SETELAH sembilan minggu bersaing di peringkat mingguan, kumpulan Sevendays akhirnya diangkat sebagai juara pertandingan Rentak Juara 2017 yang melabuhkan tirainya di Auditorium Perdana Angkasapuri Sabtu lalu.
Sevendays dianggotai lima anak muda iaitu Arul, Manja, Tuah, Boy dan Amm tampil dengan persembahan mantap menerusi lagu solo terbaru mereka, Memori di samping lagu medley Sekadar Di Pinggiran dan Jaga Dia Untukku berduet dengan Sharifah Zarina.
Menerusi kemenangan ini, Sevendays membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM60,000, trofi dan sijil penghargaan.
Tampil memberikan saingan sengit, Super Massive bergelar naib juara menerusi lagu Bangkitlah Cinta, Penantian dan Dirgahayu bersama Farawahida.
Kumpulan yang disertai enam anak muda ini membawa pulang wang tunai RM15,000, trofi dan sijil penghargaan.
Xzotic pula berada di tempat ketiga menerusi persembahan lagu Catur, Tiara dan Ah Rindu Lagi duet bersama Shiha Zikir sekali gus melayakkan mereka memenangi wang tunai berjumlah  RM5,000, trofi dan sijil penghargaan selain menang kategori persembahan terbaik dan menerima wang tunai RM5,000.
Sementara itu, kumpulan Reuz dan DoubleShoes masing-masing terpaksa berpuas hati di tempat keempat serta kelima dengan hadiah sagu hati bernilai RM3,000.
Pertandingan akhir Rentak Juara 2017 ini diadili sepenuhnya oleh empat juri profesional yang terdiri daripada Datuk Mokhzani Ismail (Ketua Juri) Jennifer Thompson, Aznan Alias dan  Akim & The Majistret.
Penjurian dilakukan berdasarkan aspek vokal, kepakaran bermain alat muzik, kreativiti persembahan dan penampilan.
Rentak Juara memulakan persaingannya pada 11 Mac lalu, membabitkan 10 kumpulan pada peringkat mingguan yang mempertaruhkan kreativiti pelbagai genre muzik baru dan trend muzik semasa.
Kebolehan mereka juga diuji menerusi pelbagai tema setiap minggu dan seperti biasa ada penyingkiran setelah dinilai dua juri tetap dan seorang juri jemputan.
Kejayaan pertandingan akhir Rentak Juara 2017 yang menampilkan  Nadzmi Adhwa, Luqman Hafidz dan Odey Petra sebagai pengacara ini diharap menjadi platform terbaik melahirkan barisan pemuzik pelapis untuk kesinambungan industri muzik tempatan pada masa depan.
Pertandingan akhir ini juga dimeriahkan dengan persembahan Ella dan Akim & The Majistret menerusi rangkaian lagu-lagu popular mereka.

Juara – Sevendays mahu karya diingati

Biarpun masa yang agak singkat untuk membuat persiapan di pentas akhir, Sevendays mengakui sudah memberikan yang terbaik dan berpuas hati dengan persembahan mereka.
Misi utama kumpulan ini adalah untuk memperkenalkan karya dan muzik mereka selain mencari ruang menempatkan diri dalam industri.
“Jujurnya kami langsung tak sangka dinobatkan sebagai juara kerana persaingan terlalu sengit. Semua kumpulan pun tampil dengan persembahan yang cukup unik dan tersendiri.
“Kami sebenarnya tak fikirkan sangat nak menang, sebaliknya lebih mengharapkan karya dan muzik kami malam ini diingati dan lekat di jiwa semua penonton.
“Kami tak tahu cara juri tengok kelebihan kami, tapi apa yang boleh kami katakan sejak minggu pertama hinggalah malam ni, kami berikan kelainan menerusi muzik baru yang kami bawakan,” ujar Sevendays sebaik sahaja diumumkan sebagai juara.
Dalam pada itu, Sevendays yang ditubuhkan sekitar tahun 2012 ini mengakui perjalanan mereka tidak mudah untuk sampai ke tahap ini malah terpaksa berdepan pelbagai dugaan yang memerlukan banyak pengorbanan dari setiap anggotanya.
“Misalnya sehari sebelum membuat persembahan pada minggu kelapan, basis kami kehilangan anak. Situasi tu sangat memberi kesan bukan saja pada dia, tapi juga buat kami semua.
“Tapi kami hadapi dengan tenang dan cuba beri komitmen sebaik yang mampu. Alhamdulillah, dugaan selama 10 minggu ini membuahkan hasil yang sangat manis,” ujar Arul selaku vokalis utama.
Berkongsi perancangan dan hala tuju Sevendays selepas ini, kata Arul, mereka mengharapkan mendapat lebih ruang bagi membawa karya mereka dalam arus muzik perdana.
“Lepas ni, harapnya lebih banyak peluang untuk berkongsi muzik kami dan dalam masa yang sama cuba membawa karya kami ke tempat yang lebih baik.
“Dalam masa sama, kami harap single Memori yang kami perkenalkan pada pentas akhir ni mendapat perhatian peminat dan diputarkan di stesen radio seluruh negara.
“Kami tak kejar populariti tapi ada cita-cita nak bawa karya kami ke peringkat lebih baik,” kata Sevendays yang sebelum ini pernah menjuarai pertandingan Raja Band Kuala Lumpur (2015).

Naik Juara – Super Massive percaya tuah lagu ciptaan sendiri

Sementara itu, naib juara, Super Massive mengharapkan tuah lagu ciptaan mereka, Bangkitlah Cinta dapat menarik perhatian juri dan penonton yang menyaksikan persembahan mereka di pentas akhir.
“Sepanjang 10 minggu bersama band lain, kami tahu mereka ada kekuatan dan kelebihannya. Sebab tu pertandingan ni begitu sengit.
“Kami olah dan susun muzik yang baru khas untuk pentas akhir dengan beberapa pembaharuan supaya penonton dapat rasa apa yang kami nak bawa dalam lagu dan muzik yang ditampilkan,” ujar Super Massive yang pernah menyertai pertandingan Battle of the Band.
Uniknya Super Massive kerana mereka merupakan gabungan enam anggota dari empat kumpulan berbeza iaitu M16T, Openg4, Penjuru dan SKYMC yang kemudiannya bersatu di bawah satu nama sekitar November tahun lalu.
“Kami guna pengalaman kami yang berbeza ni untuk memberikan persembahan yang terbaik,” jelas Super Massive.

Tempat Ketiga & Persembahan Terbaik – Xzotic Band Eksperimen

Satu-satunya kumpulan yang tampil dengan empat anggota, Xzotic menganggap pentas Rentak Juara 2017 sebagai medan menimba pengalaman baru dan mencari kelainan untuk mengetengahkan muzik mereka.
Walaupun baru dua tahun bertapak, anggotanya menganggap Xzotic sebagai sebuah band eksperimen yang sentiasa terbuka untuk mencari kelainan dalam muzik.
Mereka sama sekali tidak menyangka menang berganda menerusi kategori persembahan terbaik dan menjadikan kejutan itu sebagai pemangkin semangat untuk lebih serius dalam industri selepas ini.
Mengakui tidak meletakkan sebarang sasaran dalam pertandingan ini melainkan  menimba pengalaman, Xzotic berjaya memukau penonton dengan persembahan hebat mereka sehingga mendapat pujian tinggi dari pihak juri.
“Disebabkan kami hanya berempat, masing-masing perlu memainkan peranan mereka sebaiknya agar persembahan berjalan lancar.
"Lagipun, kami lebih suka membuat persembahan spontan sambil menghibur,” ujar Xzotic yang mengakui berdepan kesukaran untuk membawakan lagu dangdut," katanya.

Corat-Coret Pentas Akhir Rentak Juara 2017:

* Persembahan pembukaan yang sangat unik menerusi gabungan Paladin, Percussion, Kompang 5 Beradik dan Mohar.
* Setiap peserta mempunyai penyokong mereka yang tersendiri di dalam auditorium yang menyaksikan pelbagai kain rentang menarik dipamerkan sebagai penaik semangat.
* Kumpulan Reuz membuat gimik dengan membawa ‘pengantin perempuan’ naik ke pentas ketika menyanyikan lagu terbaru mereka, Mahar.
* Kumpulan Sevendays mempunyai peminat dan penyokong yang cukup ramai di dalam Auditorium Perdana.
* Vokalis kumpulan Doubleshoes yang dilihat begitu lincah di pentas telah membuat gimik dengan membawa bendera negeri kelahiran mereka, Sarawak ketika muncul di segmen kedua menyanyikan lagu solo mereka.
* Persembahan Reuz dan Amir Sofarz menerusi lagu Raikan Cinta mendapat sorakan yang begitu gemuruh daripada * penonton di Auditorium.
* Persembahan Ella dengan gaya manja rock muslimah begitu menarik perhatian ramai.