Thursday, May 11, 2017

Jadi Duta Produk Orang Lebih Berduit – Ruhainies



Ruhainies mengakui pendapatan sebagai duta menjanjikan pulangan yang lebih lumayan. -foto Instagram @ruhainies
PETALING JAYA: Tatkala ramai selebriti tempatan berlumba-lumba mengeluarkan produk sendiri ketika nama masih 'meletup', lain pula ceritanya dengan pelakon Ruhainies apabila dia lebih selesa menjadi duta produk keluaran syarikat lain.
Lebih menarik apabila Ruhainies sanggup ;membungkus' produk itu sebagai memberi komitmen apabila menjadi penghias wajah barangan yang diwakilinya.
"Sejujurnya pendapatan sebagai duta produk lebih menguntungkan berbanding jual produk sendiri.
"Lebih-lebih lagi apabila nama tersenarai sebagai top 5 dalam sesuatu majlis anugerah, kita akan menjadi tumpuan syarikat pengeluar produk," katanya.
Menurut pelakon Hello Mr Perfect itu, dia sudah memperlahankan pengeluaran dan promosi produk kecantikan yang diasaskannya iaitu Ruhainies Rosysecret.
Ruhainies akan memperlahankan karier lakonan sepanjang Ramadan ini. -foto Instgram @ruhainies
"Saya tak hentikan terus tapi sekadar perlahankan buat sementara waktu. Tak ada masa nak promosi produk sendiri.
"Sekarang saya mahu fokus kepada produk orang dulu. Nanti bila sudah tak laku (sebagai duta) baru saya bercadang teruskan kembali," katanya.
Bagaimanapun jelas Ruhainies, 25, dia akan memastikan produk yang diwakilinya benar-benar selamat dan berkesan bagi menjaga nama baiknya sebagai selebriti yang dikenali ramai.
"Kebanyakan peniaga sudah tahu nilai yang saya tentukan untuk menjadi duta produk mereka. Namun paling penting saya perlu cuba dahulu sebelum bersetuju untuk bekerjasama.
"Saya tak terima sebab duit semata-mata melainkan selepas berpuas hati dengan sesuatu produk itu," katanya.
Tambah Ruhainies atau nama penuhnya Ruhainies Ferehah Zainul Ilyas, dia akan berehat sebagai pelakon selama sebulan pada Ramadan ini berikutan terikat dengan komitmen sebagai duta dan aktiviti membuat penampilan khas.
"Saya nak cari duit raya lebih sikit. Saya sudah berjanji untuk buat kemunculan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini. Jadi memang tak boleh nak terlibat dengan pengambaran.
"Menariknya selain dibayar sebagai duta untuk sesuatu tempoh, saya akan menerima bayaran tambahan setiap kali muncul pada majlis yang dianjurkan produk berkenaan.
"Jadi kalau saya tak dapat hadir, tiadalah bayaran untuk hari berkenaan," katanya.
Sementara itu bercerita mengenai karier lakonan, Ruhainies berkata dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama Menantu Bilal bagi siaran Ramadan ini.
Selain itu dia akan kembali menjalani pengambaran beberapa drama selepas Ramadan depan seperti JasminCikgu Dina Pakai Prada ke Paris dan drama rantaian Kelip Kelip Kota London.