu memberi pendedahan mengenai ibadah haji ini sejak peringkat awal usia,” katanya.
Difahamkan program Simulasi Haji Junior 2017 peringkat Dun Manjoi yang dianjurkan di Masjid Al-Ansar Bandar Meru Raya kali ini disertai 300 murid tadika dan sekolah rendah.
Penganjuran program berkenaan turut mendapat tajaan Lembaga Tabung Haji Negeri Perak, Aman Palestin, Pusat Khimat Dun Manjoi, Darul Mubarak Travel and Tours dan Masjid AlAnsar Bandar Meru Raya, baru-baru ini.
Turut hadir dua selebriti jemputan, PU Yeop dan Mia Sara.
Sementara itu, Mohd Azmi berharap program berkenaan akan dapat dianjurkan lagi pada masa depan.
Katanya, penganjuran program berkenaan juga diharapkan dapat dianjurkan dengan lebih besar melibatkan lebih ramai penyertaan murid sekolah.
“Kita harap program seperti ini akan dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan. Mungkin dengan penyertaan lebih ramai, Insya-ALLAH,” katanya.