TEPOH - Selain unik dan memerlukan kerjasama kukuh antara ahli pasukan, permainan gasing pangkah juga menuntut kemahiran tertentu terutama ketika mengambil gasing yang sedang berpusing menggunakan kayu khas.
Itulah antara keunikan permainan tradisional ini yang masih dapat dilihat di beberapa kampung sekitar Tepoh, meskipun kian luput ditelan zaman.
Lebih menarik, permainan yang memerlukan antara 15 hingga 25 ahli bagi setiap pasukan itu dibahagi kepada beberapa bahagian antaranya melempar gasing, mengambil gasing sedang berpusing dan memastikan ia berpusing lebih lama di tempat dikhaskan.
Menyedari permainan itu semakin dilupakan, JKKK Bukit Nangka tampil menganjurkan Pertandingan Gasing Pangkah 2017.
Pengerusi JKKK Bukit Nangka, Mazlan Ahmad berkata, kali terakhir pertandingan sedemikian diadakan lebih 10 tahun lalu.
“Sekarang kita dapat lihat golongan muda makin kurang didedahkan dengan permainan tradisional. Kebanyakan yang mewarisi permainan ini terdiri daripada golongan berusia.
“Sebab itu kita sepakat adakan pertandingan ini untuk tarik minat generasi muda bagi membolehkan gasing pangkah diwarisi. Walaupun lebih 10 tahun pertandingan ini tak diadakan, tapi sambutan begitu menggalakkan,” katanya.
Mazlan berkata, pertandingan berlangsung di gelanggang gasing Bukit Nangka itu disertai empat pasukan mewakili empat kampung iaitu Bukit Berangan, Kampung Baru Tepoh, Kampung Raja Tepoh, Bukit Berangan dan Lerek.
Pemenang dikira daripada aspek gasing berpusing paling lama itu sah jadi milik Kampung Raja Tepoh dengan menewaskan Kampung Bukit Berangan menerusi kiraan mata 3-0.