Tuesday, May 23, 2017

Persembahan Ben Nathan Di Luar Jangkaan



Ben Nathan kelihatan ceria ketika membuat persembahan.
PRESIDEN Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave meluahkan rasa lega apabila artis Ben Nathan berjaya memberi persembahan terbaik menerusi Konsert Kasih & Harapan yang di adakan di Saloma Bistro, pada petang Ahad.
Kata DJ. Dave, Ben berjaya memberi persembahan di luar jangkaan apabila penyanyi lagu 'Stanza Sepi Sekeping Hati'ini mampu mengingati lirik dan tempo melodi dengan baik biarpun perkara itu sering menjadi kerisauan buatnya setiapkali artis itu ingin membuat persembahan.
"Saya terkejut kerana dia (Ben) sangat bersemangat di pentas dan mampu menyempurnakan nyanyiannya menerusi tiga buah lagu dengan baik sekaligus menghilangkan kegusaran saya terhadap fokus nyanyiannya yang sering terganggu sebelum ini.
"Melihat perkembangan positif Ben, saya tidak sabar untuk meneruskan misi ketiga kami untuk projek rakaman single terbarunya di Jakarta selepas sambutan hari raya Aidilfitri depan," katanya.
Antara artis yang terlibat menjayakan Konsert Kasih & Harapan Ben Nathan.
Konsert Kasih & Harapan Ben Nathan bertujuan membantu mengumpul dana perubatan dan rakaman single terbarunya di mana menerusi konsert kerjasama bersama Jojo Events ini menyasarkan kutipan sebanyak RM50,000 bagi tujuan itu.
Antara artis lain yang terlibat pada konsert berdurasi dua jam ini ialah Datuk M.Nasir, Datuk Nash, Ramlah Ram, Sahara Yaakob, Aris Ariwatan, Fredo Flybaits, Maisara Ukulele dan Datuk DJ Dave.
Ben ketika ditanya tentang perasaan menjayakan persembahan itu berkata, dia terharu dan seronok kerana dapat bertemu rakan-rakan artis seangkatan zamannya.
"Saya enjoy di pentas dan seronok apabila rakan artis turut bersama-sama saya hari ini. Saya sebenarnya tidak sabar untuk ke Jakarta merakamkan single terbaru,"ujarnya ringkas.
Ben dilihat agak ceria pada petang itu menyanyikan tiga buah lagu iaitu Tak Mungkin, Ilusi Satu Penantian dan Stanza Sepi Sekeping Hati.
Sebelum ini, kisah Ben pernah mencuri tumpuan netizen apabila ditemui hidup sebagai gelandangan menjadi viral di laman sosial sekitar Januari lalu.
Atas inisiatif YA1M yang diketuai Datuk DJ Dave pada ketika itu berjaya memujuk artis berusia 54 tahun ini untuk kembali membuat kemunculan semula di dalam industri seni hiburan tanahair.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: