GEMAS – Penduduk di Kampung Seri Gemas boleh berbangga apabila perkampungan berkenaan mempunyai tinggalan sejarah yang masih utuh iaitu binaan dipercayai merupakan tugu Jepun.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seri Gemas, Abd Kudus Maamin berkata, cerita mengenai binaan sejarah iaitu kubu tentera Jepun yang menyimpan senjata perang diwarisi daripada penduduk asal, yang kebanyakannya sudah pun meninggal dunia.
Menurutnya, dia mengetahui kewujudan kubu berkenaan pada 1984 dan sejarah sebenar mengenai kubu itu, bagaimanapun tidak pernah didokumentasikan ataupun dibuat kajian oleh mana-mana institusi berkaitan.
“Binaan ini terdapat di tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Dulunya ada lubang bagi menyimpan senjata. Tapi sekarang lubangnya sudah terkambus oleh tanah.
“Bagaimanapun, binaan batu-batanya masih utuh dan masih menarik perhatian untuk dijadikan sebahagian daripada bahan sejarah di negeri ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Seri Gemas.
Abd Kudus berkata, kemungkinan kubu itu dibina susulan lokasi penempatan berkenaan terletak di tepi jalan utama Tampin - Gemas dan juga laluan kereta api sesuai sebagai kubu pertahanan.
Menurutnya, kawasan Gemas merupakan antara kawasan pertempuran semasa Perang Dunia Kedua antara tentera Jepun dan juga tentera British.
“Jadi memang banyak nilai sejarahnya di kawasan ini. Kawasan ini juga merupakan antara binaan bersejarah yang telah dilawati  Exco Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Abd Razak Ab Said yang juga Adun Gemas.
“Kita harap agar sejarah mengenai kubu ini akan dapat dibuat dan didokumentasikan untuk dikongsi kepada generasi akan datang," katanya.